GST

Mengurangkan Kesan GST

Ulasan buku oleh Saudara Nizam Yatim di Utusan pada 31 Julai 2015.

BUKU ini sesuai dibaca oleh semua pihak yang ingin mengetahui tip terbaik untuk berjimat cermat setelah kerajaan memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Segala idea yang diberikan memang cukup bermanfaat dan praktikal memandangkan latar belakang penulis sebagai seorang akauntan berdaftar dengan Institut Akauntan Malaysia (MIA).

Langkah kerajaan memperkenalkan GST adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerana 82 peratus daripada 195 negara di dunia telah melaksanakannya berikutan banyak manfaat yang boleh diperoleh.

China ialah antara negara terawal di Asia yang melaksanakannya pada 1980 manakala Indonesia merupakan negara pertama di Asia Tenggara yang mula memper­kenalkan GST pada 1984 yang kemudiannya diikuti oleh negara ASEAN lain kecuali Brunei dan Myanmar.

GST yang merupakan hasil idea pegawai cukai Perancis, Maurice Laure pada 1954 yang dilaksanakan di banyak negara telah menunjukkan kesan positif khususnya bagi meningkatkan jumlah pendapatan negara.

Di Malaysia, langkah berkenaan adalah penyelesaian terbaik bagi menghadapi masalah kekurangan pendapatan daripada sumber minyak dan gas serta menurunkan nisbah kadar hutang negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini terus meningkat.

Menurut penulis, langkah kerajaan memperkenalkan GST adalah satu perkembangan di luar kawalan pengguna tetapi mereka boleh mengambil tindakan bagi memastikan sistem percukaian baharu berkenaan tidak memberikan kesan terlalu ketara.

Antaranya pengguna boleh bertindak untuk mengawal perbelanjaan mereka termasuk berbelanja kurang daripada pendapatan, membeli barang mengikut keperluan dan bukannya kehendak serta menjimatkan penggunaan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi.

Pertama, untuk berbelanja kurang daripada pendapatan seseorang itu hendaklah mengamalkan gaya hidup sederhana. Antara yang boleh dilakukan ialah tidak membeli barangan berasaskan jenama popular.

Jika pengguna bijak, mereka boleh membeli barangan yang mempunyai kualiti sama dengan yang berjenama pada harga lebih rendah. Lebih tinggi nilai barang yang dibayar, maka lebih tinggi jumlah GST yang kena bayar.

Beri keutamaan untuk membeli makanan asas yang belum diproses kerana bahan berkenaan lebih berkhasiat dan pada masa sama kebanyakannya tidak dikenakan GST berbanding makanan yang sudah diproses.

Dalam pada itu, utamakan untuk memasak sendiri di rumah kerana makan di restoran akan dikenakan GST. Rancang menu untuk dimasak dalam tempoh seminggu dan buat belian runcit secara sekali gus. Dengan cara itu pengguna akan menjimatkan kos perjalanan untuk membeli barangan runcit.

Kenderaan juga akan menggunakan lebih bahan bakar apabila terperangkap sehingga berjam-jam dalam kesesakan lalu lintas. Oleh itu, ketika pergi dan balik dari tempat kerja, pilihlah waktu yang tidak banyak kenderaan.

Kedua, seseorang itu hendaklah mampu membezakan antara keperluan dan kehendak. Setiap individu mempunyai keperluan yang berbeza tetapi secara umumnya ia merujuk kepada perkara asas yang mesti ada untuk menjalani kehidupan selesa.

Keperluan asas yang dimaksudkan ialah makanan, pakaian, tempat tinggal yang bersih dan selamat, pendidikan serta kesihatan.

Ini termasuk juga perlindungan insurans sebagai persediaan jika berlaku musibah yang menyebabkan beban kewangan bertambah seperti kerosakan harta benda akibat kebakaran, terlibat dalam kemalangan atau menghidap penyakit kritikal.

Kehendak adalah sesuatu yang kita mahukan tetapi tidak semestinya diperlukan pada masa sekarang dan perkara berkenaan boleh ditangguhkan.

Ketiga, GST hanya dikira ke atas penggunaan elektrik melebihi 300 kilowatt jam (kwh) atau RM77 sebulan. Untuk menjimatkan penggunaan tenaga, elakkan mengguna secara berterusan alat pendingin hawa dan pemanas air mandian.

Langkah-langkah penjimatan elektrik lain yang boleh dibuat ialah menutup lampu dan kipas di ruang yang tidak digunakan.

Untuk menjimatkan penggunaan perkhidmatan telekomunikasi pula, pengguna boleh memanfaatkan sepenuhnya aplikasi perhubungan percuma seperti WhatsApp dan WeChat serta mengurangkan bercakap melalui telefon.

Daftar untuk menerima bil secara dalam talian dan langkah berkenaan dapat mengelak pengguna dikenakan caj tambahan terhadap perkhidmatan cetakan bil yang dihantar ke rumah setiap bulan.

Penulis dalam bab penutup buku berkenaan berharap kerajaan dapat memegang amanah untuk mentadbir kutipan GST dengan telus dan berkesan serta menyalurkannya semula untuk faedah rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *