Umum

Lupa, Kebaikan Yang Kita Tak Sedari

Sehingga hari ini saya tak dapat mengingati kuih yang arwah bapa saya inginkan semasa ke Bazar Ramadan buat kali akhirnya. Hari itu, bapa bersiap-siap dan mahu ke kedai katanya. Jam sudah pukul 6 petang. Dia pada mulanya mahu memandu sendiri.

Tapi, kami tak benarkan. Jadi, saya yang menemankan. Kami pergi ke kedai taukey di Taman Bunga Ros. Kedai itu tempat kami membeli barang sekolah sewaktu saya masih di sekolah rendah. Itu bermaksud sudah lebih 30 tahun lamanya kami menjadi pelanggan mereka. Tauke itu masih mengingati bapa saya, berbasa basi bertanya khabar.

Bapa membelek sampul duit raya yang ada dijual di kedai itu. Tak banyak pilihan. Dia membeli beberapa paket. Memang kebiasaan, duit raya akan diisi siap-siap dalam sampul untuk diberi kepada kanak-kanak yang datang nanti.

Bapa saya kemudian berjalan lagi selang beberapa kedai. Kami masuk ke kedai elektrik. Mahu beli lampu bilik katanya. Saya ikutkan sahaja. Tauke kedai ini juga adalah kenalan lama. Bapa pernah beli peti ais dan mesin basuh. Malahan, peti ais yang sudah berapa kali rosak itu dihantar ke kedai ini untuk dibaiki.

Tauke itu menegur bapa saya yang sudah lama tidak datang. Dia nampaknya maklum tentang kesihatan bapa. Melihat mereka, saya menghargai persahabatan yang terjalin. Bayangkan berpuluh tahun menjadi pelanggan dan masih mengingati antara satu sama lain. Entahlah, mungkin bapa mahu bertemu orang-orang yang dikenali sebelum meninggalkan alam fana ini.

Sudah pukul 6.45 petang. Bapa mengajak ke balai raya. Ada orang berjualan juadah berbuka di situ. Saya berhenti di tepi jalan. Bapa saya mahu turun sendiri. Saya masih ingat kejadian hari itu. Selepas beberapa ketika, bapa kembali dan membawa sebungkus lengkong (agar-agar pandan). Dia ada menyebut makanan yang tak dapat dibeli. Sehingga hari ini saya tak dapat mengingati juadah apa yang diinginkan itu.

Saya lupa. Benar-benar lupa.

Kadang kala menyesal. Lama-kelamaan saya dapat menerima ini sebagai satu kebaikan. Mungkin sahaja maklumat itu tersimpan baik dalam laci memori. Tapi tak mampu saya mengeluarkannya. Lebih baik begitu. Jadi, saya tak akan merasa sedih apabila teringat kuih yang dimahukannya.

Lupa, antara kebaikan yang kita tak sedari. Cuba bayangkan semua perkara yang kita lalui sepanjang hidup ini tak dapat kita lupakan. Jika ia ingatan yang menyenangkan, sudah tentu dapat membahagiakan. Jika ia kejadian yang menyakitkan atau menyedihkan, sudah tentu membuat kita penasaran.

Hal-hal kecil dan rutin lebih mudah dilupakan. Contohnya, jika orang tanya apa yang kita makan semalam, belum tentu kita ingat. Melainkan orang yang betul-betul mempunyai kelebihan kuat ingatan. (Cuma sekarang sudah ada Instagram, boleh upload setiap kali mahu makan.)

Kita lebih mudah mengingati hal-hal penting. Itu pun kadang kala terlupa. Perlu ada orang lain mengingatkan.

Pernah tak kita rasa seseorang itu semacam sengaja buat-buat lupa? Dalam hal ini, kita perlu kebijaksanaan untuk menilai. Jika benar-benar lupa, maafkanlah dan move on.

Saya fikir, kita akan mengingati hal yang telah lama berlaku berbanding hal yang baru berlaku. Khususnya memori yang menyenangkan, mahupun memori yang meninggalkan luka atau menyedihkan.

Saya masih ingat, mak pernah membetulkan kain kurung ungu yang saya pakai di pagi raya ketika itu saya berusia 7 atau 8 tahun. Lipatan kain di sebelah kanan saya senget. Entah kenapa saya masih ingat sampai hari ini. Ia memori yang menyenangkan.

Beberapa hari lalu, saya sempat beraya di rumah seorang teman. Kali kedua ke rumahnya. Kebiasaan bagi orang tua untuk melayani tetamu. Bapanya menunjukkan saya foto lama berwarna hitam putih. Masih lagi berkeadaan baik. Kelihatan jelas wajah setiap orang dalam foto itu. Walaupun sudah berpuluh tahun, dia masih dapat mengingati maklumat penting seperti ini.

Tapi, menurut kawan saya bapanya mengalami ‘early dementia’. Simptom lupa pada hal-hal yang baru berlaku. Sebenarnya saya pernah datang melawat beberapa tahun lalu. Bapanya pernah menunjukkan gambar, lukisan dan buku dalam simpanannya. Saya tak berkecil hati pun. Bapa kawan saya ini orang yang luas pengalaman. Bertemu dengan orang-orang penting sepanjang hidupnya. Jadi, saya orang yang beruntung dapat mendengar cerita orang tua yang mahal pengalaman.

Lupa, satu nikmat yang patut kita syukuri. Cuma, jika kita mengalami masalah lupa yang teruk dan kronik, perlu dapatkan nasihat pakar. Mungkin itu simptom kesihatan yang perlu dirawat supaya tidak menganggu fungsi hidup kita.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial