4 Strategi Pengurusan Kewangan Islam

Tahun 2015 sudah menjengah. Pelbagai peristiwa suka duka berlaku pada 2014 dan menjadi titik tolak untuk mengatur perjalanan kehidupan yang cemerlang untuk tahun baru.

Tahun baru dengan matlamat baru atau teruskan matlamat yang belum selesai. Jack Canfield dalam bukunya ‘The Success Principles’ menyarankan setiap orang menulis matlamat dalam 7 aspek kehidupan iaitu karier, kewangan, masa lapang, kesihatan, hubungan, kendiri atau spiritual dan sumbangan kepada komuniti.

Bagi orang Islam, Nabi Muhammad telah berpesan bahawa akan datang lima perkara selepas lima perkara iaitu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin, lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.

Secara tidak langsung, kita dapat memahami kepentingan menetapkan matlamat supaya kita dapat melaksanakan tanggungjawab semasa kita dalam keadaan lima perkara sebelum datang lima perkara yang dinyatakan tadi.

Dalam aspek kewangan, apakah matlamat kita untuk tahun 2015?
Senaraikan sekurang-kurangnya lima perkara yang anda ingin capai daripada segi pendapatan dan lima
perkara daripada segi perbelanjaan yang ingin anda perbaiki. Nyatakan nilai yang ingin dicapai dan tarikh akhir untuk setiap matlamat tersebut.

Seorang bapa muda yang baru menerima cahayamata pada bulan Disember 2014 sudah tentu menjangkakan perbelanjaan keluarganya bertambah. Jadi beliau boleh menetapkan matlamat untuk menjana pendapatan tambahan bagi menampung keperluan kewangan keluarga.

Seorang graduan yang telah mendapat pekerjaan boleh menetapkan matlamat untuk membayar hutang pinjaman pendidikan secara konsisten agar cepat selesai.

Matlamat kewangan mendorong anda untuk melaksanakan strategi atau taktik yang berkesan. Mereka yang berjaya telah berkongsi pelbagai tips untuk mencapai matlamat kewangan dalam hidup.

Islam sebagai agama yang lengkap memberi panduan dalam menguruskan kewangan dan harta. Empat strategi kewangan berikut adalah perkara yang dituntut dalam Islam supaya umatnya hidup sejahtera dan mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

1. Mencari rezeki yang halal

Allah Maha Pemurah dan Pemberi Rezeki menyebut di dalam Surah Al-Jumuah, ayat 10 yang bermaksud:

“Kemudian, setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi, dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatkanlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya di dunia dan di akhirat.”

Rezeki dan limpah kurniaan Allah itu sangat luas dan kita disarankan untuk mencari rezeki yang halal iaitu pekerjaan atau perniagaan hasil usaha jujur, bebas penipuan atau rasuah, tidak terlibat dengan perkara yang haram. Orang Islam yang beriman dan bertakwa akan mengelakkan diri daripada terjerumus dalam riba’, arak, judi dan lain-lain hal yang dilarang oleh agama.

2. Melanggan produk takaful sebagai persediaan menghadapi musibah

Takaful ialah produk perlindungan yang berlandaskan syariah. Kontrak takaful berbeza dengan insurans kerana ia menggunakan konsep ‘bantu-membantu’ dalam kalangan peserta takaful. Tiada unsur faedah dan ketidakpastian (gharar) sebagaimana sebuah kontrak insurans.

Orang awam kadangkala menghadapi dilema apabila ejen takaful mempromosi pelan perlindungan yang ada di pasaran. Hal ini berlaku kerana terdapat terma yang kurang difahami dan ejen tidak memberi penjelasan yang mudah dan mencukupi.

Produk takaful adalah keperluan bagi anda yang mempunyai tanggungan dan sebagai persediaan menghadapi musibah seperti sakit. Anggap ia suatu perbelanjaan untuk masa depan. Peserta takaful membuat sumbangan secara bulanan dengan kadar yang telah ditetapkan. Sumbangan ini nampak kecil kerana dibuat secara konsisten setiap bulan. Apabila berlaku musibah, operator takaful akan membayar manfaat perlindungan kepada peserta.

Semua peserta dalam pelan takaful seolah berpegangan tangan, jika seorang peserta terjatuh yang lain akan membantu dan menghulurkan tangan supaya dia dapat bangun semula atau sekurang-kurangnya keluarganya dapat bangkit daripada beban kewangan yang melanda.

3. Membuat pelaburan tanpa berhutang

Matlamat pelaburan ialah menambah nilai daripada apa yang anda miliki. Pakar kewangan tidak menggalakkan anda membuat pelaburan melalui pinjaman. Pelaburan tetap mempunyai risiko. Tahap risiko bergantung kepada jenis pelaburan yang anda sertai.

Pelaburan dalam saham berpotensi untuk mendapat untung yang tinggi, risikonya juga tinggi berbanding pelaburan unit amanah saham. Untung rendah, risiko juga lebih rendah.

Pinjaman akan mengikat anda dengan suatu komitmen hutang. Hutang perlu dijelaskan tidak kira anda membuat untung atau menanggung kerugian. Oleh itu, hutang akan menambah beban kewangan jika tidak diuruskan dengan betul.

Kegagalan membayar hutang atau pinjaman khususnya kepada pihak bank mendedahkan anda kepada satu lagi risiko iaitu disaman atau diisytihar muflis bagi kes yang berat.

Usah mengikat diri dengan hutang. Jika anda mampu membayar sejumlah nilai untuk membayar hutang, gunakan sahaja wang itu untuk menyimpan atau melabur dalam saham atau unit amanah saham.

Pilih pelaburan yang patuh Syariah. Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) menyiarkan saham dan unit amanah saham yang patuh Syariah sebagai rujukan pelabur. Semua saham yang diluluskan telah melalui proses audit dan disahkan oleh Penasihat Syarikat di SC.

4. Menunaikan zakat dan bersedekah (infaq)

Zakat ialah rukun Islam ketiga dan menjadi tanggungjawab ekonomi seorang Islam. Zakat dikenakan ke atas harta yang telah cukup jumlahnya (nisab) dan tempohnya (haul). Pusat Zakat menerima bayaran Zakat dan mengagihkan kepada lapan golongan yang disyariatkan sebagai penerima zakat.

Zakat tidak sama sekali mengurangkan harta. Kadar 2.5 peratus daripada pendapatan amat besar ertinya bagi golongan yang memerlukan. Secara tidak langsung, pengeluar Zakat melaksanakan tanggungjawab sosial kepada saudara seagama.

Infaq atau sedekah adalah pelengkap kepada Zakat. Sesiapa pun boleh memberi sedekah tanpa mengira jumlah harta dan ia boleh dilakukan bila-bila masa.

Mendermakan sebahagian daripada harta adalah ciri orang yang bertakwa. Hal ini dijelaskan dalam ayat 132 dan 133 Surah Ali Imran yang bermaksud:

132: Dan segeralah kamu kepada keampunan dari Tuhan kamu, dan syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.

133: Iaitu orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, orang yang menahan kemarahannya, dan orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.

Apa yang lebih indah lagi, menderma ini tidak perlu buat seorang diri. Lakukan secara berkumpulan adalah perbuatan yang mulia.

Menjadi jutawan akhirat bersama-sama

Seorang usahawan yang berjaya dan mempunyai syarikat dengan pendapatan berjuta setahun berkongsi bagaimana beliau mengajak orang lain menjadi jutawan akhirat sepertinya.

AJK masjid di tempat tinggal beliau memohon sumbangan untuk memasang karpet baru dan menyelenggara masjid. Beliau mampu beri sumbangan tersebut dengan kos mencecah puluhan ribu. Namun, apa yang beliau lakukan ialah meminta AJK masjid mengumpulkan sumbangan daripada penduduk setempat terlebih dahulu dan dia akan menanggung perbelanjaan selebihnya. Begitulah indah bersedekah.

Amalan yang kecil tetapi konsisten itu lebih baik daripada tidak melakukan apa-apa. Semoga tahun 2015 membaca anda cemerlang dunia dan akhirat dengan mengamalkan pengurusan kewangan yang patuh Syariah.