Blog,  Travel

Melancong

My favorite word. Melancong atau travel sekarang, satu hobi yang mampu dilakukan mengikut bajet masing-masing. Sejak Air Asia melancarkan penerbangan tambang murah, semakin ramai yang dapat pergi ke lokasi menarik dalam dan luar negara.

Tempat pertama yang saya lawati bersama sahabat baik saya ialah Bukit Tinggi, Indonesia. Satu daerah di Padang, Sumatera Barat. Seingat saya, kami pergi selama empat hari tiga malam. Tidak menggunakan pakej. Tempah penginapan dan kemudian menggunakan khidmat supir setibanya di Bukit Tinggi.

Kami pergi ke Kelok 44 dan Tasik Maninjau. Makan Nasi Padang dan beli kain di pasar. Masa itu kami beli berpasang-pasang kain untuk diberi sebagai hadiah termasuk untuk diri sendiri. Ada perkhidmatan menjahit baju dan siap dalam masa sehari. Jadi saya dan rakan menempah dua pasang baju kurung. Bajunya daripada kain bersulam dan kainnya bercorak batik. Alahai… seperti tren baju raya sekarang ini. Fesyen itu kembali. Lebih kurang sepuluh tahun lepas saya dah pakai baju tu. Masih lagi disimpan sebagai kenangan.

Tahun-tahun seterusnya saya mula melancong ke tempat lain secara berkumpulan. Ada tempat yang saya pergi secara percuma kerana peluang yang diberi semasa saya bekerja. Ada juga tempat yang saya lawati dengan kos sendiri.

Melancong ialah satu cara untuk kita mencipta pengalaman. Melancong biasanya merujuk kepada satu tempoh perjalanan yang pendek dan kita akan kembali semula ke tanah air. Tempoh perjalanan paling pendek pernah saya lakukan ialah 2 hari dan tempoh perjalanan paling panjang ialah 10 hari.

Saya nak kongsi beberapa hal tentang pengalaman melancong:

1 – Bandar yang paling disukai

Bangkok dan Melbourne. Dua kali saya ke bandar ini. Bangkok sibuk tapi kemudahan pengangkutan awam yang lancar. Banyak tempat menarik yang boleh dilawati. Senang untuk ke luar Bangkok. Pernah memandu dari Bangkok ke Pak Chong di Nakhon Ratchasima.

Melbourne bandar yang tenang dan banyak bangunan lama. Itu pun saya bukan melawat ke semua tempat. Pertama kali datang dengan kawan-kawan. Kali kedua dengan keluarga dan sempat singgah di rumah sahabat yang menetap di sana.

2 – Peristiwa istimewa yang saya lihat

Saya pernah pergi umrah lebih kurang 20 tahun lepas dengan ibu bapa. Kami transit di Lahore, Pakistan dan menginap di salah sebuah hotel. Ketika itu saya tak menyangka ada majlis perkahwinan diadakan. Saya dapat menyaksikan pengantin perempuan yang berpakaian mewah. Sehingga hari ini saya belum mempunyai kesempatan untuk pergi ke Pakistan. Rupanya Pakistan sangat indah dengan kawasan gunung ganang yang belum dicemari. Saya mahu pergi ke sana satu hari nanti.

3 – Beg tarik atau beg belakang

Semestinya beg tarik. Pernah sekali saya bawa beg belakang ke Bangkok. Kemudian saya menyesal kerana terpaksa memuatkan semua barang dalam beg itu dan beg satu lagi. Terasa seksa nak menunggu hari pulang ke Malaysia. Kononnya nak travel light. Jadi travel yang menyakitkan belakang dan bahu saya. Mungkin juga beg yang saya bawa itu tidak selesa dan saya juga kurang arif memilih beg belakang yang bagus. Selepas peristiwa itu, saya tak pernah bawa beg belakang untuk travel ke luar negara.

4 – Berkumpulan atau solo

Tidak pernah travel secara solo. Mungkin saya akan lakukan suatu hari nanti. Mana tahu. Saya lihat ramai kenalan saya travel secara solo dengan selamat. Malahan salah seorang traveler yang saya kenali dan mesra dipanggil ET, seorang yang berani dan pernah mengembara ke tempat asing dan mencabar.

Kebanyakan trip melancong saya bersama rakan-rakan dalam 5 ke 8 orang. Saya selesa dengan mereka dan sudah beberapa kali melancong bersama. Sahabat saya, Noor Hayati Yasmin yang selalu mengajak saya ke luar negara.

5 – Adakah saya menyediakan itinerari

Jarang sekali. Sebabnya ada di kalangan sahabat kami yang memang suka menyediakan itinerari. Saya biasanya akan membuat tempahan penginapan atau beli tiket masuk ke tempat yang kami mahu pergi. Melainkan saya travel berdua, nak tak nak kenalah berbincang untuk itinerari perjalanan kami.

6 – Travel ringan

Jika dahulu, kalau boleh semua benda nak bawa. Tapi lama kelamaan saya lebih bijak memilih barangan yang penting. Awal tahun ini saya ke Bali dan sebelum ke lapangan terbang keesokan harinya saya tidur di rumah Normi dan Anie. Hahaha… mereka bantu saya memilih barang yang patut dibawa supaya berat beg tidak melebihi 7kg. Agak ‘kejam’ juga mereka. Terpaksa saya tinggalkan pouch dan beberapa helai baju untuk meringankan lagi beg saya. Sebenarnya boleh kita melancong dengan beg yang ringan. Lebih mudah dan tidak perlu menarik beg yang berat dan kemudian keletihan.

7 – Membeli-belah ketika melancong

Semasa melancong ke beberapa tempat di peringkat awal, pastinya saya akan membeli barang untuk dijadikan hadiah. Tapi semasa trip akhir-akhir ini, saya mengurangkan duit belanja untuk membeli-belah. Saya ingat balik banyak barang atau cenderamata yang saya beli kemudian tersimpan begitu sahaja. Jadi lebih baik saya beli barang yang betul-betul saya mahu gunakan atau simpan sebagai kenangan. Jika dulu saya bekerja, saya cuba sebaik mungkin membawa cenderamata tanda ingatan kepada kenalan di tempat kerja. Tapi sekarang, saya hanya beli sedikit sahaja. Minimalis katanya. Lagipun, tidak berat saya nak mengangkut beg untuk dibawa pulang.

8 – Buku travel yang saya suka

Saya suka baca buku travel oleh Normi Nas, sahabat saya. Saya dan Noor Hayati Yasmin ada menulis buku travel juga.

9 – Negara yang saya mahu lawati

Iran dan Turki.

10 – Pengajaran daripada melancong

Mengenali budaya orang lain. Menghormati cara hidup mereka. Bersifat terbuka dengan nilai hidup masyarakat. Berfikir sebelum menghukum. Dan mencipta kenangan yang bermakna semasa dalam perjalanan dengan sahabat atau ahli keluarga kita. Kembali dengan sudut pandang yang baharu selagi tidak bertentangan dengan kepercayaan kita.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSurat, Hujan, Mimpi

Please follow and like us:

2 Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial