Blog

Menelusuri Sejarah dan Budaya di Muzium Negara dan Muzium Diraja

Pertemuan kedua geng blogger dalam tahun ini. Tak sangka dalam tempoh singkat dapat berkumpul dan berukhuwah lebih erat lagi. Kali ini kami jalan-jalan di Kuala Lumpur. Tujuan utama ialah melawat Muzium Negara dan Muzium Diraja.

Asalnya, cita-cita tinggi nak pergi ke beberapa muzium iaitu Muzium Negara, Muzium Diraja, KL City Gallery, Muzium Kesenian Islam dan Galeri BNM. Nampaknya, kami hanya sempat ke dua buah muzium, Istana Negara (yang tiada dalam rancangan) dan Pasar Seni.

Muzium Negara

Bulan Merdeka

Kami berkumpul di Muzium Negara pukul 10 pagi. Masing-masing dari lokasi berbeza sekitar Lembah Klang. Ini kali kedua saya datang ke Muzium Negara dalam tahun ini.

Ada rakan yang sudah 5 kali datang ke sini, tapi masih tidak jemu lagi untuk melawat bersama kami. Masing-masing beli tiket masuk RM5 untuk dewasa dan RM2 sahaja untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Dua peserta kanak-kanak Myra dan Ilham setia menemani ibu mereka.

Muzium Negara dibahagikan kepada empat:
Galeri A – Sejarah Awal
Galeri B – Kerajaan-kerajaan Melayu
Galeri C – Era Kolonial
Galeri D – Malaysia Kini

Koleksi dan artifak yang dipamerkan di Galeri A menjurus kepada kewujudan tamadun manusia di Tanah Melayu. Ia mempamerkan teknologi primitif yang menyokong kelangsungan hidup manusia sejak berpuluh ribu tahun dahulu.

Batu digunakan sebagai pisau. Batu dengan permukaan bergrid sebagai pengetuk untuk melembutkan kulit kayu yang dijadikan baju. Batu dijadikan alat untuk bertani dan bercucuk tanam. Tembikar turut dipamerkan.

Antara artifak yang menakjubkan ialah rangka manusia Perak, keranda dan kubur.

Saya paling suka Galeri B yang mempamerkan kegemilangan kerajaan Melayu di Nusantara. Pada kurun ke-13 hingga kurun ke-15, Nusantara mengalami pembangunan yang hebat. Banyak artifak dipamerkan seperti duit emas, singahsana, senjata tradisional Melayu dan mural Hang Tuah.

Salah satu barang yang menarik dipamerkan ialah mangkuk tembaga Isfahan dan bekas pembakar setanggi daripada Maharaja Cheng Hua. Ada juga mangkuk ’empat segi sihir’ atau magic square bowl dengan tulisan ayat al-Quran di bahagian dalam mangkuk. Ia artifak dari kurun ke-18 zaman pemerintahan Dinasti Ching.

Saya fikir maksud ‘sihir’ di sini kemungkinan mangkuk ini digunakan untuk merawat orang yang terkena sihir pada zaman itu.

Beberapa artifak juga mempamerkan tulisan khat Jawi dan indah. Ini membuktikan tulisan Jawi sebagai khazanah budaya yang ulung dan hebat kerana digunakan dalam satu tamadun yang gemilang selama beberapa kurun.

Kami naik ke tingkat atas untuk masuk Galeri C dan Galeri D. Selepas melihat kegemilangan kerajaan Melayu, bermula pula zaman penjajahan yang menyakitkan. Satu peta dipaparkan semasa masuk ke Galeri C. Ia menunjukkan Selat Melaka yang menjadi tumpuan pedagang dari pelbagai benua seluruh dunia.

Pedagang dari laluan Bengal misalnya membawa kapas, kain, ubat, pewarna dan opium. Pedagang dari laluan Sumatera membawa lada, emas dan gading. Pedagang dari laluan China membawa seramik, sutera, besi dan perak.

Dengan kekayaan di semenanjung Tanah Melayu, penjajah memulakan misi pelayaran untuk menakluki semenanjung ini. Malah penjajahan berlaku dan mencipta sejarah duka buat generasi pada zaman itu.

Galeri D pula menunjukkan usaha pemimpin Melayu untuk mencapai kemerdekaan. Akhbar tulisan Jawi menjadi wadah perjuangan dan menyebarkan semangat merdeka.

Pencinta bahasa memperjuangkan bahasa Melayu dengan gigih sekali sehingga bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan. Namun, pemimpin kita pada masa itu mula menerima penggunaan bahasa Inggeris. Apabila kita lihat sejarah penaklukan ini, penjajah ketika itu sanggup mempelajari bahasa Melayu dan mendekati komuniti di Tanah Melayu. Mereka turut menulis dengan tulisan Jawi.

Walaupun mereka sudah memberi kemerdekaan, rupanya penjajahan halus telah berlaku apabila bahasa Inggeris semakin berkembang dan menjadi bahasa utama di dunia. Sedangkan bahasa Melayu tidak kurang hebatnya. Oleh sebab ia tidak banyak digunakan dalam perdagangan maka kepentingan bahasa ini semakin berkurangan.

Mari kita gemilangkan penggunaan bahasa Melayu. Cuba bercakap bahasa Melayu dengan baik. Tulis lebih banyak artikel bahasa Melayu untuk mengembangkan ilmu.

Rakan blogger (dari kiri): Moon Nasri, Norsa’adah, Yan, Kak Emila, Zalila Isa & Mimi Salleh.

Bas Hop On Hop Off

Hampir 2 jam kami berada di Muzium Negara. Kami berjalan ke kawasan parkir untuk menaiki bas Hop On Hop Off Kuala Lumpur. Mengikut peta hentian di laman web, bas ini akan berhenti di 27 hentian sekitar bandar raya dengan dua laluan utama. Laluan hijau bermula dari Bukit Bintang, Pasar Seni, Muzium Negara, Istana Negara sehingga Masjid Jamek dan Kampung Baru. Laluan merah bermula dari Bukit Bintang ke KLCC, KL City Walk dan Petaling Street.

Kami naik bas HOHO untuk ke Istana Negara. Masing-masing teruja kerana pertama kali naik bas ini, seperti pelancong luar negara. Harga tiket ialah RM25 untuk dewasa dan RM15 untuk kanak-kanak 12 tahun ke bawah. Tiket ini boleh digunakan dalam tempoh 24 jam.

Tingkat atas bas Hop On Hop Off KL

Istana Negara

Tak sampai 10 minit kami pun tiba di Istana Negara. Masing-masing terpinga-pinga. Betulkan Muzium Diraja di sini? Ini Istana Negara yang baharu. Barulah kami sedar yang sudah salah destinasi. Muzium Diraja terletak di Jalan Istana dan bukan salah satu hentian bas HOHO. Apa lagi, sudah tiba di sini, kami pun bergambar sekejap. Kalau tidak sesat begini, memang tak datang ke sini semata-mata untuk bergambar.

Orang awam hanya dibenarkan bergambar di kawasan perkarangan Istana Negara. Tempat parkir disediakan untuk bas pelancong dan kenderaan lain. Jika anda suka, boleh datang dan lihat lebih dekat dan boleh berposing di depan Istana. Dua orang pegawai ditempatkan di pintu Istana. Seorang berdiri dan seorang lagi menunggang kuda.

Muzium Diraja

Kami menaiki Grab ke Muzium Diraja. Tiket masuk berharga RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak. Ada ruang parkir di hadapan pintu masuk. Kami perlu berjalan kaki untuk ke Istana Lama dan kawasan pameran.

Muzium Diraja ini dibuka pada tahun 2013. Ia adalah Istana Negara lama yang digunakan sehingga tahun 2011. Bangunan ini asalnya milik seorang jutawan Cina dan dibina pada tahun 1928.

Ketika ini sedang berlangsung pameran khas, Pameran Raja Kita 2019 sempena pertabalan Yang Dipertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Pemaisuri Agong Tunku Azizah.

Pelawat perlu membuka kasut dan tidak dibenarkan mengambil gambar ruang dalam Istana. Setiap ruang dilabelkan. Bilik peraduan, bilik santapan, bilik bacaan, bilik mandi, bilik bersolek dan sebagainya. Bagi orang yang mudah sesat seperti saya, boleh keliru dengan kedudukan setiap bilik dalam Istana. Mungkin lebih 20 bilik dengan kegunaan khas.

Hiasan dalaman Istana menggunakan warna pastel selain warna kuning keemasan yang menjadi warna diraja. Langsir berwarna pic dan merah jambu. Cadar berwarna putih gading dan hijau daun. Kertas dinding berwarna cerah seperti kuning air dan coklat cair.

Setiap ruang disekat dengan penghadang. Orang awam tidak dibenarkan masuk ke kawasan berkenaan. Boleh lihat dari jauh. Hanya tukang kemas dan cuci sahaja dibenarkan masuk untuk memastikan kebersihan perabot dan alat di dalam setiap bilik.

Pameran Raja Kita 2019

Ini pameran khas yang berlangsung mulai 5 Ogos – 5 November 2019. Kami keluar dari Istana dan jalan kaki ke dewan bersebelahan. Di ruang ini, pelawat dibenarkan mengambil gambar.

Enam bahagian pameran dalam dewan ini. Bahagian A memaparkan pengenalan dan sejarah pemerintahan beraja. Surat ucapan tahniah Raja-raja Melayu kepada Queen Elizabeth II yang ditulis dengan tulisan Jawi dipamerkan.

Bahagian B mempamerkan proses pemilihan YDPA dan bidang kuasa. Orang awam dapat melihat pakaian istiadat pertabalan dan beberapa lagi pasang pakaian diraja yang pernah diperagakan oleh Sultan dan Pemaisuri di Bahagian C. Sudah tentu rasa kagum dengan kehalusan tenun Pahang yang digayakan oleh Pemaisuri. Saya dapat melihat dari dekat kain tenun yang mewah ini. Kain yang dijahit menjadi sepasang persalinan kurung moden yang ringkas cukup menyerlahkan penampilan keluarga diraja ini.

Sultan pula memakai muskat diraja. Baru saya tahu, rekaan muskat ini berasal dari Muskat, Oman. Baju hitam disulami benang keemasan dan dipakai semasa upacara pertabalan. Selain persalinan pertabalan, baju kurung yang dipakai oleh Pemaisuri semasa pernikahan baginda turut dipamerkan.

Kita juga dapat membaca warkah merisik daripada Sultan Ahmad kepada Sultan Iskandar yang ditulis dalam tulisan Jawi. Ini membuktikan tulisan Jawi bernilai tinggi dan digunakan dalam persuratan kerabat diraja dan bangsawan.

Jadi entah kenapa ada golongan masyarakat yang memandang enteng keistimewaan tulisan Jawi dan seni khat yang mahu diperkenalkan kepada pelajar sekolah rendah.

Baju kurung untuk pernikahan Pemaisuri Tunku Azizah.

Bahagian D mempamerkan sejarah kesultanan Pahang dan hubungan kekeluargaan Pahang-Johor. Bahagian E pula khas untuk koleksi peribadi Sultan dan Bahagian F khas untuk koleksi peribadi Pemaisuri.

Buku masakan dan apron chef antara koleksi menarik pemaisuri. Baginda juga seorang yang kreatif dan mahir dalam kerja tangan dan kraf seperti jahitan tampal dan mewarna kain batik.

Satu pameran yang mesti dikunjungi. Bagi saya, persalinan Pemaisuri dan koleksi peribadi Baginda sangat istimewa. Jangan lupa, pameran ini akan berlangsung sehingga 5 November 2019.

Pasar Seni (1888)

Kami menaiki Grab sekali lagi untuk ke Pasar Seni. Perlu makan tengah hari (petang) kerana sudah pukul 3 petang. Sempat jalan-jalan di bahagian dalam Pasar Seni. Ada rakan yang sempat beli buku langka. Setengah jam sahaja. Kalau mahu melihat-lihat semua bahagian di Pasar Seni ini, mungkin perlukan masa 2-3 jam.

Kami menyeberang jalan dan menunggu bas HOHO untuk kembali ke Muzium Negara. Tamat pertemuan dan jalan-jalan muzium kali ini.

Oh ya, jika bawa kereta dan parkir di Muzium Negara, pastikan bawa kad Touch N Go. Caj parkir juga mahal di sini. 7 jam, RM24 dikenakan. Sepatutnya pihak muzium meletak kadar yang lebih munasabah untuk pengunjung muzium.

Banyak lagi tempat menarik sekitar Kuala Lumpur yang tak sempat kami lawati. Mungkin akan datang kita boleh pergi ke Perpustakaan Kuala Lumpur dan KL City Gallery tidak jauh dari Pasar Seni. Singgah ke Bangunan KTM dan Masjid Jamek serta River of Life.

Writing prompt Ogos 2019: Going Out More Often
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial