Analisa Syarikat,  Saham

Kemelut Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

Saya singgah di stesen Shell berhampiran. Mahu membeli sekotak susu Nestle sebagai bekal. Sampai di kaunter, saya lihat seorang pelanggan memegang naskhah Utusan Malaysia.

“Sekarang susah nak dapat suratkhabar Utusan ni. Berapa ya harganya? Kata dah naik.” Katanya sambil membelek-belak halaman akhbar.

“Makin nipis. Dulu saya suka baca sisipan di dalam. Saya memang selalu baca Utusan. Anak nak pergi mana?”

“Nak ke Tebrau, pakcik.”

“Oh, boleh hantarkan Pakcik ke ‘simbeng’?” Saya terpinga-pinga. Simbeng apa?

“Dekat Maybank, dekat dengan bulatan tu.”

Oh, CIMB Bank rupanya. Blur sekejap nak decode ‘simbeng’.

Saya hantarkan ke CIMB yang tidak jauh dari stesen Shell. Sempat juga dia bercerita dan berpesan.

“Pakcik ni Cina, tapi suka baca Utusan ini. Terima kasih ya. Jaga diri, baca selawat selalu.” Saya mengangguk dan dia keluar.

Terasa seperti bukti datang depan mata. Bukan apa. Pagi tadi sebelum keluar rumah saya baca beberapa artikel luar negara tentang penutupan surat khabar tempatan. Suratkhabar Buteman yang dikeluarkan sejak 1854 sebagai saluran maklumat di Kepulauan Bute ditutup pada bulan Jun 2019 setelah 165 tahun diedarkan.

Jumlah edaran Buteman menurun kepada 550 naskhah sahaja. Syarikat JPI Media yang memiliki akhbar ini membuat keputusan untuk menghentikan penerbitan akhbar mingguan yang sejak lama menjadi sumber berita kepada penduduk tempatan.

Saya membaca artikel lain pula tentang kemelut akhbar cetak di Eropah. Rata-rata warga tua yang masih lagi membeli akhbar ini. Seperti Pakcik yang saya temui pagi tadi yang masih lagi mendapatkan akhbar kegemarannya.

Tidak dinafikan terdapat pelanggan yang berusia lebih muda turut membeli akhbar cetak. Namun, harus diakui sumber berita yang paling cepat dan mudah ialah berita di internet. Setiap masa setiap saat, boleh dibaca di telefon pintar kita. Industri akhbar cetak di Malaysia mengalami kesan daripada perubahan teknologi dan tabiat membaca masa kini.

Awal tahun ini, akhbar berbahasa Tamil yang paling lama di Malaysia iaitu Tamil Nesan menghentikan penerbitannya pada 1 Februari 2019. Selepas 94 tahun diedarkan, ia terpaksa ditutup kerana masalah kewangan sejak 10 tahun lalu. Bayangkan, bahasa Tamil yang menggunakan tulisan vaṭṭeḻuttu pun sudah terancam kerana sudah tidak ramai yang melanggani akhbar cetak seperti ini.

Utusan Melayu ialah akhbar bahasa Melayu dengan tulisan Jawi. Terbitan pertama pada tahun 1907. Pada zaman itu, akhbar tulisan Jawi menjadi wadah utama menyebarkan maklumat dan menyuntik semangat kepada rakyat. Kemudian, syarikat Utusan Melayu ditubuhkan pada tahun 1938. Tahun yang sama bapa saya dilahirkan.

Arwah bapa membesar dengan akhbar Utusan Melayu tulisan Jawi. Saya masih ingat lagi, arwah bapa saya mesti mendapatkan surat khabar Utusan Melayu setiap hari. Zaman berubah dengan penggunaan tulisan rumi dan lebih banyak penerbitan dengan tulisan rumi. Sehingga keluaran akhbar tulisan Jawi ini lama-kelamaan menurun jumlah pengeluaran dan kekerapannya.

Sebelum era internet dan teknologi, surat khabar melalui zaman kegemilangan. Sehingga syarikat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1994. Sudah 25 tahun disenaraikan. Minggu ini Bursa Malaysia mengeluarkan notis untuk penyahsenaraian Utusan kerana tidak memenuhi syarat keperluan kewangan. Dagangan saham akan digantung pada 28 Ogos 2019. Sebarang permohonan untuk meneruskan penyenaraian di Bursa mesti dibuat sebelum 27 Ogos 2019.

Saham UTUSAN berada pada paras terendah hari ini dalam tempoh 52 minggu, iaitu RM0.05 dengan permodalan pasaran bernilai RM110 juta sahaja. Harga tertinggi tahun ini ialah RM0.31 pada 11 Februari 2019. Selepas itu, harga saham UTUSAN semakin menurun.

http://www.bursamarketplace.com/mkt/themarket/stock/UTUS

Keputusan kewangan bagi bulan berakhir 30 Jun 2019 yang diumumkan pada 19 Ogos 2019 tidak memberangsangkan. Ia menunjukkan syarikat telah mengalami kerugian bagi tempoh tujuh suku tahun berturut-turut (hampir 2 tahun). Malahan, sepanjang tempoh lima tahun ini syarikat merekodkan kerugian setiap tahun dengan nilai kerugian paling besar pada tahun 2018 berjumlah RM186 juta.

Sumber: Malaysiastockbiz.com

Heboh minggu ini dengan berita akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akan dihentikan edaran. Namun, ura-ura itu berakhir dengan pengumuman pengurusan yang ia akan dilanjutkan dengan perubahan harga akhbar yang akan dinaikkan kepada RM2.00 satu naskhah mulai Jumaat ini.

Saya membaca pelbagai respon netizen. Sentimen tentang akhbar dan syarikat Utusan yang memberi perasaan bercampur baur. Ada kisah cinta yang bercambah dalam syarikat ini puluhan tahun dahulu. Pasangan suami isteri yang saya kenali. Meninggalkan kenangan manis buat mereka dan keluarganya. Namun, terpaksa menerima hakikat pahit yang syarikat tempat mereka pernah ‘berteduh’ dahulu di ambang kemelut yang sangat memeritkan buat kakitangan syarikat penerbitan itu sekarang.

Tidak kurang juga yang menyeru usahawan yang sudah berjaya supaya menyuntik modal bagi menyelamatkan syarikat ini. Sebenarnya, sesiapa sahaja boleh membeli saham UTUSAN kerana ia disenaraikan di Bursa Malaysia. Walau bagaimanapun, pelabur runcit atau orang awam yang mahu menjadi pelabur ketika ini sudah tentu tidak akan membeli saham UTUSAN. Ia berada di paras paling rendah (walaupun paling murah). Ini disebabkan prospek perniagaan dan model bisnes ini tidak jelas hala tujunya.

Namun, bulan lalu dikatakan hartawan Tan Sri Syed Mukhtar Albukhary sudah membeli pegangan dalam UTUSAN dan menjadi salah seorang pemegang saham terbesar syarikat ini. Beliau juga adalah pemegang saham terbesar Media Prima dan memiliki The Malaysian Reserve, sebuah akhbar online. Apakah yang akan dilakukan oleh hartawan ini? Pelabur seperti beliau membuat keputusan pelaburan yang berbeza dengan pelabur biasa.

Sumber: http://www.bursamarketplace.com/mkt/themarket/stock/UTUS/ownership

Kegagalan akhbar ini untuk terus relevan bukan disebabkan proganda perkauman seperti kenyataan seorang Ahli Parlimen di utara tanah air. Ia tentang kelangsungan sebuah perniagaan dan model bisnes syarikat. Jika berpunca daripada perkauman, adakah Tamil Nesan juga ditutup kerana isu ini? Sepatutnya Ahli Parlimen itu lebih berhati-hati dan fikir dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan bodoh ini.

Utusan mungkin dapat bertahan buat masa terdekat ini. Tapi kelestarian sebuah syarikat bergantung kepada banyak faktor lain khususnya modal dan mesti mampu menjana pendapatan yang mencukupi sekurang-kurangnya bagi tujuan operasi dalam tempoh yang mencabar ini.

Please follow and like us:

2 Comments

  • Sharulnizam

    Ahli Parlimen yang suka memberi komen tanpa ditapis akal! Meluat. Langsung tak mempunyai hati yang besar.

    Utusan Malaysia sama juga seperti Nokia, atau pun Kodak. Perkhidmatan mereka masih diperlukan, cuma mereka ketinggalan dalam menggunakan perkembangan teknologi. Itu pendapat saya.

    • Norsa'adah Ahmad

      Pihak itu berani sekarang. Sebab mereka fikir mereka ‘berkuasa’, boleh cakap ikut suka. Saya sebenarnya tak nak tulis tentang Utusan. Tapi pertemuan pagi tadi dengan pakcik tu buatkan saya nak menulis entri ni.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial