Merancang pusaka dengan harta sepencarian

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi oleh pasangan suami isteri semasa tempoh perkahwinan mereka yang sah. Dari segi Syara’, tiada disebutkan tentang hukum harta sepencarian samada di dalam Al-Quran ataupun Sunnah. Walaubagaimanapun ulama’ bersepakat bahawa harta sepencarian ialah adat yang baik dalam masyarakat dan mempunyai kemaslahatan untuk dilaksanakan. Di Malaysia, tafsiran diantara perundangan Syariah negeri-negeri mempunyai sedikit variasi tetapi konsep asas adalah sama.

Apakah kepentingan dokumen Harta Sepencarian?

1) Ia merupakan deklarasi harta dan penetapan bahagian suami dan isteri

2) Menentukan pembahagian aset yang dimiliki semasa perkahwinan

3) Sebagai lambang kasih sayang diantara pasangan

4) Memudahkan urusan pembahagian samada disebabkan oleh perceraian, poligami atau kematian

5) Mengelakkan perbalahan berlaku sekiranya berlaku poligami atau perceraian

Dalam deklarasi harta sepencarian, pihak yang terlibat akan bersetuju dengan bahagian yang ditetapkan. Dokumen ini adalah sah dari segi undang-undang dan terpakai di Mahkamah untuk tuntutan.

Sekiranya dokumen harta sepencarian tidak dibuat, maka tuntutan perlu dikemukakan di Mahkamah Syariah oleh pihak yang ingin menuntut dan dia perlu mengemukakan bukti sumbangan dalam memperoleh aset berkaitan. Sumbangan boleh diambilkira samada secara langsung atau tidak langsung.

Mahkamah akan membuat penilaian tentang jumlah yang munasabah berkaitan tuntutan yang dibuat oleh pihak yang berkenaan. Bagi kes-kes poligami Mahkamah juga akan menilai semua sumbangan dan tuntutan pihak pihak yang terlibat sebelum membuat keputusan.

Pasangan suami isteri perlu merancang dalam hal ini supaya penyelesaian terbaik dapat dibuat semasa berlakunya perceraian ataupun kematian. Kadangkala urusan tuntutan di Mahkamah akan mengambil masa dan melibatkan kos yang tinggi sekiranya tiada perancangan dibuat dalam hal ini.

Hak suami atau isteri yang ditinggalkan selepas kematian juga dapat dipelihara dengan cara ini. Urusan pentadbiran harta pusaka menjadi lebih lancar dimana tuntutan harta sepencarian dapat dibuat serta-merta tanpa perlu mengambil masa yang panjang untuk mendapatkan kelulusan daripada Mahkamah.

Banyak kebaikan yang boleh dimanfaatkan oleh pasangan suami isteri di samping ia dapat memberikan ketenangan dan juga mengukuhkan lagi institusi kekeluargaan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *