NESTLE: Saham dengan Harga Paling Tinggi di Bursa Malaysia

Semangkuk Maggi adakalanya cukup untuk menghilangkan lapar. Atau sengaja pilih makan Maggi sebab ingin menukar selera. Apa jua alasan, Maggi memang terkenal seantero Malaysia juga di luar negara. Maggi Hot Mealz ini salah satu produk keluaran Nestle (M) yang dieksport ke luar negara. Jenama ini antara yang menyumbang kepada kenaikan eskport selain Milo Kaw, Kit Kat Mini dan Mat Kool Panda Ice Cream.

Maggi, Milo dan Nescafe, jenama yang tidak asing lagi. Ia masih lagi menjadi pilihan sama ada dalam ekonomi baik atau pun merudum. Orang tetap makan dan minum.

Saham Nestle (M) mula didagangkan di Bursa Malaysia pada tahun 1989. Hampir 30 tahun berada di pasaran saham dan ia saham dengan harga paling tinggi pada 24 Nov 2017. Harga ditutup pada RM91.96. Dalam tempoh setahun nilai saham ini meningkat sebanyak 18.5%.

Nilai pada 25 November 2016 ialah RM76.74. Jika seorang pemegang saham memiliki 100 unit saham bersamaan RM7,674 pada tahun lalu, pelaburannya pada hari ini bernilai RM9,196. Jika pemegang saham memiliki 1,000 unit, nilainya pada hari ini ialah RM91,960.

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) adalah salah satu pemegang saham utama Nestle (M) Bhd. Jumlah pegangan KWSP sehingga kini adalah 8% bernilai RM1.7 billion. Selain itu, PNB juga memegang saham Nestle. Secara tidak langsung, ahli KWSP dan pelabur Amanah Saham adalah sebahagian daripada syarikat ini. Namun, sebagai ahli KWSP atau pelabur Amanah Saham, mereka tidak mempunyai hak untuk mengundi dalam sebarang keputusan syarikat.

Sumber: Bursa Marketplace

Sepuluh tahun lalu. Harga saham Nestle (M) bernilai RM24.40. Saya ambil harga pada 1 November 2007. Kenaikan sebanyak 277%. Ini menunjukkan saham Nestle terus menaik sehingga hari ini. Saham ini juga antara 12 saham ‘blue chip’ yang memberi pulangan hebat sekiranya pelabur memilikinya sejak September 1998.

Krisis ekonomi ketika itu menyebabkan nilai ringgit ditetapkan pada RM3.80/USD1 sehingga 2005. Menurut analisis oleh The Edge, 1,000 unit saham Nestle pada 1 September 1998 bernilai RM5,089. Pada hari ini, ia bernilai RM91,960. Kenaikan sebanyak RM86,871 atau 1707%.

Pemegang saham Nestle bukan sahaja menikmati keuntungan daripada kenaikan nilai saham, mereka juga menerima dividen setiap tahun. Jumlah dividen tahun 2016 ialah RM2.70 sesaham. Bagi tahun 2017, Nestle sudah mengumumkan dividen sebanyak RM0.70 sesaham.

Adakah harga saham ini mahal? Mahal adalah sesuatu yang subjektif.

Penggemar jenama LV contohnya, mungkin merasakan harga beg LV tidak mahal dan mereka mampu memilikinya. Namun, bagi saya yang tidak memilih jenama memiliki beg LV bukan satu keinginan kerana harganya mahal dan saya juga tidak berminat dengan jenama ini.

Harganya tinggi. Ya. Ini saham dengan harga paling tinggi di Bursa Malaysia. Saham kedua tertinggi ialah Dutch Lady dengan harga RM60.00.

Nilai sebuah syarikat semakin meningkat disebabkan banyak faktor. Bisnes Nestle dalam bidang makanan sentiasa berkembang dan setiap tahun menyumbang kepada keuntungan syarikat. Malahan Nestle Malaysia baru-baru ini melancarkan hub pemerolehan global. Ia akan menjadi salah satu daripada tiga hub di dunia selain di Switzerland dan Panama.

Sejak 2013, margin keuntungan Nestle adalah di antara 11.4% – 12.6%. Bagi tiga suku tahun ini (sehingga September 2017), margin keuntungan dilaporkan ialah 12.9%. Sebagai perbandingan, Dutch Lady melaporkan margin keuntungan 12.5% sehingga September 2017 dan 14.2% bagi tahun berakhir 2016.

Walaupun harga saham Nestle dianggap tinggi, ia masih didagangkan secara aktif. Baru-baru ini, ia disenaraikan dalam index MSCI dengan saham Press Metal dan SP Setia. MSCI ialah Morgan Stanley Capital International. Index ini mengukur pencapaian saham yang disenaraikan.

*Disclaimer: Artikel ini adalah berdasarkan pembacaan dan rujukan yang dibuat oleh penulis. Ia hanya bersifat informasi sahaja. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh sebarang pihak yang menggunakan maklumat ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *