GST

Layanan GST untuk Hartanah Komersial

Hartanah komersial adalah jenis pembekalan yang dikenakan GST. Jenis hartanah komersial termasuk rumah kedai, pejabat, perniagaan runcit, pejabat kecil pejabat rumah (SoHo), pejabat kecil pejabat maya (SoVo), pejabat kecil pejabat fleksibel (SoFo), kilang, hotel, motel, rumah penginapan, asrama dan gudang.

Pemaju hartanah akan mengeluarkan invois cukai secara berperingkat untuk hartanah yang sedang dibina. Nilai yang dibilkan akan dikenakan GST. Berikut adalah tiga situasi contoh dalam pelaksanaan GST:

1. Hartanah komersial yang telah siap sebelum 1 April 2015

Pembeli dan pemaju sudah menandatangani perjanjian pada 10 Januari 2013 untuk rumah kedai bernilai RM750,000. Rumah kedai ini telah siap dibina pada 15 Disember 2014 dan semua invois telah dikeluarkan kepada pembeli. Pembekalan ini tidak tertakluk kepada GST kerana dibuat sebelum 1 April 2015.

2. Pembeli dan pemaju tandatangan perjanjian sebelum 1 April 2015, hartanah siap selepas 1 April 2015

Nilai pembinaan hartanah yang telah dituntut sebelum 1 April 2015 tidak tertakluk kepada GST. Manakala, nilai pembinaan pada atau selepas 1 April 2015 tertakluk kepada GST.

Contoh: Pembeli dan pemaju tandatangan perjanjian pada 30 Jun 2014 untuk lot pejabat bernilai RM1 juta. Nilai pembinaan yang sudah dibilkan sebelum 1 April 2015 ialah RM500,000. Jumlah ini tidak tertakluk kepada GST. Baki RM500,000 akan dibilkan secara berperingkat selepas 1 April 2015 mengikut nilai kerja siap. Jumlah ini tertakluk kepada GST.

Jika tiada peruntukan untuk GST di dalam perjanjian jual beli, nilai pembinaan pada dan selepas 1 April 2015 dianggap sudah termasuk GST. Pemaju tidak boleh menuntut cukai daripada pembeli. Pemaju perlu mengakaunkan GST daripada baki tersebut.

Dalam contoh diatas, jumlah GST ialah RM28,302 (RM500,000 x 6/106).

Jika terdapat peruntukan tentang GST, maka invois cukai akan termasuk GST sebanyak RM30,000 (RM500,000 x 6%). Pembeli akan menjelaskan bayaran mengikut invois cukai.

3. Pembelian hartanah komersial pada dan selepas 1 April 2015

Pembelian ini akan dikenakan GST secara berperingkat.

Elemen GST seharusnya diberi perhatian dalam perjanjian jual beli dan disebut secara jelas berkenaan tanggungan cukai ini. Ia penting untuk mengelakkan kekeliruan di antara pembeli dan pemaju hartanah.