Kota Colombo yang Berwarna Warni

Masjid Merah di Pettah yang berusia lebih 100 tahun.

Selang tiga hari pulang dari Osaka, Jepun. Saya dan tiga rakan lagi bertolak ke Colombo, Sri Lanka. Tidak pernah meletakkan kota ini sebagai senarai daerah yang ingin dilawati. Namun tetap teruja meneruskan perjalanan.

Jumaat di Colombo. Tiba di Sri Lanka pukul 9.15 pagi waktu tempatan. Masa ini Kuala Lumpur sudah pukul 11.45 pagi. Beza 2 jam setengah.

Hanya ada 5 penerbangan yang baru tiba. Urusan di imigresen mudah dan cepat. Mr Jaya sudah menunggu kami.
Dari lapangan terbang terus ke pusat bandar Colombo. Kawasan Pettah. Perut dah bekeroncong. Mr Jaya parking kereta dan kami janji jumpa dalam 2 jam.

Pusat bandar agak sesak dengan kenderaan dan tuk tuk. Kami nampak menara Masjid Merah dari jauh. Seorang lelaki beri salam kepada kami dan tunjukkan kedai makanan halal.

Hotel Shallbank.

Ini hotel ke bank?

Kami masuk dan pesan nasi biryani ayam. Sepinggan penuh dengan sebiji telur rebus dan seketul ayam. Segelas jus mangga. Rasa nasinya berempah dan banyak juga lada sulah. Berbeza dengan biryani di kedai mamak. Pekerja di situ ingatkan kami kedai ditutup pukul 12 tengahari untuk solat.

Syukur dapat makan. Kami keluar dan azan berkumandang. Peniaga menutup gerai dan kedai. Kami berjalan di sekitar kawasan ini. Kemudian kembali ke tempat yang dijanjikan dengan Mr Jaya.

Waktu ini adalah masa puncak. Kira-kira sejam untuk keluar dari Colombo kemudian menuju apartmen yang disewa. Kami nampak ‘hotel’ di merata tempat. Baru kami faham, hotel yang dimaksudkan adalah restoran atau kedai makan. Bukan hotel tempat menginap.

Tiba di apartmen. Lokasinya tidak jauh dari pantai. Pemiliknya wanita dan pernah bertugas selama 4 bulan di KL.

Hari kedua.
11.11.17

Janji dengan Mr Jaya pada pukul 8.30 pagi. Saya senaraikan beberapa tempat untuk dilawati.

Mr Jaya memandu ke Colombo. Jalan mula sesak. Sabtu hari cuti untuk kakitangan kerajaan. Namun, pekerja syarikat swasta bertugas separuh hari.

Destinasi pertama, Galle Green. Hanya melihat dari jauh. Menurut Mr Jaya kawasan ini lebih meriah pada waktu petang. Galle Green adalah kawasan pesisir pantai yang ditambak untuk pembangunan.

Syarikat China yang mendapat kontrak pembangunan sedang galak melakukan kerja tambak dan piling untuk bangunan mewah.

Serupa sahaja dengan di Danga Bay.

Seterusnya, saya melalui beberapa jalan utama di Colombo. Colombo dibahagikan kepada 15 district. Jika semalam, kami pergi berhampiran Port of Colombo di Colombo 1, pagi ini saya di Colombo 3.

Banyak bangunan lama yang menjadi pejabat untuk bank dan jabatan kerajaan.

Mr Jaya berhenti tidak jauh dari sebuah kuil Buddha yang terapung. Kuil Seema Malaka di Tasik Beira. Saya menyeberang jambatan yang dibina ke pulau kecil di tengah tasik. Panjang jambatan itu mungkin kurang 50 meter tapi gayat juga apabila angin bertiup.

Pulau kecil ini seperti taman dengan pohon bunga renek dan kerusi rehat yang bangak di kelilingnya. Nampaknya menjadi pilihan pasangan kekasih berdua-duaan.

Saya kembali ke kereta. Semasa hendak keluar dari parking, seorang lelaki memarahi Mr Jaya kerana parking di depan Kuil. Katanya, boleh didenda Rs1500. Begitu prejudis.

Selepas itu, saya memasuki Town Hall. Sebuah bangunan lama berwarna putih dengan tiang yang gah. Orang awam dibenarkan masuk. Percuma.

Hujan renyai. Saya tidak dapat berjalan-jalan di Viharamahadevi Park yang terletak berdepan Town Hall.

Saya minta Mr Jaya tunjukkan sebuah lagi masjid yang menjadi tumpuan di Colombo. Hanya beberapa minit dari Town Hall.

Masjid Sheikh Uthman Waliyullah. Masjid ini berwarna putih. Ada semacam rasa yang pelik apabila saya mendekati ruang masuk untuk wanita.

Aroma yang menusuk daripada colok yang dibakar berhampiran kawasan solat. Seorang wanita mengajak saya masuk dan menunjukkan ruang makam. Ada cermin yang menghadang ruang wanita dengan makam. Beberapa orang wanita sedang berdiri dan kelihatan berdoa.

Berhampiran makam, seorang lelaki sedang duduk bertafakur. Kemudian, saya dapat tahu wanita tidak dibenarkan duduk berhampiran makam.

Wanita tadi menunjukkan tabung dan tidak segan silu meminta wang. Katanya dia membersihkan masjid. Ketika itu juga saya mahu keluar dengan secepat mungkin. Saya hulurkan wang dan berlalu.

Di tempat meletak kasut pula, lelaki yang pada awalnya mengaku dia orang Melayu Sri Lanka juga ingin meraih simpati dan meminta wang.

Rasa tidak selesa mengganggu hati dan fikiran saya. Saya mahu lekas pergi.

Agenda seterusnya ialah melihat National Museum. Yuran masuk Rs1000 untuk warga asing. Janji 30 minit sahaja dengan Mr Jaya berlanjutan hingga sejam.

Walaupun mula terasa lapar, saya habiskan juga melihat semua pameran di museum ini.

Beberapa artifak berkait dengan alam Melayu dipamerkan di sini seperti keris, persalinan pengantin dan kain pelikat.

Selesai di museum, kami makan di sebuah kedai halal. Nasi putih dan kari daging.

National Museum Colombo

Kemudian, singgah sebentar di kedai buku. Saya tak beli buku memandangkan bajet yang terhad.

Perkara menarik di Colombo:
– Bangunan lama dipelihara
– Tak ramai wanita kelihatan di bandar
– Tuk tuk bermeter
– Tiada lampu isyarat untuk lintasan pejalan kaki
– Garisan jalan tak jelas
– Bas menghimpit kenderaan, rasanya kalau buka tingkap memang dapat sentuh dinding bas
– Setiap papan tanda jalan ada tiga tulisan, tulisan Sinhalese, Tamil dan Roman untuk bahasa Inggeris

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *