Categories
Aktiviti Buku

Menulis Sebagai Terapi

Menulis dan membaca adalah aktiviti yang saling berkait rapat. Pada minggu lalu, saya berkongsi tentang membaca sebagai pengubat jiwa dalam sesi bersama Persatuan Biblioterapi Malaysia (PERBIMA).

Isnin lalu (28 Disember 2020), saya membicarakan tentang menulis sebagai terapi. Sering kali orang bertanya kepada saya, apakah cara untuk menulis. Saya katakan, cari apakah ‘tujuan’ kita menulis.

Selain daripada menulis untuk menyebarkan ilmu, berkongsi pengalaman hidup, berdakwah dan lain-lain, menulis juga adalah satu bentuk terapi diri.

Bagaimana menulis sebagai terapi?

1. Menulis untuk diri sendiri
Randy Pausch, seorang profesor sains komputer menulis buku The Last Lecture kerana memikirkan hayatnya yang tidak panjang. Beliau ingin meninggalkan pesanan dan nasihat kepada anak-anaknya. Pada mulanya, beliau memberi syarahan di universiti. Selepas mendapat sambutan yang hebat, beliau mengusahakan buku The Last Lecture dengan bantuan seorang jurnalis.

2. Menulis untuk mengatasi rasa keseorangan
Projek Lavender mengumpulkan kisah kanser oleh pesakit dan penjaga. Pengalaman saya menjaga ibu yang disahkan kanser mendorong saya menulis catatan pendek di blog. Selepas ibu saya meninggal dunia, saya fikir tentu ada kenalan dan orang lain yang mahu bercerita tentang kisah mereka. Saya mahu mengatakan yang kita tidak keseorangan.

Kemudian, Dua Penulis menerbitkan buku Projek Orkid yang bertemakan isu kesihatan mental. Penulis berkongsi pengalaman mereka dan cabaran yang dilalui. Dengan cara ini, penulis memberanikan diri untuk tampil dan melawan stigma masyarakat.

3. Menulis untuk bangkit daripada kegagalan
Gagal bukan penamat. Sahabat saya, Dr Noor Hayati Yasmin menulis buku Bangkit Selepas Gagal kerana kecewa selepas mendapat keputusan sarjana perubatan kecemasan. Beliau gagal. Namun, kegagalan ini tidak melemahkan semangat dan mendorong beliau menulis buku Bangkit Selepas Gagal.

Kegagalan hal yang biasa berlaku dalam hidup kita. Yang penting ialah menjadikan peristiwa gagal untuk melangkah ke hadapan seperti yang ditulis oleh John C.Maxwell dalam buku Failing Forward.

4. Menulis untuk merawat kesedihan
Agustinus Wibowo, penulis Indonesia menulis buku Titik Nol sebagai mengubati kesedihan apabila ibunya meninggal dunia. Dalam satu temu bual, beliau mengatakan satu bebanan seolah terangkat dari bahunya selepas selesai menulis Titik Nol.

5. Menulis untuk memberi inspirasi
Penulis buku The Things You Can See Only When You Slow Down, Haemin Sunim yang berasal dari Korea Selatan menulis catatan pendek di Twitter. Ia mendapat sambutan menggalakkan sehingga penerbit menghubunginya untuk mengumpulkan catatan beliau menjadi buku.

Anda boleh menulis untuk meluahkan rasa, mencatat hal-hal yang mengganggu fikiran dan memujuk hati. Jika kita berdepan dengan ujian kesihatan, kegagalan, kesedihan, kekecewaan dan kerunsingan, mulakan dengan membaca buku-buku yang mungkin memberi jawapan. Dan tulislah catatan kita, untuk diri sendiri.

Jika berimpian menulis buku pertama, tulislah.

Get inspired and write that book.

Program Galakan Membaca anjuran Persatuan Pustakawan Malaysia pada Isnin, 28 Disember 2020 bertemakan Masyarakat Berjiwa Besar Melalui Penulisan.

Boleh tonton siaran ulangan di sini:

Boleh ikuti saya di media sosial:
YouTube: Norsa’adah Ahmad
Facebook: Norsa’adah Ahmad
Facebook Page: Norsa’adah Ahmad
Laman web penerbit: Dua Penulis
Facebook Page: Dua Penulis

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *