Mengurus harta pusaka

Indahnya Syawal dalam kegembiraan bersama sanak saudara dan sahabat handai. Ramadhan berakhir dengan rasa dekat kepada Tuhan. Didikan dan amalan dalam bulan mulia itu moga dapat diteruskan dan melahirkan jiwa insani yang bertakwa.

Adat berkunjung dan ziarah keluarga serta sahabat handai mengeratkan hubungan sesama kita. Dalam gembira ada juga yang terkenang ahli keluarga yang telah pulang ke Rahmatullah. Maka tenanglah mereka di sana. Tanggungjawab waris sepakatlah menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan. Agar selesai urusan dunia, yang pergi ringan bebannya, yang tinggal mudah jalannya.

Apabila berkumpul, isu harta pusaka antara perkara yang menjadi topik perbualan. Ia berkisar hal waris dan harta-harta yang ditinggalkan si mati. Pada masa ini kita diuji untuk mengutamakan mana yang lebih utama. Mengenalpasti siapa waris dan menunaikan hak mereka lebih penting daripada prasangka buruk tentang perkara yang belum terjadi.

Berikut adalah panduan ringkas bagaimana untuk memulakan urusan pentadbiran harta pusaka si mati:

  1. Kenalpasti waris utama si mati iaitu bapa, ibu, pasangan (suami/isteri-isteri) dan anak-anak
  2. Senaraikan semua harta yang dimiliki si mati semasa kematiannya seperti wang tunai, hartanah, emas dan perak, perniagaan, wang simpanan, KWSP, Tabung Haji, insurans dan saham
  3. Buat permohonan Sijil Faraid di pejabat Agama / Mahkamah Syariah untuk mendapatkan pembahagian Faraid setiap waris
  4. Semak jika si mati ada membuat wasiat
  5. Rujuk urusan pentadbiran ke Pejabat Pusaka Kecil jika nilai harta pusaka kurang daripada RM2 juta
  6. Buat permohonan ke Mahkamah Tinggi jika nilai harta pusaka lebih daripada RM2 juta

Pentadbiran harta pusaka amat penting supaya urusan agihan dan pindahmilik harta kepada waris lebih lancar. Pentadbir yang dilantik menjadi wakil kepada waris dan memastikan harta pusaka dipindahmilik kepada waris yang berhak.

Sokongan dan bantuan daripada ahli keluarga terdekat seperti bapa saudara dan ibu saudara tentu dapat meringankan beban waris terutamanya jika ada waris masih di bawah umur. Konflik harta pusaka dapat dielakkan apabila semua memahami hak dan tanggungjawab masing-masing.

————————————————-

Buku Mudahnya Mengurus Kekayaan dalam Islam turut memberikan panduan pentadbiran harta pusaka orang Islam. Buku ini sedang dicetak. Boleh pesan di sini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *