Kelebihan Muslim yang bersaudara dan memberi manfaat

“Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada yang yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhikrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat, dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Al-Hasr: 9)

Hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat ke Madinah adalah detik penting dalam sejarah umat Islam. Ini adalah peristiwa yang menunjukkan bukti bahawa perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain akan membawa manfaat. Dengan syarat niat hijrah untuk kebaikan dan kerana Allah SWT. Rombongan Nabi dan para sahabat diterima baik oleh penduduk Madinah. Golongan yang berhijrah ini digelar kaum Muhajirin. Manakala penduduk Madinah digelar kaum Ansar.

Perkara pertama yang dilakukan Nabi apabila tiba di Madinah ialah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Kaum Ansar menerima baik kehadiran kaum Muhajirin. Mereka faham benar tentang tuntutan agama dan iman yang mendalam kepada Allah dan Rasulullah. Kedua-dua kaum ini hidup dengan harmoni. Kaum Ansar malahan melebihkan kaum Muharijin yang datang berhijrah ke Madinah.

Abdul Rahman b Auf yang disaudarakan dengan Sa’ad Bin Rabi’ telah ditawarkan tempat tinggal, harta dan salah seorang isterinya. Ini adalah bukti kasih sayang dalam persaudaraan. Namun, Abdul Rahman b Auf menolaknya dengan baik dan meminta ditunjukkan pasar untuk berniaga.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita tentang kepentingan menjaga persaudaraan dan menjadi seorang Muslim yang bermanfaat. Hadis dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

“Janganlah kamu berhasad dengki dan jangan kamu tipu-menipu dan jangan kami benci-membenci dan jangan musuh-memusuhi dan jangan kamu memotong jalan saudaramu di dalam jual beli dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat Muslim)

Persaudaraan dan ikatan ukhuwah menjadi sumber kekuatan umat Islam. Sifat kasih sayang, percaya mempercayai dan hubungan yang baik adalah asas iman dan takwa. Inilah saranan agama agar mendapat redha Ilahi.

Apakah kelebihan orang yang menjaga persaudaraan?

1. Pada hari kiamat, mereka akan berada di bawah naungan Arasy Allah. Dalam sabda Nabi, Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT pada hari kiamat berfirman: Di manakan orang yang kasih mengasihi kerana keagunganku? Pada hari ini aku akan menaungi mereka di dalam naunganku, pada hari yang tiada naungan melainkan naunganku.” (Riwayat Muslim)

2. Mereka akan merasakan kemanisan iman.
Sabda Rasulullah bermaksud:

“Sesiapa yang memiliki tiga perkara niscaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripada-Nya, sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dosa-dosa mereka diampunkan Allah.
Sabda Rasulullah bermaksud:

“Tiada di antara dua orang Islam yang bertemu lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

Bagaimana menguatkan hubungan persaudaraan?

Rasulullah mengajar kita perkara berikut:

1. Memberi salam apabila bertemu.
2. Ziarah menziarahi dan sentiasa berhubung untuk bertanya khabar.
3. Memberi senyuman ketika bertemu dan mengucapkan kata-kata yang baik.

Allah SWT menyebut sekali lagi bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Jun 2015 MAIJ)

Nota penulis:

Saya tertarik dengan pesanan Nabi khususnya dalam hadis di atas yang menyebut tentang adab berniaga. Lebih 1400 tahun dahulu, baginda telah mengingatkan agar golongan peniaga tidak mengkhianati peniaga yang lain. Kita sedar bahawa ramai peniaga yang menghadapi isu seperti ini. Rakan kongsi yang tidak jujur dan ingin mengaut keuntungan peribadi. Tidak menepati janji dan membuat perjanjian yang merugikan pihak yang lain.

Seorang peniaga Muslim dan orang yang beriman akan mengikut pesanan Nabi dalam menguruskan perniagaan mereka. Ini adalah tanda keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *