Blog

Kertas

Kertas tak akan pupus. Sekurang-kurangnya buat masa sekarang. Teknologi yang mendominasi dunia, peranti yang canggih dan alat elektronik pintar belum dapat menggantikan keperluan kertas sepenuhnya.

Kertas masih lagi digunakan sejak berzaman-zaman. Bahan, teknik penghasilan kertas dan kualiti kertas sahaja yang berbeza-beza. Pada zaman dahulu, kertas adalah bahan yang berharga dan hanya orang bangsawan dan orang istana yang memiliki kertas.

Saya pernah melihat pameran The Tales of Malay World di Perpustakaan Negara Singapura. Pameran itu berlangsung tahun lepas. Manuskrip Melayu lama seperti Tuhfat An Nafis, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa, Syair Siti Zubaidah dan banyak lagi masih utuh dan ditulis pada kertas dengan tulisan jawi.

Kertas yang digunakan nampak mewah dengan hiasan kerawang dan penggunaan dakwat berwarna keemasan. Manuskrip yang ditulis atas kertas ini kekal sehingga hari ini.

Singapura pernah menjadi pusat percetakan yang masyhur. Semasa perniagaan percetakan berkembang pesat, banyak buku yang dihasilkan dan ini membuktikan masyarakat ketika itu banyak membaca dan dahagakan ilmu.

Li Ziqi, seorang Youtuber terkenal dari China menunjukkan cara penghasilan kertas secara tradisional. Dia menggunakan batang dan kulit pokok mulberi. Boleh tahan kompleks juga prosesnya.

Kertas masih lagi bahan yang penting hari ini. Kadang kala saya menulis di atas kertas kosong untuk mencatat idea. Kertas putih seperti satu ruang yang luas dan bebas untuk saya menulis isi penting bagi projek penulisan misalnya. Saya masih lagi menggunakan buku latihan sekolah untuk mencatat nota kelas yang saya hadiri.

Beberapa manfaat menulis dengan tangan dikongsikan oleh Johanna Silver:

  1. Meningkatkan pemahaman belajar
    • Pelajar yang mengambil nota dengan menulis tangan lebih mudah mengingati maklumat yang dicatat berbanding mengambil nota menggunakan komputer atau telefon pintar.
  2. Menggunakan otak apabila menulis dengan tangan
    • Menulis memerlukan anda menggunakan pergerakan tangan, secara langsung merangsang aktiviti dalam otak.
  3. Menulis tangan memberi ketenangan
    • Habit menulis pada waktu malam sebelum tidur dapat memberi rasa tenang.
  4. Melambatkan proses penuaan mental
    • Menulis membantu kita mengingati maklumat dengan lebih baik. Jadi kita tidak mudah menjadi pelupa.
  5. Menyerlahkan kreativiti
    • Menulis dengan tangan membuat anda lebih fokus dan menggalakkan kreativiti.
  6. Mengurangkan depresi dan rasa bimbang yang teruk
    • Menulis boleh dijadikan terapi apabila anda berasa sedih atau tertekan.
  7. Meningkatkan tumpuan
    • Menaip di hadapan komputer mendedahkan anda kepada pelbagai gangguan dan hiburan internet. Dengan menulis anda dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada bahan yang hendak ditulis.
  8. Meningkatkan aktiviti dalam otak
    • Menulis dengan tangan menggalakan aktiviti dalam dua belah otak.
  9. Melawan disleksia
    • Latihan menulis tulisan sambung dapat melawan disleksia

Sesekali alih tumpuan daripada komputer atau peranti anda. Cuba menulis di atas kertas. Kertas yang kosong itu akan menjadi medan untuk anda berkreatif. Mana tahu idea yang kelihatan ringkas dan mudah akan menjadi idea yang mahal.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijauZaitunSederhanaNasiBungaSahabatHadiahCertot, Hero

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial