Blog

Kenangan Merdeka

Aku dan teman serumah keluar sebelum maghrib. Aku sudah lupa ke mana. Mungkin pergi ke kedai makan berhampiran atau jalan-jalan di kompleks beli-belah berhampiran rumah kami.

Hari itu ialah hari cuti. Meraikan Hari Kebangsaan. Aku tidak pulang ke kampung kerana ia cuti tengah minggu. Tak berbaloi pula memandu balik ke selatan tanah air dan perlu bercuti pula. Jadi kami ambil keputusan untuk keluar sekejap.

Usai makan, kami terus memandu untuk pulang ke rumah. Sudah hampir pukul 9 malam. Tiada apa yang mahu dikejarkan. Sahabatku itu memandu seperti biasa.

Entah kenapa, sampai sahaja di plaza tol keretanya tiba-tiba berhenti. Ah… sudah. Tak kan kami tersadai di plaza tol pada hari merdeka. Nasib baik plaza tol itu memang sentiasa sibuk. Walaupun takut-takut juga kerana sudah malam, kami usahakan menghubungi peronda lebuh raya. Dapat.

Sejak itu, aku bertekad untuk menyimpan nombor penting yang berkaitan kenderaan seperti nombor bantuan syarikat insurans kereta. Jadi mudah untuk menghubungi pihak yang boleh dipercayai.

Apatah lagi dengan situasi sekarang ini. Pembuli jalan raya ada di mana-mana. Malahan boleh berlaku kejadian yang tidak diingini sehingga menyebabkan kematian. Ya Allah jauhkan aku daripada situasi yang mencemaskan dan lindungi kami supaya selamat dalam perjalanan.

Syukur, aku hidup di bumi merdeka. Kesejahteraan dan keselamatan itu mahal harganya.

Setelah 62 tahun merdeka, adakah kita cukup sejahtera? Sempena bulan merdeka ini pelbagai isu timbul. Orang kaya (dah sudah kaya raya) mengeluarkan kenyataan yang menyinggung perasaan. Netizen sudah pasti tidak melepaskan peluang untuk memberi pendapat masing-masing. Baca sahajalah. Belum satu isu selesai, timbul isu lain pula.

Ini tahun kedua Malaysia meraikan merdeka dengan kerajaan baru. Aku baca di media sosial, entahlah ia satu kebaikan bertukar kerajaan atau sebaliknya. Mungkin ada kebaikan kerana mengubah status quo kerajaan lama. Entahlah.

Aku tidak mahu membicarakan hal politik di sini.

Aku baru selesai membaca novel Ikarus oleh S.M. Zakir. Sebuah novel politik yang diterbitkan sebelum PRU14. Seperti sebuah ramalan. Membacanya selepas lebih setahun Malaysia di bawah tampuk pimpinan ‘baharu’ membuatkan aku terpaksa mengiakan apa yang beliau nukilkan dalam novel ini.

Revolusi selalunya menumbangkan tirani untuk melahirkan tirani yang lain.

Ikarus, S.M. Zakir (2018)

Cuba renungkan dan fikir sejenak.

Aku kira novel ini mesti dibaca oleh setiap orang. Jika kau penyokong pemerintah hari ini, sanggupkah kau menerima wajah ‘serigala’ yang sebenarnya tidak banyak beza dengan ‘serigala’ yang berkuasa dahulu?

Jika kau penyokong pihak pembangkang, mahukah kau mengakui kerajaan dahulu yang sudah lama memerintah tidak melakukan banyak atau sudah melakukan banyak tapi tidak cukup. Manusia mana yang mudah puas, bukan?

Jika kau bukan penyokong mana-mana, perhatikan. Perhatikan baik-baik. Adakah kau akan menjalankan tugas sebagai rakyat yang rasional dan bijak dalam pemilihan kerajaan yang akan datang?

Writing prompt Ogos 2019: Pakaian tradisional
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial