Blog

Laut

Laut ini satu dunia yang misteri. Dua pertiga bumi ini adalah laut. Apakah isi laut yang begitu luas sekali ini? Pernah sekali saya mencuba discovery scuba diving iaitu aktiviti rekreasi untuk selam skuba bagi orang yang tidak mempunyai lesen menyelam skuba.

Saya berada di Mabul bersama beberapa rakan lain. Saya tertanya-tanya apa yang menyeronokkan dengan hobi menyelam skuba. Jadi, saya beranikan diri untuk mencuba discovery scuba diving. Bagi melakukan aktiviti ini, seorang dive master mengiringi saya dan mengajar saya asas menyelam skuba.

Saya memakai alatan skuba iaitu tong oksigen, alatan pernafasan dan fin. Bot bergerak tidak jauh dari pantai. Mungkin beberapa meter sahaja. Kemudian, dive master menyuruh saya turun dari bot. Sebelum itu, dia menunjukkan beberapa fungsi asas peralatan pernafasan dan isyarat mudah.

Saya turun ke dasar laut. Tidak dalam. Tapi cukup dalam untuk menenggelamkan diri. Saya duduk diam-diam di dasar laut yang berpasir. Kosong. Putih. Biru. Saya pandang ke hadapan. Saya tak berani memusingkan kepala. Mana ikan? Mana penyu? Mana karang laut?

Saya mula memikirkan hal seperti sesat dalam dunia yang sunyi dan kosong ini. Ketika itu dive master naik ke permukaan sebentar untuk membantu seorang lagi peserta.

Saya cuba menenangkan perasaan. Saya katakan yang dive master tak akan tinggalkan saya. Masa berlalu terasa lambat sekali. Saya yakinkan diri yang saya akan selamat. Hal yang saya paling takuti ialah sesat kerana saya memang lemah tentang arah.

Rasa lega apabila saya nampak dive master. Dia memandu kami ke tempat untuk melihat ikan dan penyu. Baru saya nampak dunia laut yang selama ini disebut oleh rakan-rakan yang menggemari aktiviti menyelam skuba. Ia seperti akuarium yang sangat besar. Akuarium tanpa sempadan.

Selepas aktiviti discovery scuba diving di Mabul, saya tidak meneruskan keinginan untuk mengambil lesen menyelam seperti sahabat baik saya. Mereka memang gemar aktiviti ini dan setiap tahun pasti mencari peluang untuk menyelam skuba di lokasi kegemaran mereka.

Bagi saya, aktiviti snorkeling sudah mencukupi. Saya berada di permukaan laut dan terapung dengan jaket keselamatan. Sesekali saya boleh mengangkat kepala dan bernafas seperti biasa. Jika saya rasakan saya sudah jauh daripada kumpulan snorkel lain, saya boleh kembali berenang perlahan-lahan di permukaan air yang tenang.

Laut begitu misteri dan indah sekali. Satu dunia yang berbeza. Memandang laut dapat memberi rasa damai. Tapi jika anda rasa tertekan yang keterlaluan, jauhi laut. Elakkan berjalan di persisiran pantai jika malam sudah berlabuh.

Laut itu begitu dalam bak puisi yang dinukilkan oleh Boy Candra. Saya sertakan puisi ini yang dibaca oleh @fiksionalisme

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlog, Coklat

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial