Nota Khutbah

Menghormati jiran

“Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan dia dengan sesuatu apa jua; berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki, sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri.” (An-Nisa: 36)

Jiran ialah orang yang paling hampir dengan kita dan mudah untuk meminta pertolongan jika berlaku musibah. Hubungan yang baik dengan jiran mengeratkan ukhuwah dan mengelakkan prasangka yang bukan-bukan. Apabila kepercayaan sudah terbina, maka urusan menjadi lebih mudah pada masa akan datang.

Rasulullah SAW bersabda:

“Jibrail sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu ada hak pusaka.”

Kata perbandingan yang menunjukkan seolah-olah jiran itu ada hak pusaka menguatkan lagi tuntutan supaya kita berbuat baik kepada jiran sepertimana kita melayan kaum kerabat kita dengan kebaikan juga.

Jiran adalah golongan yang penting dalam masyarakat kerana:

1. Jiran yang paling pantas untuk memberi pertolongan tidak kira masa apabila kita menghadapi kecemasan atau musibah.
2. Menambahkan sahabat dengan jiran yang mempunyai pelbagai latar belakang.
3. Menjamin keselamatan dan keharmonian dalam kawasan kejiranan yang sama untuk menangani isu jenayah dan gejala sosial.
4. Menjaga kebajikan penduduk setempat seperti menguruskan jenazah, membantu orang kurang upaya dan anak yatim.

Rasulullah SAW menyatakan enam hak orang Muslim yang perlu dilaksanakan dalam hadis berikut:

“Terdapat enam perkara hak Muslim yang perlu dilaksanakan terhadap Muslim yang lain iaitu memberi salam apabila bertemu, memenuhi undangan apabila dijemput, memberi nasihat apabila dipinta, memberi tashmit apabila bersin, melakukan ziarah apabila sakit dan mengiringi jenazah apabila meninggal dunia.”

Apa yang boleh kita lakukan:

1. Bersikap mesra dan memuliakan jiran adalah tanda orang beriman.
2. Jiran adalah bersaudara. Pamerkan sifat yang mulia dengan jiran yang bukan beragama Islam.
3. Bersangka baik dengan jiran.
4. Usah berhasad dengki dengan jiran.
5. Bertukar-tukar makanan, lebih-lebih lagi jika ia mempunyai bau enak yang kuat sehinggakan jiran terhidu bau tersebut.

Allah berfirman:

“Dan hendaklah kamu bertolong-tolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah maha berat azab siksanya (bagi sesiapa yang melanggar perintahnya).” (Al-Maidah: 2)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Ogos 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial