Categories
Gaya Hidup

Minimalis

Kawan hantar gambar sepinggan mi goreng yang disediakan untuk sarapan pagi. Mi goreng dengan bebola ikan dan kobis. Dia kata, teringin nak makan mi goreng mamak. Tapi guna apa bahan yang ada jadilah mi goreng ‘simple’. Mi goreng minimalis. Barang kali.

Lalu saya pun terinspirasi untuk masak mi goreng juga. Ada satu pek Numie Gardenia, cenderamata kenduri kahwin. Cukuplah buat saya sarapan pagi. Tapi, mi goreng saya tak jadi minimalis. Saya bubuh udang, sawi, tepung goreng, kentang dan tauhu. Tak lupa juga telur dua biji. Semua bahan ini memang sudah ada dalam peti sejuk dan rak dapur saya.

Nak sedia mi goreng ‘minimalis’, mungkin kawan saya itu ambil masa 15 minit sahaja maksimum. Saya pula dekat sejam baru siap. Yelah, daripada mengisar cili kering, buat tepung goreng ala mamak, siang udang dan kemudian menggoreng mi. Tadaaaa… mi goreng tak minimalis langsung.

Buat pembaca, bukanlah namanya mi goreng minimalis ya. Hanya satu perbandingan tentang penyediaan mi goreng yang ringkas vs mi goreng yang banyak bahannya.

Nampak tak, masakan yang ringkas memang cepat disediakan berbanding dengan masakan yang banyak bahan. Apa kaitannya dengan minimalis?

Sebenarnya, kalau kita dapat hidup ringkas kita mempunyai lebih banyak masa untuk membuat hal yang kita suka. Jimat masa, dan mungkin juga jimat duit.

Adik saya tunjukkan satu gambar peminat dUCk yang menyusun kotak tudungnya setinggi siling rumah. Kira-kira ada lebih 100 kotak juga. Kalau congak-congak anggaran kosnya mencapai 5 angka. Adik saya cakap, dia beli tudung di Shoppee, 20 helai baru RM130. Kurang sedikit daripada harga sehelai tudung dUCk basic.

Itulah gaya hidup.

Apabila kita memilih hidup ber’jenama’, kita perlu menanggung kos untuk bergaya dengan jenama itu. Tapi kalau kita dapat melepaskan ‘jenama’, sudah tentu kita tidak terikat dan boleh berbelanja dengan bijak.

‘Kalau mampu, apa salahnya.’

Memang tidak salah pun. Pilihan hidup masing-masing.

Kawan saya dalam bukunya Misi Menjadi Minimalis ada menyebut tentang minimalis fikiran. Minimalis ini bukan tentang barang yang boleh dipegang sahaja. Ia tentang hidup lebih bahagia dan fikiran yang lebih tenang. Ada betulnya. Kalau barang kita sikit, lebih mudah mengemas dan tidak perlu lagi pening kepala memilih baju misalnya daripada puluhan pasang baju untuk ke tempat kerja.

Bercakap tentang minimalis, seorang sahabat memberi komen di Facebook.

‘Aku rasa tak boleh minimalis barang, tapi pastinya aku minimalis kawan-kawan. Memilih kawan-kawan.’

Sahabat saya ini memang suka shopping. Kalau pergi ke luar negara, agenda shopping mesti ada. Ada beberapa orang dalam grup travel saya ini suka aktiviti membeli-belah. Jadi apa salahnya kita ikutkan. Bertolak ansur gitu.

Saya setuju dengan dia bab kawan-kawan. Minimalis dalam memilih kawan yang rapat dan boleh dipercayai. Saya sendiri mengakui tak ramai kawan rapat. Hanya orang tertentu sahaja dijadikan tempat rujukan atau berbual-bual. Orang lain, minta maaf. Hanya hal kerja atau hal buku.

Sejak akhir-akhir ini saya juga dah kurangkan ‘like’ status kawan-kawan di Facebook. Dengan kurangnya aktiviti meng’like’, timeline saya lebih bersih. Nanti ada pula yang kata saya ini ‘kedekut’. Ahaha… suka hati merekalah ya.

Pada saya, kalau awak suka apa yang saya tulis nak ‘like’ atau senyap, tidak menjadi hal. Tidak mahu memberatkan fikiran. Saya amalkan minimalis di sini. Tidak mahu terlalu memikirkan hal yang tidak penting.

Sempena tahun baru 2020, mungkin kita boleh kurangkan barang dan kurangkan beban fikiran.

Selamat menyambut tahun 2020. Moga tahun mendatang ini memberi keceriaan, kejayaan dan kecemerlangan dalam mengharungi cabaran hidup.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *