Orang miskin yang mendoakan

Isu gelandangan di bandaraya Kuala Lumpur menjadi topik hangat selepas Menteri berkenaan memberi arahan denda kepada penerima dan pemberi sedekah. Sehari selepas itu, Menteri itu juga dikecam hebat kerana melarang ‘the soup kitchens’, iaitu kumpulan NGO yang mengedarkan makanan kepada gelandangan di ibu kota meneruskan aktiviti mereka dalam lingkungan 2km daripada kompleks membeli belah terkenal, Lot 10.

Golongan gelandangan ini termasuk dalam kategori fakir dan miskin. Menurut Islam, kedua-dua golongan ini adalah golongan asnaf yang layak menerima zakat. Sementelah di bulan Ramadhan yang mulia ini, umat Islam akan menunaikan rukun Islam ketiga iaitu membayar zakat Fitrah. Maka, isu gelandangan ini amat relevan dengan umat Islam. Ia memberi gambaran tentang sistem sosio ekonomi yang berlaku di Malaysia, terutamanya di ibu kota.

Saya pernah menetap di Shah Alam dan Lembah Klang lebih lima tahun. Kini tinggal di Johor Bahru. Kedua-dua kota ini adalah antara bandar yang maju di Malaysia. Tidak dinafikan wujud golongan gelandangan ini di pusat tumpuan masyarakat. Mengapa? Tanpa punca pendapatan atau pendapatan yang sangat sedikit, mereka meletak harapan kepada insan yang berhati mulia untuk berkongsi sedikit rezeki dengan mereka.

Galakan memberi dalam Islam

“Bandingan orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah (perbelanjaan derma) ialah seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala (ganjaran) bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Baqarah 2:261)

Begitulah janji Allah di dalam Al-Quran kepada orang yang memberi derma kepada golongan yang kurang bernasib baik. Islam menggalakkan kita berbuat kebaikan kepada golongan fakir dan miskin. Tanpa golongan ini bagaimana golongan kaya hendak meraih janji Allah. Sedangkan doa mereka juga didengar Allah. Suatu ketika, saya amat terharu apabila seorang makcik mendoakan saya rezeki yang melimpah ruah walaupun jumlah sumbangan saya terasa kecil.

denda – jalan mudah dan paksaan

Menteri itu menggunakan kaedah paksaan apabila mengarahkan semua pengendali ‘the soup kitchens’ untuk memindahkan operasi di luar 2km radius dari pusat bandar sebelum hari Isnin. Masyarakat memberi pelbagai reaksi terutamanya di media sosial. Sokong atau tidak sokong? Menteri itu dilihat mengambil jalan mudah, walaupun melalui kenyataannya beliau mempunyai niat baik untuk membersihkan bandaraya Kuala Lumpur.

Golongan gelandangan ini sudah lama wujud dan mereka adalah sebahagian daripada masalah kemiskinan yang sepatutnya diberi perhatian. Menghalau golongan ini dari pusat bandar tidak menyelesaikan masalah kemiskinan. Seorang pengarah dokumentari menjalankan temubual dengan golongan ini. Beliau berkongsi di twitter tentang keperitan hidup mereka. Seorang ibu muda dan anaknya terpaksa meninggalkan rumah dan hidup di jalanan kerana didera suami. Setiap mereka punya cerita dan keperitan sendiri.

Mereka ada perasaan. Mereka insan seperti kita. Adakah kita sebahagian masyarakat yang memandang hina golongan ini dan menyokong ‘pembersihan’ mereka secara paksa? Atau kita mahu menjadi masyarakat yang mempunyai perikemanusiaan dan bergabung mencari solusi buat mereka?

Berbalik kepada anjuran agama

Zakat, sedekah dan wakaf adalah kaedah yang dianjurkan agama untuk mengagihkan kekayaan kepada golongan yang memerlukan. Zakat ialah rukun yang wajib dikenakan kepada individu yang layak. Sedekah dan wakaf pula adalah sumbangan sukarela.

Orang awam seperti saya mungkin tidak mampu menahan pihak berkuasa melaksanakan peraturan mereka, namun kami punya hak bersuara. Selebihnya, hanya sedekah dan empati yang dapat saya hulurkan mengikut kemampuan agar golongan fakir dan miskin ini dapat merasa nikmat makan dan rezeki lainnya.

Insya Allah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *