Inspirasi usahawan

Lapan sebab kenapa Datuk Vida Qu Puteh jadi fenomena dan usahawan berjaya

datuk vida
Datuk Vida, pengasas Vida Beauty Sdn Bhd (Gambar sumber: Astro Awani)

Datuk Vida Qu Puteh atau nama sebenarnya Datuk Seri Dr. Hasmiza Othman mencetuskan fenomena sekali lagi. Beliau akan menaja The Red Warriors dengan dua syarat. Pertama, Stadium Sultan Muhammad IV perlu dicat semula dengan warna merah jambu (pink). Kedua, nama pasukan The Red Warriors dijenamakan semula dengan nama Pamoga Qu Puteh The Red Warriors.

Qu Puteh, produk kecantikan dan minuman kesihatan keluaran Vida Beauty Sdn Bhd mendapat sambutan yang luar biasa selepas Datuk Vida melabur RM3 juta untuk Anugerah Juara Lagu 29. Kemudian, beliau menaja Gegarvaganza 2 iaitu program hiburan oleh Astro.

Datuk Vida seorang yang berani dan usahawan yang gigih. Beliau berkongsi kisah kejayaannya dalam Raikan Wanita yang disiarkan oleh Astro.

“Nak dapat sesuatu senang, tetapi untuk mengekalkannya 20 kali lebih susah,” ujar Datuk Vida. Beliau menghadapi banyak cabaran dalam membangunkan bisnes. Produk beliau pernah ditiru dan sedikit sebanyak menjejaskan perniagaannya.

“Saya mesti berfikiran ke hadapan. Dan sentiasa berusaha untuk menawarkan produk yang sesuai dengan kehendak pasaran.”

Lapan sebab kenapa Datuk Vida jadi fenomena dan usahawan yang berjaya:

Iklan dengan cara yang betul

Datuk Vida pernah rugi teruk akibat mengiklan dengan salah. Sejak itu, beliau berhati-hati untuk membuat pengiklanan. Tidak hairan jika Datuk Vida meletakkan syarat kepada KAFA apabila beliau ingin menaja The Red Warriors yang pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak dua kali.

Sebelum itu, tajaan beliau dalam Gegarvaganza dan Anugerah Juara Lagu mendatangkan hasil apabila produk Qu Puteh menjadi fenomena. Iklan dan jenama Qu Puteh menjadi sebutan ramai sehingga anak kecil begitu mudah beraksi mimik Datuk Vida dalam iklannya.

“Qu Puteh, Qu Puteh, barulah putih.”

Jenama ini menjadi sebutan dan dikenali ramai. Menurut Datuk Vida,  beliau mesti tampil berbeza supaya pelanggan dan bakal pelanggan tahu tentang kewujudan produk yang dikeluarkan oleh syarikatnya.

Tidak peduli dengan tohmahan dan kritikan negatif

Media sosial amat berpengaruh sehingga begitu mudah berita tersebar dan menjadi viral. Beliau tidak lepas daripada kutukan dan tohmahan. Selepas tawaran dan syarat tajaan TRW, ada netizen yang mengeluarkan video Stadium Sultan Muhammad IV berwarna pink dan pemain dengan jersi berona sama.

Beliau sudah lali. Beliau tidak menafikan ada rasa terguris tetapi semua itu diketepikan. Datuk Vida fokus kepada tujuan utama beliau iaitu menguatkan jenama produk keluaran syarikatnya iaitu Qu Puteh dan Pamoga dalam pasaran. Dan beliau membuat pelaburan yang besar untuk tujuan ini.

Datuk Vida pernah mengalami keperitan hidup dan kesedihan sepanjang 15 tahun dalam perniagaan. Maka, tohmahan dan kritikan ini tidak memberi kesan kepada dirinya.

Tiada jalan pintas untuk berjaya

“Dalam membangunkan bisnes, tiada jalan pintas. Kita sebagai usahawan mesti melibatkan diri dalam bisnes sepenuhnya.”

Menurut Datuk Vida, beliau pernah keluar awal pagi dan pulang lewat malam semasa mengedarkan produknya sendiri. Datuk Vida memulakan perniagaan salon kecantikan semasa masih lagi bertugas sebagai guru. Beliau menggunakan dan menjual produk kecantikan syarikat lain sebelum mengeluarkan produk sendiri.

Berani bersaing

Tujuh tahun yang lalu, Datuk Vida memperkenalkan Pamoga iaitu sejenis minuman kesihatan selepas melihat permintaan terhadap produk kesihatan luar negara. Pamoga dengan formulasi gamat dan delima mendapat permintaan yang menggalakkan dalam pasaran tempatan.

Tindakan berani beliau untuk bersaing dengan produk luar negara memberikan pulangan lumayan sehingga beliau berjaya memiliki Wisma Vida Beauty di Ipoh, Perak.

Memperkenalkan produk sendiri

Selepas berhenti 24 jam sebagai guru, Datuk Vida memberi tumpuan sepenuhnya kepada bisnes dan mengembangkan bisnes salon kecantikan pada masa itu. Apabila bisnes salon kecantikan berkembang dengan baik, beliau mengeluarkan produk sendiri iaitu pencuci muka, krim siang dan krim malam.

Sejak itu, beliau mengeluarkan lebih banyak produk di bawah jenama Qu Puteh dan memperkenalkan Pamoga. Sehingga hari ini, Vida Beauty mempunyai lebih 400 stokis yang mengedarkan Qu Puteh dan Pamoga di seluruh negara.

Permintaan melonjak selepas Datuk Vida menaja Anugerah Juara Lagu sehingga stok diagihkan kepada stokis mengikut kuota. Iklan Qu Puteh menjadi dan melariskan jualan produknya.

Setiap hari fikir bisnes dan berdoa

Bisnes memang mencabar dan setiap hari beliau akan fikirkan bisnes. Beliau bersama pengurusan syarikat memberi fokus kepada perniagaan dan strategi untuk mengembangkan perniagaan.

Datuk Vida tidak berhenti berusaha selepas kejayaan Pamoga. Beliau memikirkan produk seterusnya yang sesuai dengan pasaran dan perniagaannya. Beliau menguatkan jenama Qu Puteh dan memasarkan makanan kecantikan di bawah label ini.

Beliau sentiasa berdoa setiap kali ingin membuat keputusan berkaitan bisnes termasuk keputusan untuk menaja program popular seperti Anugerah Juara Lagu. Dengan pelaburan yang besar, Datuk Vida memastikan iklan yang dibuat mesti mengikut cara yang beliau tetapkan. Ia berhasil.

Bermula dengan apa yang ada 

Datuk Vida mula berniaga sejak di alam persekolahan. Untung 30 sen daripada menjual nasi lemak dikumpul sehingga mampu membeli motosikal. Beliau menjual kain, telekung dan tudung kepada rakan dan pensyarah semasa belajar di Universiti Sains Malaysia.

Beliau menjadi anak yatim pada usia 9 tahun. Sejak itu, beliau berusaha untuk membantu keluarga dengan mencari wang saku sendiri. Ibunya menjual tanah di Kelantan semata-mata untuk menampung kos pendaftaran di universiti.

Beliau tidak berasa malu untuk berniaga dan mengumpul wang bagi menampung perbelanjaan di universiti. Berniaga sudah menjadi darah dagingnya dan beliau bermula dengan apa yang ada.

Matlamat untuk kaya dan bahagia dunia dan akhirat

Datuk Vida diuji hebat dengan kehilangan dua anaknya sekaligus dalam kebakaran lima hari sebelum menyambut Aidilfitri pada tahun 2013. Beliau mengambil masa setahun untuk bangkit semula.

Selepas kejadian itu, beliau semakin kuat berusaha dan bersungguh-sungguh untuk memberikan yang terbaik kepada keluarga dan anak-anak. Beliau terus berjuang untuk kejayaan dalam bisnes agar dapat membantu orang ramai dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Datuk Vida menaja sekolah tahfiz dan rumah anak yatim serta menubuhkan sekolah pondok sebagai pelaburan untuk akhirat. Matlamat beliau ingin kaya dan bahagia di dunia dan akhirat.

Sumber: Malaysia Gazette, Utusan, Astro Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *