Travel,  Umum

Kopi, Teh dan Cara Saya Belajar Menikmatinya

Peminat kopi mengatakan, kopi enak dinikmati tanpa gula. Tapi, saya tidak pandai. Hanya baru-baru ini saya cuba minum kopi + susu segar + sedikit gula. Pahit rasanya jika minum kopi begitu sahaja. Kata orang, dengan cara ini barulah dapat merasai rasa kopi yang sebenar.

Jujur, saya bukan peminat kopi yang tegar. Tapi saya masih boleh menikmatinya. Bukan menjadi kemestian untuk minum kopi setiap hari. Semasa singgah di rumah Normi, dia menghidangkan kopi yang dibru menggunakan serbuk kopi berjenama. Sedap juga, tapi pahit.

Pernah saya membaca tentang kopi dan sejarahnya, ditulis oleh Johan Radzi. Satu pengetahuan yang menarik. Asal perkataan kopi itu mungkin terkait dengan perkataan Arab iaitu Qahwah.

Semasa ke Bali, pemandu pelancong kami Om Madi membawa kami ke satu restoran yang didirikan untuk menikmati pelbagai kopi Bali. Restoran ini terletak di daerah Kintamani. Satu kawasan yang agak tinggi di Pulau Bali. Pemilik restoran yang juga seorang pemuzik membuka restoran dan mengusahakan pelbagai jenis kopi buat pengunjung yang datang.

Tempat seperti ini dibina bukan untuk minum kopi semata, tapi merasai pengalaman menikmati kopi. Malahan kami dibawa melihat musang luwak yang terkenal itu. Musang yang menelan biji kopi, lalu kopi itu yang dikeluarkan nanti mampu dinikmati oleh orang yang menginginkan.

Kopi luwak. Harganya mahal daripada kopi lain. Entah apa sedapnya. Tak sanggup kami mencicipnya. Cukuplah dengan pelbagai pilihan perisa kopi yang dihidangkan dalam dulang.

Apa pula istimewanya secawan teh?

Semasa ke Sri Lanka, saya dan teman-teman pergi ke kilang memproses teh. Sri Lanka ialah negara pengeluar teh yang terbesar di dunia selain dari India.

Teh yang dipetik akan dijemur dan melalui proses ‘fermentation’. Teh yang kering itu dikenali sebagai ‘black tea’. Teh yang tidak melalui proses ‘fermentation’ pula dikenali sebagai ‘green tea’.

Banyak proses yang diterangkan oleh pekerja kilang itu. Saya tidak dapat mengingati semuanya. Saya lihat berkotak-kotak teh yang siap diproses dan digredkan. Setiap jenis dan gred ini berbeza-beza harganya. Satu hal yang menarik ialah teh ini didagangkan secara lelong dengan pembeli di seluruh dunia. Hebat bukan industri teh.

Jika Normi penggemar kopi, Anie pula penggemar teh. Lepas pulang dari Kashmir, Anie mempelawa saya menikmati chai ala orang Kashmir. Teh yang dibeli dari sana dimasak atas api bersama susu, buah pelaga dan halia. Kemudian, diperisakan dengan gula dan garam.

Pada mulanya saya rasa pelik. Sedapkah teh diletak garam?

Memang enak, terasa lemak dan manis yang seimbang. Pelaga dan halia memberi sensasi rasa yang lain apabila chai itu dinikmati panas-panas. Entah bila pula saya dapat menikmati chai di Kashmir yang indah itu? Tak salah memasang angan.

Saya boleh menikmati kopi atau teh secara sederhana. Jika ditanya, mana satu yang menjadi pilihan apabila berada di meja makan, bergantung pada situasi. Boleh jadi hari itu saya mahu menikmati minuman yang beraroma, maka saya memesan secawan kopi. Atau teh yang lebih ringan rasanya buat penghilang haus.

Bagaimana dengan anda? Manakah satu menjadi pilihan, kopi atau teh?

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial