GST

Lima kelebihan menggunakan sistem POS bagi peruncit yang mendaftar GST

Pelaksanaan GST pada 1 April 2015 secara langsung menggalakkan peniaga menyimpan rekod dengan betul dan teratur. Bagi peniaga runcit, mereka dikehendaki untuk menggunakan sistem POS (Point of Sales) untuk mengeluarkan invois atau resit cukai.

Kastam memberi tempoh 6 bulan kepada peniaga runcit untuk memasang sistem POS di premis masing-masing. Peruncit dalam 6 kategori berikut wajib memasang sistem POS atau mesin daftar tunai untuk mengeluarkan invois cukai kepada pelanggan. Peraturan ini dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2015.

  1. Kedai peralatan perkakasan (hardware)
  2. Restoran termasuk kedai kopi
  3. Pasar mini dan kedai runcit
  4. Kedai buku
  5. Farmasi
  6. Pusat hiburan

Peniaga berdaftar GST yang menjalankan perniagaan selain daripada diatas boleh mengeluarkan invois cukai cetakan komputer atau sedia dicetak (pre-printed). Walau bagaimanapun, mereka amat digalakkan untuk menggunakan sistem yang memenuhi syarat GST.

Apakah kelebihan menggunakan sistem POS?

Mengurangkan kesilapan menentukan kadar GST

Daftar barang dan kod barang akan dimasukkan ke dalam sistem POS. Peniaga boleh menentukan kadar GST sama ada sifar atau standard untuk setiap barang yang dijual. Proses ini dilakukan sekali sahaja. Sistem akan menjana kod barang secara automatik apabila juruwang mengimbas kod pada sistem.

Peniaga atau staf tidak dapat mengingati semua jenis barang dan kadar GST. Kuantiti dan jenis barang yang banyak dalam bisnes runcit lebih menyukarkan keadaan. Sistem yang telah menyimpan data ini memudahkan kerja dan mengurangkan kesilapan semasa menentukan kadar GST.

Memastikan laporan yang tepat dikeluarkan setiap bulan atau tiga bulan sekali

Peniaga perlu menghantar penyata cukai setiap bulan atau tiga bulan sekali bergantung kepada jumlah pendapatan tahunan. Jumlah transaksi yang banyak setiap hari akan menimbulkan masalah jika ia tidak dikemaskini secara automatik setiap hari.

Sistem POS atau mesin daftar yang patuh GST dikemaskini apabila berlaku jualan runcit. Pada akhir bulan, peniaga dapat melihat laporan penuh yang dijana oleh sistem. Laporan ini mengandungi maklumat jualan dan jumlah cukai output dan cukai input.

Merekod jualan dengan lebih tepat

Sistem POS mudah dikendalikan dengan latihan yang minima kerana sistem yang sedia ada sekarang mesra pengguna. Juruwang hanya perlu memahami beberapa langkah penting seperti kod dan butang tertentu pada mesin juruwang dan menggunakan imbasan bar kod.

Setiap jualan akan direkodkan terus dalam sistem POS dan supervisor boleh melihat laporan jualan harian untuk menyemak kerja juruwang.

Sistem POS boleh digabungkan dengan sistem akaun

Sistem POS sedia ada biasa dijual dalam pakej bersama sistem akaun komprehensif. Bagi peruncit yang belum pernah menggunakan sistem akaun, pelaburan ini amat berbaloi untuk memperbaiki operasi perniagaan mereka.

Akaun yang lengkap dan betul memberi maklumat penting perniagaan seperti jumlah jualan, kos jualan dan perbelanjaan lain.

Sistem POS yang bagus turut mengemaskini jumlah stokĀ 

Jumlah stok turut dikemaskini secara automatik. Sistem POS mampu merekod cukai input keatas barangan yang digunakan dalam perniagaan.

2 Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *