Blog

Nasi

Daripada beras menjadi nasi. Hidangan asas nasi putih boleh dipelbagaikan dengan cara masakan yang berbeza. Terhasil nasi ayam, nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu dan nasi goreng.

Minggu lepas saya mencuba hidangan nasi beras perang. Pada mulanya saya tidak tahu nasi itu menggunakan beras perang. Sehingga tuan rumah memaklumkan. Masakan nasi berperisa itu sangat lembut dan aromanya menambat selera. Hampir sahaja saya menambah sesenduk dua lagi.

Saya pergi ke Kuala Terengganu sebelum bulan puasa. Sahabat saya mengajak makan nasi lemak ikan. Memang berbeza dengan nasi lemak yang biasa saya makan. Sedap juga.

Nasi kerabu menggunakan bunga telang menjadikan nasinya berwarna biru. Dilengkapi dengan lauk pilihan seperti ikan goreng tepung, daging bakar atau ayam goreng. Dicurah lada dan budu. Jika saya membeli nasi kerabu, saya minta penjual jangan menambah budu. Tapi jika sudah dicurah sekali, saya makan jugalah.

Kalau makan nasi briyani di Johor mungkin rasanya dan cara penyediaan berbeza dengan nasi briyani di tempat lain. Sekarang, banyak orang sudah pandai memasak nasi briyani malahan banyak juga restoran di Kuala Lumpur dan Lembah Klang yang menyajikan hidangan nasi briyani.

Malaysia ini memang meriah dengan makanan daripada pelbagai budaya. Tengok sahajalah pelbagai jenis nasi Arab yang diminati ramai. Saya teringat kira-kira 20 tahun lalu semasa menunaikan umrah dengan ibu bapa saya. Kami singgah di satu tempat perhentian. Nasi arab dihidang dalam talam yang besar. Memang cukup untuk makan 2 – 3 orang. Namun, bagi orang Arab itu memang saiz hidangan mereka.

Hidangan nasi sebenarnya terkenal di seluruh dunia dengan penyediaan yang berbeza mengikut budaya masyarakat. Ahad lepas saya cuba hidangan nasi pilaf atau plov yang berasal dari Kazakhstan. Saya mengikut sahabat yang pernah menikmati plov semasa melawat Uzbekistan.

Katanya, dia rindu dengan makanan Uzbek. Jadi, dia mencari restoran yang menghidangkan hidangan nasi pilaf. Astana Restaurant menawarkan makanan Kazakhstan, Rusia dan Uzbekistan. Kami berjanji untuk makan tengah hari sebelum saya pulang ke Johor Bahru.

Kami pelanggan pertama yang masuk. Sahabat saya biasa dengan menu yang disajikan. Saya serahkan padanya untuk memesan hidangan yang patut kami cuba.

Hidangan pilihan kami ialah:
Plov daging (Beef plov) – Nasi pilaf daging berempah
Plov daging kuda (Horsemeat plov) – Nasi pilaf sosej daging kuda berempah
Fried lagman – Mi goreng dengan daging dan lada benggala
Borsch – Sup daging dengan ubi bit, kobis dan krim masam
Samsa – Samosa berinti ayam
Shashlyk – Kebab daging
Teh panas

Nasi pilaf ialah nasi berempah dengan daging dan dihidang sekali dengan telur puyuh, delima dan cili. Daging yang dipotong kiub memang lembut dan rempah yang digunakan tidak terlalu banyak. Cukup memberi aroma dan rasa yang sempurna. Delima memberi rasa manis yang berbeza apabila dimakan sekali dengan nasi.

Teruja mahu mencuba nasi pilaf daging kuda. Rasa rempah pada nasi sama dengan nasi pilaf daging. Tiga keping potongan sosej daging kuda disertakan dengan nasi berempah. Daging ini agak masin.

Ini pertama kali saya makan hidangan berasaskan ubi bit. Saya tak sangka rasa ubi bit yang dicarik halus dalam sup daging ini cukup sederhana dan warna merah sup seperti tomato. Tidak begitu pelik. Kemudian sesudu krim masam melengkapkan rasa sup yang enak ini.

Fried lagman atau mi goreng juga sedap. Mi yang dihasilkan sendiri agak tebal tapi lembut seperti udon. Kemudian digoreng dengan cili, lada benggala dan batang celery. Daging yang dijadikan perencah juga lembut.

Samsa atau samosa berinti daging ayam pula serupa dengan karipap pusing bersaiz besar. Intinya menggunakan bawang kuning dan daging ayam hancur. Boleh tahan.

Shashlyk atau daging perap yang dibakar pada pencucuk memang lembut. Kami memesan daging kambing. Tiga cucuk shashlyk yang lazat. Tak perlu cicah sos.

Secara keseluruhan memang puas hati. Makan nasi, mi, air teh panas dan jus mangga. Semua sekali kosnya RM120 dan kami makan berempat. Boleh cuba hidangan lain pula.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijauZaitun, Sederhana

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial