Umum

Menciptakan Kesempatan

Saya menghubungi seorang sahabat. Kali akhir kami bertemu semasa Ramadan yang lalu. Syawal masih diraikan. Saya mencari kesempatan supaya kami dapat berjumpa.

Dia yang melawat sahabatnya di Kluang. Saya kira tentu boleh, apatah lagi dipelawa sama menziarah ke rumah kenalannya itu.

Maka, kesempatan dicipta. Johor Bahru dan Kluang tidaklah jauh. Saya boleh memandu. Sejam lebih sahaja perjalanannya.

Sementelah, saya menerima pesanan ringkas di aplikasi Whatapps. Pengedar meminta saya menghantar buku dengan kadar segera. Walaupun rasa ‘malas’ menyinggah, tapi lenyap terus kerana sahabat saya tadi akan menemankan separuh perjalanan ke Kuala Lumpur.

Kesempatan yang saya syukuri. Kami berbual-bual dalam kereta, tak sedar yang saya sudah memandu melebihi 100 km.

Seorang lagi sahabat menunggu kami di Ayer Keroh. Bersungguh dia meminta saya berhenti di sini. Dia akan mengambil sahabat saya untuk pulang ke rumah mereka. Aduhai… mesti dia rindukan saya (perasan).

Terciptalah kesempatan pertemuan raya di tengah perjalanan. Cukup sebentar, moga mereka tak akan bosan bersahabat dengan saya lagi.

Pada jarak dan masa yang semakin mengejar, saya cuba menciptakan kesempatan-kesempatan yang menyenangkan.

Pagi-pagi menghubungi seorang sahabat yang lain agar dapat berjumpa. Lama betul tak bersembang bersua muka. Saya rasa sudah berbulan-bulan. Banyak kejadian yang telah berlaku. Walaupun tak dapat berborak lama, tapi puas hati. Begitulah kami.

Dalam sela masa yang ada, saya mencari kesempatan lagi untuk singgah di rumah sahabat lain. Tidak jauh dari lokasi pengedar. Serba salah juga. Namun, saya mencuba nasib. Kita tak mahu menyibukkan tuan rumah. Yang saya harapkan dapat beraya sebentar. Walaupun dengan pakaian yang kasual tak menepati suasana raya. Dapat juga saya menjamah rempeyek dan biskut kelapa.

Jadi, buat sahabat yang mengerti, saya selalu begini cuba mencipta kesempatan. Namun, usah berkecil hati jika saya tak dapat memenuhi mahupun mencari kesempatan yang singkat dan bermakna seperti ini.

Apakah kesempatan manis yang anda ciptakan? Kongsi dengan saya di ruang komen.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial