Buku

Kilo vs Kalori (Buku)

Puasa masuk hari kedua bulan Ramadan. Masyarakat di Malaysia mula berpuasa pada 6 Mei 2019. Di pelusuk lain, di dunia ini ada yang memulakan ibadah puasa pada hari ini.

Apabila datang Ramadan, ramai berlumba-lumba berbuat kebaikan. Suasana yang indah dan harmoni. Diharapkan sehingga tamat bulan mulia ini dan seterusnya dipanjangkan ke bulan-bulan lain.

Saya baca buku Kilo vs Kalori, terbitan Kata Pillar. Perkongsian penulis tentang cabaran menurunkan berat badan. Saya juga sudah beberapa kali gagal dan tidak berdisiplin. Baru turun 3-4 kg, saya kembali makan apa yang saya suka.

Tahun ini, saya mesti serius. Rakan saya sudah turun lebih 20 kg sejak mengamalkan intermittent fasting (IF). Sebenarnya, bukan susah dan tidak mustahil. Paling kurang sebulan dalam setahun kita berpuasa kan.

Dalam buku Kilo vs Kalori, ada penulis yang mengamalkan IF dengan cara puasa sunat Isnin Khamis, tiga hari pertengahan bulan dan puasa enam Syawal.

Cabaran menguruskan badan ini, selain perlu menjalankan aktiviti fizikal saya dapati dugaan mental juga tidak kurang hebatnya.

Di Malaysia ini, mewah dengan makanan yang sedap-sedap tapi kurang menyihatkan. Sampaikan jika saya ke luar negara, saya pasti rindu nak balik ke Malaysia mengenangkan nasi lemak, roti canai dan ayam goreng di kedai mamak.

Bagi menguatkan azam saya, rakan memberi galakan. Saya mesti usaha turunkan berat sekurang-kurangnya 15 kg sebelum April 2020. Wawasan 2020 katakan.

Jadi, saya akan ambil kesempatan puasa di bulan Ramadan ini sebagai permulaan yang baik.

Satu lagi pengajaran yang dapat saya pelajari daripada buku ini ialah konsisten dalam amalan permakanan sihat. Gunakan formula suku-suku separuh, iaitu suku karbohidrat, suku protein dan separuh sayur-sayuran.

Kurangkan gula atau lebih baik lagi jangan minum air manis dan makanan yang manis. Gantikan dengan buah-buahan.

Seorang penulis menyatakan perbelanjaan bulanan keluarganya dapat dijimatkan dengan pilihan makanan sihat. Gula 5 kg sebulan, jadi 1 kg sebulan.

Saya tak kisah tidak minum air manis. Cuma cabaran bagi saya ialah kuih muih di bulan puasa ini. Jika kakak saya masak bubur, tentulah cabaran meningkat setahap lagi.

Selain itu, saya tak suka lihat makanan berlebih. Membazir. Jadi, saya akan lebih berhati-hati apabila memasak menu berbuka. Saya akan masak secukupnya sahaja.

Selamat berpuasa buat semua pembaca. Jom kita usaha kurangkan berat badan bagi siapa yang menghadapi isu serupa dengan saya.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial