Inspirasi usahawan

Usahawan ini bermula dengan tiga ekor kambing, kini memiliki kandang yang memuatkan lebih 2,000 ekor kambing

osman - rm1

Gembala kambing dari usia 10 tahun

“Sekejap ya. Saya baru nak makan. Sibuk betul kerja hari ini,” ujar Tuan Osman.
“Mat, tunjukkan mereka kambing yang kita ada. Sementara saya makan.” Sambungnya lagi.

Pekerjanya yang bernama Mat itu menunjukkan kami kandang kambing tenusu dan kambing akikah. Jualan susu kambing boleh mencecah 100 botol atau lebih. Jualan kambing akikah boleh mencecah 300 ekor seminggu. Baru-baru ini mereka menjual lebih 400 ekor kambing kepada orang Nepal kerana mereka meraikan perayaan khas.

Saya dan rakan melihat kambing tenusu dan kambing yang diimport untuk dijual semula. Kami berasa bangga kerana dapat bertemu dan berbual panjang dengan pengasas Osman Goat Farm yang terletak berhampiran dengan sekolah rendah di Kampung Kangkar Tebrau.

“Saya mula membela kambing semasa darjah empat,” Tuan Osman memulakan bicara.
“Abang saya suruh jaga kambing-kambing yang dibelinya. Dia tak mahu saya bercampur dan bermain tidak tentu hala dengan rakan sekolah. Pulang sahaja dari sekolah, saya mengembala kambing di kawasan kampung.”

Tuan Osman menceritakan pengalaman semasa usianya masih muda. Selepas tamat persekolahan darjah enam, beliau tidak berpeluang menyambung pelajaran ke sekolah menengah. Bapanya telah meninggal dunia semasa usianya 11 tahun dan keluarga tidak mampu untuk membiayai pendidikannya.

Beliau bekerja di sebuah kedai runcit dari jam 7 pagi sehingga 11 malam. Begitulah rutin hariannya selama empat tahun setengah. Taukeh kedai hanya memberi cuti selama dua hari untuk Hari Raya Puasa dan sehari sahaja untuk Hari Raya Haji.

Bosan dengan tugasan yang sama, beliau ingin berhenti kerja. Pada mulanya taukeh tidak membenarkan. Menginjak ke usia 18 tahun, taukeh itu memberi modal dengan sebuah motor kepada beliau untuk menjual ikan keliling kampung.

Tidak lama selepas itu, beliau menjaja roti pula di Bandar Baru Uda selama empat tahun setengah. Duit keuntungan hasil jualan roti digunakan dengan cermat dan sebahagiannya disimpan. Beliau membeli sebuah van lama dengan wang simpanan yang terkumpul sejak remaja. Van itu dijadikan modal untuk menjual barang-barang runcit ke merata tempat sekitar Johor Bahru.

Siang menjaja barang runcit, petang hingga malam menjaga kambing

Suatu hari abangnya membawa pulang dua ekor kambing kampung. Kambing ini adalah ganti bayaran hutang seseorang kepada abangnya. Penghutang berkenaan tidak mampu membayar hutang secara tunai.

“Kau bela la kambing ni elok-elok,” pesan si abang.

Beliau terkenang zaman awal remajanya sebagai pengembala kambing. Kali ini beliau membuat pondok di tapak asal perusahaan Osman Goat Farm. Pondok didirikan tanpa modal yang besar dengan hanya menggunakan serpihak kulit kayu dan dialas dengan tikar getah. Kawasan yang didirikan pondok itu asalnya dimiliki oleh seorang berbangsa Cina. Pemilik tanah datang dan menghalau Tuan Osman keluar daripada situ.

“Kau keluar dari sini. Aku tak benarkan kau bela kambing atas tanah ni,” jerit Tuan tanah dengan kasar. Tuan Osman menjelaskan beliau hanya bela kambing secara suka-suka sahaja. Namun tuan tanah tidak mengendahkan rayuannya.

Berkali-kali Tuan tanah mengarahkan beliau keluar sehingga beliau menitiskan air mata kerana mengenangkan nasib si kambing. Terusik dengan kesungguhan Tuan Osman, akhirnya Tuan tanah membenarkan beliau terus membela kambingnya di situ dengan dua syarat. Yang pertama, bersihkan kawasan sekitar dan kedua, pada bila-bila masa beliau hendaklah keluar apabila diarahkan berbuat demikian.

Bila kambing sakit

Pada waktu pagi sebelum mula menjaja barang-barang runcit, beliau memberi makan kambing. Sebelah petang pula, beliau menjaga kambing dan membersihkan kandang. Beliau pulang ke rumah selepas maghrib.

Kambingnya bunting dan sakit kerana tidak dapat melahirkan anak. Buntu dengan situasi ini, beliau pergi ke Jabatan Haiwan untuk mendapatkan nasihat. Seorang pegawai veterinar menasihatkan agar kambingnya disuntik. Pegawai tersebut sudi membantu dan Tuan Osman membawanya ke kampung.

Bantuan pegawai ini tidak berhenti setakat di situ sahaja. Beliau memberi cadangan agar Tuan Osman membela lebih banyak kambing dan berkongsi tips penjagaan kambing yang betul. Tuan Osman membeli beberapa lagi ekor kambing.

Kambing jagaannya membiak dengan baik hingga jumlahnya mencapai 300 ekor. Jumlah yang besar untuk seorang penternak kambing pada masa itu. Pegawai dan kakitangan Jabatan Haiwan seringkali datang membuat lawatan.

Dalam tempoh itu, Tuan tanah beberapa kali datang menghalaunya keluar. Namun, setelah dipujuk beliau masih dapat membela kambing-kambingnya di kawasan itu.

Beli lima percuma dua

“Seolah-olah ia baru sahaja berlaku,” katanya dalam nada yang tersekat-sekat. Beliau mengakui setiap kali teringatkan peristiwa itu, perasaannya berbaur-baur. Hendak menangis kerana terharu dan ketawa kerana gembira. Mungkin sahaja mengalirkan air mata sambil ketawa. Beliau menerima nasihat dan cabaran daripada seorang yang sangat dihormati.

Semuanya bermula lebih 20 tahun lalu dengan dua ekor kambing jantan dan lima ekor kambing betina yang diimport daripada New Zealand. Pada masa itu, Pengarah Jabatan Haiwan membuat lawatan ke kandang kambing yang terletak di Kampung Kangkar Tebrau. Sudah ada 300 ekor kambing. Kambing ini dijaga dengan rapi tetapi tidak dapat dijual kerana permintaan yang sangat rendah.

“Bagus kambing-kambing yang awak jaga ni. Sihat dan bakanya berkembang biak dengan banyak,” puji Dr Kamaruzaman, Pengarah Jabatan Haiwan pada masa itu.

“Bagus memang bagus Dr. Tapi saya penat. Duit pun dah tiada. Saya nak tutup kandang kambing ni. Nak jual kambing pun tiada pelanggan,” rungut Tuan Osman.

“Jangan! Awak ada harapan sebagai penternak berjaya. Saya yakin dengan awak.” Pujuk Tuan Pengarah sambil menyentuh bahu Tuan Osman.

“Esok datang jumpa saya jam 10 pagi,” kata Pengarah sebelum pulang ke pejabat.

Keesokan harinya, Tuan Osman berbelah bagi sama ada mahu ke pejabat atau tidak. Sehingga jam 11 pagi, pembantu peribadi menghubungi beliau. Pembantu tersebut memintanya datang juga ke pejabat kerana Pengarah tidak keluar ke mana-mana dan masih menunggunya hadir ke pejabat.

“Saya tunggu awak dari pagi. Kenapa tak datang?” Aju Dr. Kamaruzaman setibanya Tuan Osman di bilik pengarah.

“Saya dah tak mahu bela kambing. Saya nak tutup kandang,” jawabnya.

“Saya ada cadangan baik. Sebab tu saya suruh awak datang jumpa saya. Awak bela kambing tenusu. Ada baka kambing dari Australia dan New Zealand.” Kata Tuan Pengarah.

Dr. Kamaruzaman mencadangkan beliau membela kambing tenusu. Pengarah itu berjanji untuk memberi peruntukan bagi dua ekor baka kambing jantan dengan syarat Tuan Osman membeli lima ekor kambing betina yang berharga RM2,500 seekor.

“Aku nak tutup je kandang kambing ni. Penat. Tapi tiada hasil,” kata-kata seorang yang sudah kecewa. Itulah yang bermain dalam fikirannya.

Berkali-kali dan berhari-hari beliau berkata pada diri sendiri bahawa beliau akan menolak tawaran itu. Setiap kali beliau berfikir tentang tawaran itu, pasti terlintas di hatinya apa yang Pengarah itu katakan kepadanya semasa membuat lawatan beberapa hari yang lalu.

“Saya yakin dengan awak. Saya pasti awak boleh berjaya dan dapat bantu orang lain pula. Beri manfaat kepada masyarakat.” Kata-kata dan sentuhan itu tetap segar dalam ingatan. Hanya satu sentuhan yang menyentuh kalbu akhirnya merubah kehidupan Tuan Osman.

Beliau bersetuju mengeluarkan modal sebanyak RM12,500 yang nilainya amat besar pada tahun 1990-an. Tujuh ekor kambing dari New Zealand sampai ke kampung. Beliau meletakkan daun-daun kering di bahagian atap untuk mengurangkan kepanasan. Beliau pasang kipas dan siram air dengan kerap.

Pegawai Jabatan Haiwan seringkali datang untuk memantau penjagaan kambing-kambing ini. Secara teknikalnya, dua ekor kambing jantan itu adalah sumbangan daripada kerajaan. Jadi pemantauan perlu dibuat oleh pegawai.

Beliau bersemangat kembali untuk mengusahakan penternakan kambing dengan bersungguh-sungguh. Selepas sebulan setengah, salah seekor kambing betina beranak. Ia mula membiak dan menghasilkan susu.

Keyakinan orang lain membangkitkan semangatnya untuk menerima cabaran. Walaupun orang di sekeliling ramai juga yang tidak percaya bisnes ini boleh berjaya. Dengan susah payah, beliau mengeluarkan modal untuk membeli lima ekor kambing.

Meminjam keyakinan daripada Tuan Pengarah, beliau menjaga tujuh ekor kambing semuanya termasuk dua ekor kambing jantan yang diberikan percuma oleh Jabatan. Sejak itu, Tuan Pengarah memantau pencapaian beliau dan sentiasa memberi kata-kata semangat. Sehingga kini, Tuan Osman akan melawat Tuan Pengarah yang sudah bersara itu setiap kali pergi ke Kuala Lumpur.

Dalam hidup ini, kita akan bertemu pelbagai ragam dan kerenah manusia. Kata-kata kita boleh sahaja menjadi permata yang tidak ternilai harganya. Atau menjadi bilah yang tajam membunuh masa depan orang lain. Hanya satu sentuhan dan kata-kata yang penuh keyakinan daripada seseorang yang dihormati membawa kepada kejayaan demi kejayaan kepada Tuan Osman pada hari ini. Seperti Tuan Pengarah yang berjasa ini. Sentuhan dan kata-katanya menjadikan usahawan ini seorang jutawan. Kini, beliau antara pengusaha ternakan kambing yang berjaya di Malaysia.

Menjual susu kambing di pasar tani pada awal 1990-an

“Siapa nak minum susu kambing? Cakap pasal susu kambing, orang geli.” Tuan Osman mengimbau kembali saat beliau memulakan bisnes kambing tenusu. Tidak banyak pendedahan tentang manfaat susu kambing pada awal 1990-an.

Kambing tenusu yang diimport mula mengeluarkan susu. Seekor kambing tenusu dapat menghasilkan sehingga 3 liter susu sehari berbanding kambing tempatan yang menghasilkan kurang 1 liter susu sehari. Semua susu yang diperah disimpan dalam peti sejuk.

“Bau susu kambing ini wangi dan sedap rasanya. Susu segar dipanaskan dahulu dengan teknik ‘double boiler’. Masukkan susu dalam mangkuk tahan panas. Kemudian masukkan mangkuk itu dalam periuk lain yang mengandungi air. Panaskan atas api.” Beliau menerangkan kaedah memasak susu kambing. Tuan Pengarah yang mengajar beliau kaedah ini.

Sebahagian susu kambing diagihkan kepada ahli keluarga dan jiran. Sebahagian lagi hanya diminum sendiri. Hari demi hari, stok susu kambing semakin bertambah. Susu dibekukan supaya tahan lama.

“Minggu ini awak bawa susu kambing ke Pasar Tani Larkin. Buka meja promosi,” cadang Tuan Pengarah.

“Boleh ke Dr.? Siapa yang nak jual?” Terpinga-pinga Tuan Osman.
“Awak jual susu kambing.” Tegas Tuan Pengarah.

Tuan Osman keluar selepas subuh ke Pasar Tani Larkin dengan membawa stok susu kambing. Walaupun berat hati, beliau lakukan juga semata-mata tidak mahu mengecewakan permintaan Tuan Pengarah. Tuan Pengarah sudah berpesan supaya beliau datang berjumpa di pejabat selepas habis berjualan di Pasar Tani. Dari jam 8 pagi hingga 11 pagi, beliau hanya dapat menjual 3 botol susu dengan nilai jualan RM21.

“Tak mahu la jual susu kambing lagi Dr. Hari ini saya hanya 3 botol sahaja yang terjual.” Adu Tuan Osman apabila sampai ke pejabat Tuan Pengarah.

“Bagus. Bagus. Tahniah! Minggu depan awak jual lagi di Pasar Tani.” Puji Tuan Pengarah.
Minggu berikutnya, beliau pergi lagi berjualan. Kali ini 7 botol susu terjual. Minggu seterusnya, begitu juga. Beliau mula hilang semangat. Setiap minggu beliau melaporkan hasil jualan kepada Tuan Pengarah.

“Minggu depan saya minta Puan Sabariah, Exco Pertanian perah susu kambing di gerai awak. Bawa kambing ke pasar.” Permintaan Tuan Pengarah membuatkan beliau makin galau. Tapi diturutkan juga.

Hasilnya, pada hari itu lebih 100 botol susu kambing terjual. Kehadiran Exco memerah susu kambing mendapat liputan media. Susu kambing keluaran Osman mula mendapat perhatian dan peminatnya sendiri. Beliau membeli baka kambing tenusu lagi luar negara untuk meningkatkan pengeluaran susu agar mencukupi untuk menampung permintaan yang menggalakkan.

Terbang ke Australia untuk bertemu pembekal kambing

Tuan Osman bertambah yakin apabila jualan susu kambing semakin meningkat. Kambing tenusu membiak dengan baik. Stok susu segar disimpan beku supaya tahan lama. Dugaan umpama rencah dalam kehidupan. Beliau diduga apabila stok susu banyak yang rosak. Setiap kali pelanggan membuat aduan, beliau akan menggantikan susu yang rosak dengan stok baru. Apa masalah utama? Sedangkan semua susu diproses dan disimpan dalam peti sejuk yang sama.

Masalah ini berterusan. Beliau nekad bertemu dengan pembekal kambing tenusu di Australia. Tuan Osman tamat pendidikan darjah enam dan tidak mahir berbahasa Inggeris. Beliau mengupah seorang rakan untuk menjadi jurubahasa.

“Kenapa susu yang saya simpan ada sebahagiannya rosak dan yang lain boleh diminum? Saya tak dapat mencari sebabnya. Saya dah banyak kerugian.” Pembekal di Australia itu tertawa apabila mendengar pertanyaan Tuan Osman. Berkali-kali juga beliau bertanya perkara yang sama. Gelak ketawa menjadi jawapan si pembekal.

“Bodoh betul kamu ini. Mudah sahaja. Rahsianya adalah cara penyimpanan susu itu. Pastikan botol susu disusun dengan jarak satu botol. Jangan disusun rapat-rapat. Proses pembekuan tidak sempurna jika ada permukaan yang terlindung daripada udara sejuk. Bakteria akan masuk. Susu menjadi rosak.” Jelas si pembekal.

“Inilah yuran yang kamu bayar. Datang jauh semata-mata untuk mendapatkan ilmu ini.” Sambung si pembekal.

Selepas menggunakan teknik yang diajarkan, stok susu beku dengan sempurna. Kerugian dapat dikurangkan. Kesanggupan Tuan Osman untuk belajar daripada pakar telah mengurangkan risiko kerugian dalam bisnesnya. Paling penting ialah beliau cepat bertindak agar pelanggan tidak lari akibat produk yang tidak berkualiti.

Kadang-kadang kita terpaksa membayar harga yang mahal untuk mendapatkan maklumat yang betul dan nasihat daripada pakar. Walaupun pada dasarnya, kita membelanjakan wang yang banyak tetapi hasilnya amat baik sekali.

Tahun 2015, Osman Goat Farm mencatatkan jualan susu kambing melebihi 100 botol sehari. Semuanya terus kepada pelanggan. Pelanggan yang membeli dengan kuantiti yang banyak akan mendapat diskaun.

Melabur dalam penternakan kambing dengan modal melebihi RM650,000

Pelanggan semakin bertambah apabila orang ramai mengetahui kelebihan susu kambing berbanding susu lembu. Permintaan sembelihan kambing untuk akikah turut meningkat. Penduduk yang beragama Islam menyedari tentang tuntutan untuk mengorbankan binatang ternakan seperti kambing sebagai tanda kesyukuran apabila lahirnya cahayamata ke dunia.

Pada tahun-tahun terawal, Osman Goat Farm hanya berjaya menjual 5 hingga 6 ekor kambing setahun untuk akikah. Kemudian, jualan semakin meningkat. Tuan Osman menerima permit untuk mengimport sendiri kambing dari luar negara. Kambing dijual dengan harga RM450 seekor pada akhir 1990-an.

Usaha yang bersungguh-sungguh dalam bidang penternakan mendatangkan hasil yang lumayan. Tuan Osman berjaya membeli tanah yang menjadi tapak asal kandang kambingnya sejak bertahun yang lalu. Tanah itu dibeli dengan harga RM650,000.

Melihat permintaan yang amat menggalakkan untuk kambing yang dibawa masuk ke Malaysia, beliau berani membeli sebidang tanah di Kulai dengan keluasan 14 ekar. Kandang yang lebih besar dibina untuk memuatkan stok kambing yang diterbangkan khas daripada Australia.

Kini beliau ke Australia untuk mengimport 2,000 hingga 3,000 ekor kambing sekaligus. Setiap tahun jualan meningkat. Setiap bulan, syarikatnya dapat menjual diantara 600 hingga 900 ekor kambing.

Layanan dan perkhidmatan terbaik untuk pelanggan

“Kita mungkin ada kemahiran mengeluarkan sesuatu produk. Tetapi adakah kita mampu menjualnya? Iklan amat penting. Supaya orang tahu tentang produk kita. Mesti ada peruntukan untuk iklan,” pesan Tuan Osman untuk usahawan baru.

Osman Goat Farm tersenarai diantara syarikat pembekal kambing dengan jualan tertinggi di Malaysia. Sebahagian besar jualan kambing dibuat terus kepada pelanggan. Pelanggan datang dari Johor dan Singapura untuk melihat dan memilih sendiri kambing akikah. Terdapat pelanggan yang datang dari jauh kerana yakin dengan kualiti kambing yang dibekalkan.

Syarikat memperuntukkan belanja untuk iklan di suratkhabar dan radio untuk memperkenalkan Osman Goat Farm. Banyak maklumat dipaparkan dalam laman web dan Facebook. Beliau menegaskan tujuan iklan adalah untuk memberitahu orang ramai tentang kewujudan syarikat. Namun, pelanggan yang berpuas hati dengan perkhidmatan mereka menjadi ‘ejen’ yang mempromosikan syarikatnya secara tidak langsung.

Tuan Osman berkongsi tentang salah seorang pelanggannya, “Seorang pegawai dari Kuala Lumpur membuat pesanan melalui telefon. Beliau yakin kami boleh menyiapkan tempahan kambing akikah sepertimana yang diminta.”

“Staf saya mengambil gambar kambing yang akan disembelih dan segala proses termasuk pembungkusan ditunjukkan kepada wanita itu. Penghantaran dibuat terus kepada madrasah pilihan. Saya minta Ustaz di madrasah itu untuk menghubungi pelanggan kami apabila telah menerima daging kambing yang dihantar.”

Pelanggan itu segera menghubunginya setelah mendapat maklumat daripada pihak madrasah. “Saya amat berpuas hati dengan perkhidmatan awak. Walaupun jauh, saya percaya yang Osman Goat Farm telah memberi yang terbaik. Terima kasih banyak-banyak.”

“Pelanggan saya ini telah mencadangkan Osman Goat Farm kepada rakan-rakannya. Kemudian, rakan-rakannya memperkenalkan lagi pelanggan lain,” kata Tuan Osman dengan senyuman.

“Sentiasa berikan yang terbaik. Jujur dalam perniagaan. Jangan jual kambing yang sakit atau tidak cukup umur. Pelanggan mungkin tidak tahu. Tetapi keberkatan dah tiada. Lama-kelamaan pelanggan dan bakal pelanggan akan lari jika mereka rasa tertipu,” sambungnya lagi.

Pelanggan tidak akan teragak-agak untuk membeli kambing yang berkualiti dan dijaga dengan rapi. Secara purata harga kambing yang dibekalkan Osman Goat Farm ialah diantara RM750 hingga RM1,200 seekor bergantung kepada saiznya. Kebanyakan pelanggan memilih kambing yang berharga RM800 hingga RM900. Terdapat pelanggan yang mampu membeli kambing yang bersaiz besar dan berbelanja melebihi RM1,000 untuk seekor kambing.

Melunaskan janji membantu masyarakat

Pengalaman hidup susah membuat dirinya tidak mudah lupa dengan golongan yang kurang berkemampuan. Tuan Osman mengingati semula ungkapan Dr Kamaruzaman yang percaya bahawa dia akan membantu masyarakat setelah berjaya mengembangkan bisnes.

Salah satu program yang mendapat sambutan amat menggalakkan adalah Kambing RM1 untuk akikah bagi bayi-bayi yang lahir pada 12 Rabiulawal di Johor. Ibu bapa bayi hanya perlu membayar RM1 untuk seekor kambing. Semua proses penyembelihan sehingga daging kambing dilapah dan dibersihkan adalah percuma.

“Berada pada tahap ini, mungkin nilai RM1 itu kecil bagi kita. Tetapi amat besar maknanya bagi ibu bapa yang menerima sumbangan ini. Mereka rasa gembira dan bertuah dengan kelahiran bayi pada hari yang bersejarah, hari kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W.” jelas Tuan Osman.

Tawaran Kambing RM1 dihebahkan melalui suratkhabar agar keluarga yang layak dapat mendaftar untuk program ini. Umpama serampang dua mata, laporan akhbar secara tidak langsung mempromosikan Osman Goat Farm dengan lebih meluas.

Program ini telah dianjurkan lebih lima tahun. Rezeki beliau berlipat ganda dan jualan sentiasa meningkat setiap tahun. Selain daripada program ini, syarikatnya turut memberi sumbangan untuk projek buka puasa di bulan Ramadhan. Sumbangan seperti beras dan daging kambing diedarkan kepada madrasah dan sekolah tahfiz yang terpilih.

Pada tahun 2015, beliau memperkenalkan program terbaru sempena Hari Deepavali. Osman Goat Farm meraikan 300 orang keluarga beragama Hindu dengan menyembelih 40 ekor kambing dan mengedarkan beras dan gula.

“Ini adalah salah satu medan dakwah untuk kita. Kita tidak mengajak mereka masuk Islam secara langsung. Tetapi kita ingin menunjukkan kebaikan dan akhlak kepada golongan ini. Apa yang kami lakukan adalah berdasarkan prinsip kemanusiaan dan bantu-membantu dalam masyarakat berbilang kaum,” katanya lagi menerangkan aspirasi di sebalik penganjuran program tersebut.

Beliau juga bermurah hati menjual kambing dengan harga diskaun untuk golongan orang kurang upaya. Menurutnya, tiada apa yang perlu dibanggakan dengan apa yang dimiliki sekarang. Syarikat
mendapat keuntungan daripada perniagaan dan tiba masanya untuk mengembalikan semula sebahagian daripada hasil tersebut kepada masyarakat.

Menghargai pekerja sebagai insan penting dalam perniagaan

“Kita meniaga dengan benda yang bernyawa. Kambing kalau sakit atau dianiyai manusia, dia nak mengadu macam mana. Dia tak boleh bercakap. Jadi dia mengadu dengan Tuhan. Sebab itu kita kena pastikan penjagaan yang sempurna. Beri makan apabila tiba masanya. Beri vitamin dan ubat yang diperlukan. Semua ini kita banyak bergantung kepada pekerja. Kalau pekerja kata dah beri ubat, tetapi sebenarnya dia tidak beri dos yang diperlukan tentu kambing akan sakit teruk dan akhirnya mati. Kita akan kerugian.”

Ini adalah salah satu risiko yang disebutkan oleh Tuan Osman. Beliau menyatakan bahawa pekerja adalah aset penting dalam sebuah perniagaan. Mereka bekerja bukan semata-mata kerana duit. Semua orang perlu kepada imbuhan material seperti gaji tetapi ia bukan segala-galanya.

Walaupun majikan telah memberi gaji yang setimpal, layanan yang baik kepada pekerja akan membuatkan mereka bekerja dengan bersungguh-sungguh. Beliau seringkali duduk berbincang dengan mereka dan menjelaskan matlamat syarikat. Beliau mengingatkan pekerjanya supaya menjaga binatang ternakan ini dengan baik dan rapi kerana ia melibatkan reputasi dan imej syarikat.

Beliau berpegang kepada prinsip bahawa kebaikan yang dilakukan kepada pekerjanya akan dibalas kembali dengan kebaikan. Sentiasa sensitif dengan keperluan pekerja dan menawarkan bantuan sebelum mereka meminta. Inilah rahsia beliau dalam melatih dan memastikan pekerjanya kekal dalam organisasi.

Penternakan satu bidang berpotensi besar

Beliau mengakui sangat cintakan bidang ini. Bidang penternakan mempunyai potensi yang amat besar. Jumlah penduduk semakin bertambah. Perniagaan dalam bidang makanan ini tidak akan mengalami kemerosotan yang teruk berbanding perniagaan lain. Beliau memberi contoh bekalan sayur-sayuran yang diimport daripada Thailand dan Indonesia kerana bekalan tempatan tidak mencukupi.

Jualan kambing tidak terhad kepada musim-musim tertentu seperti Hari Raya Haji. Setiap bulan ada sahaja permintaan untuk pelbagai jenis keraian. Jualan tertinggi biasanya dicapai pada bulan Haji dan cuti sekolah. Tetapi ada perayaan lain yang turut memerlukan bekalan kambing seperti perayaan kaum Nepal.

Beliau menggalakkan anak muda supaya menceburi bidang ini. Beliau melatih ramai bakal usahawan secara percuma. Mereka perlu menjalani latihan praktikal sekurang-kurangnya enam bulan untuk mempelajari selok-belok dalam perniagaan ini.

“Bagusnya bisnes ini kita boleh kembangkan sebesar mana yang kita mahu. Hanya perlu tahu cara-caranya dan berapa modal yang diperlukan. Berdasarkan pengalaman saya, RM30,000 sudah mencukupi untuk memulakan perniagaan ini. RM10,000 untuk membuat kandang dan selebihnya digunakan untuk membeli baka. Sediakan modal untuk mengiklankan perniagaan anda.” Saran Tuan Osman untuk mereka yang berminat memulakan bisnes ini.

Laman web syarikat: Osman Goat Farm

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *