Buku,  Penulisan

Laras Bahasa yang Sesuai Dengan Sasaran Pembaca Buku Kita

Saya percaya buku yang dihasilkan dengan baik dan mempunyai kualiti akan mendapat tempat di hati pembaca. Maksud menghasilkan buku di sini ialah segala proses yang bermula dengan pemilihan topik, senarai bab, proses menulis, proses menerbit sehingga menjadi sebuah buku.

Buku pertama yang saya tulis berkaitan bidang kewangan. Pada masa itu, saya menulis selepas menghadiri beberapa kelas penulisan yang menguatkan lagi keinginan untuk menulis buku. Oleh sebab saya bukan pelajar bahasa atau sastera, saya menulis mengikut keperluan topik dan pembaca sasaran. Sebenarnya, saya menulis menggunakan laras bahasa kewangan.

Laras bahasa ialah istilah teknikal dalam sosiolinguistik berkaitan dengan gaya dan penggunaan sesuatu bahasa. Dalam bahasa Inggeris ia disebut sebagai register. Apabila saya membaca lebih lanjut tentang laras bahasa, wujud pelbagai jenis laras bahasa.

Antaranya;
– laras bahasa umum
– laras bahasa sains
– laras bahasa sastera
– laras bahasa perniagaan
– laras bahasa undang-undang
– laras bahasa perubatan
– laras bahasa ekonomi
– laras bahasa kewangan
– laras bahasa ilmiah
– laras bahasa media
– laras bahasa agama
– laras bahasa sukan
– laras bahasa sains komputer

Laras bahasa umum atau biasa ialah bahasa yang kita gunakan seharian. Tidak terlalu teknikal tapi dapat menyampaikan maksud dengan ringkas, cepat dan mudah difahami. Selain bahasa umum, seperti yang saya tuliskan di atas, banyak lagi jenis laras bahasa yang wujud di dunia ini dan setiap satu laras bahasa mempunyai tujuan dan sesuai dengan sasaran penggunaan.

Apabila menulis buku kewangan misalnya, kita tak dapat mengelak daripada menggunakan istilah berkaitan kewangan. Laras bahasa juga menunjukkan perkembangan ilmu dalam bahasa ibunda yang kita amalkan seharian.

Katalah, banyak buku ilmiah untuk pengetahuan yang khusus dalam bahasa Inggeris diterjemahkan ke bahasa Melayu, ia mesti mengekalkan laras bahasa dalam bidang berkenaan. Walau bagaimanapun, kebijaksanaan penterjemah akan menjadikan hasil terjemahan itu mudah difahami oleh masyarakat yang membaca buku tersebut.

Seorang penterjemah yang saya temui semasa sesi bersama Mr Woo Seok Yu (penulis Korea Selatan) baru-baru ini, memberitahu saya semua buku akademik di universiti terkenal Korea Selatan sudah diterjemah ke bahasa Korea. Beliau yang belajar di Korea dalam bidang kejuruteraan mekanikal mesti menguasai bahasa Korea. Ini adalah contoh buku akademik yang diterjemah menggunakan laras bahasa bidang tertentu.

Bagi seorang penulis dan penerbit buku, aspek laras bahasa ini sesuatu yang penting untuk saya ketahui. Saya kira ia satu pengetahuan baharu walaupun saya telah menggunakan laras bahasa yang sesuai bagi setiap buku yang dihasilkan.

Contohnya, kebanyakan buku kami seperti buku travelog dan kumpulan kisah kanser menggunakan laras bahasa umum atau biasa. Buku kewangan dan cukai pula menggunakan laras bahasa kewangan dan percukaian. Mana tahu selepas ini kami akan menerbitkan buku dalam bidang lain pula. Jadi, kami mesti mengetahui laras bahasa yang sesuai supaya kami dapat menghasilkan buku yang berkualiti.

Gaya dan penggunaan bahasa ini memang sangat berkait rapat dengan sasaran pembaca kita. Seperti blog yang saya tulis ini. Saya menggunakan laras bahasa umum. Namun begitu, ada artikel berkenaan pelaburan yang saya tulis menggunakan laras bahasa kewangan.

Sebelum menulis buku, saya juga adalah seorang pembaca. Saya suka membaca buku yang menggunakan bahasa yang baik, berkualiti dan standard walaupun masih lagi santai. Seperti sahabat saya Normi yang banyak menulis travelog. Ayatnya ditulis dengan bagus tetapi santai. Santai di sini mudah difahami, namun apabila ditekuni mempunyai mesej di dalamnya.

Dr Noor Hayati Yasmin pula menulis buku tentang perubatan. Namun, buku yang ditulis berbentuk perkongsian pengalaman dan bukan buku teknikal perubatan, maka beliau menggunakan laras bahasa umum. Mungkin sesekali diselitkan laras bahasa perubatan mengikut kesesuaian.

Pembaca sebenarnya mempunyai standard yang pelbagai. Sebagai seorang penulis, tugas kita adalah menulis dengan baik dan cuba sehabis mungkin untuk menulis dengan sempurna. Walaupun kesempurnaan itu subjektif sekurang-kurangnya kita memenuhi standard bahasa yang boleh diterima umum.

Saya bersikap terbuka dan menulis untuk pembaca sasaran saya tanpa menilai tahap pemikiran bakal pembaca atau pembaca buku-buku kami. Seorang kanak-kanak bukan mempunyai tahap pemikiran yang rendah tetapi tahap pemikiran yang sesuai dengan usianya. Begitu juga orang dewasa. Orang dewasa secara umumnya mempunyai pemikiran yang matang dan bebas memilih bahan bacaan yang sesuai dengan dirinya. Ada kalanya mereka akan membaca buku dengan laras bahasa umum. Ada ketika, mereka perlu menelaah buku ilmiah dengan laras bahasa teknikal.

Hasilkan buku berkualiti tinggi dengan laras bahasa yang sesuai. Dua aspek ini akan menjadikan buku bertahan lama dalam pasaran. Boleh digunakan oleh generasi sekarang dan akan datang. Malahan seperti catatan seorang penulis berpengalaman luas,

“Penulis itu mesti ada agenda untuk membangunkan minda masyarakat.”

Rahmah Saad

Saya suka dengan peringatan ini.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial