GST

Khidmat guaman kena GST?

“Tahun depan, abang boleh kutip cukai 6% lagi ke?” soal abang ipar saya yang mempunyai firma guaman di Kuala Lumpur apabila beliau terpandang buku-buku tentang GST yang saya rujuk.

1. Perkhidmatan profesional seperti khidmat guaman, akauntan, ejen hartanah, juruukur, arkitek dan lain-lain mengutip cukai perkhidmatan buat masa ini sebanyak 6%. Tiada nilai ‘threshold’ pendapatan tahunan. Ini bermaksud mereka mesti mendaftar untuk lesen cukai perkhidmatan dan mengutip cukai ini daripada pelanggan. Cukai perkhidmatan akan dimansuhkan pada 1 April 2015.

2. Jika pendapatan tahunan mereka RM500,000 dan ke atas, maka perlu mendaftar untuk GST dan layak mengutip cukai 6% bermula 1 April 2015.

3. Jika pendapatan tahunan mereka kurang RM500,000, mereka boleh memilih untuk mendaftar secara sukarela dan layak mengutip cukai 6% bermula 1 April 2015.

4. Jika pendapatan tahunan firma kurang RM500,000 dan tidak mendaftar dengan GST, mereka tidak dibenarkan mengutip cukai 6% bermula 1 April 2015.

5. Sebagai pelanggan, sila semak lesen GST firma-firma ini dan adakah mereka layak mengutip cukai 6% pada atau selepas 1 April 2015.

Layanan GST untuk item dalam bil guaman

Yuran guaman dikenakan GST pada kadar standard kerana ia perkhidmatan bercukai.

‘Reimbursements’ seperti caj telefon, fotokopi, caj perjalanan dan lain-lain dikenakan GST kadar standard kerana ia jenis pembekalan bercukai.

‘Disbursements’ seperti yuran mahkamah, yuran pemfailan, pendaftaran, duti setem dan lain-lain yang dibuat kepada agensi kerajaan tidak dikenakan GST kerana ia pembekalan di luar skop.