Categories
Travel

4 Hari 3 Malam di Pulau Tenggol, Terengganu

Percutian yang dinantikan selepas berbulan-bulan tidak keluar dari daerah Johor Bahru. Situasi akibat pandemik semakin membaik dan kerajaan pun dah benarkan kita merentas negeri. Merentas negara belum lagi boleh. Sekarang ini Malaysia masih dalam tempoh PKPP (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan) sehingga 31 Ogos 2020.

Nampaknya ramai yang merasa lega dengan kelonggaran diberikan. Mengambil peluang merentas negeri untuk pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga dan rakan. Ya, bercuti. Itu yang saya lakukan minggu lalu.

Saya bersama teman-teman ke Pulau Tenggol di Terengganu. Kumpulan kami seramai 6 orang dewasa dan 4 orang kanak-kanak. Saya memang belum pernah ke Pulau Tenggol. Seingat saya lebih sepuluh tahun dahulu saya ke Pulau Perhentian yang popular itu.

Rakan memilih Pulau Tenggol untuk melakukan aktiviti scuba diving. Saya pula hanya bersantai-santai dan memilih untuk aktiviti ringan seperti snorkeling.

Kami bertolak ke Dungun, Terengganu pada hari Khamis (25 Jun 2020) dari Kuala Lumpur. Pemanduan yang lancar dan trafik tidak sesak. Kami tiba di FBS Inn Dungun selepas pukul 11 malam. Kami bermalam di sini supaya keesokannya tidak kelewatan untuk menaiki bot.

Dungun

Dah tiba di Dungun ini, sempat juga berjumpa dan sarapan di rumah seorang sahabat. Pagi-pagi sudah dihidang dengan nasi dagang dan nasi lemak ikan yang menjadi sarapan signature orang Terengganu. Kami juga makan kuih-muih seperti kuih kayu keramat. Kayu keramat ini seperti cakoi tapi rasanya manis.

Menaiki bot dari Jeti A’King, Jalan Raja Wali pada pukul 10.30 pagi. Semua penumpang ke Pulau Tenggol mesti menepati masa, jika tidak perlu membayar charter boat sebanyak RM800.

Perjalanan dengan bot laju ke Pulau Tenggol mengambil masa hampir sejam. Laut lepas yang membiru seolah meraikan kami yang merindukan ketenangan, bebas daripada ancaman pandemik.

Tiba di Pulau Tenggol

Tenggol Coral Beach Resort, salah satu operator di sini menempatkan kami di bilik dorm dengan katil dua tingkat dan bilik air sendiri. Bilik dorm ini di bahagian hujung sekali dan nampak baru. Bilik dorm boleh memuatkan 6 orang ini selesa dan bilik airnya bersih.

Selepas meletak barang-barang di bilik, para divers mendaftar untuk dive pertama mereka selepas makan tengah hari. Makan tengah hari dihidangkan secara buffet dan meja kumpulan kami sudah ditetapkan. Bagus juga susunan begini.

Sup labu air yang panas dan menyegarkan. Lauk-lauk yang disediakan juga menambat selera. First impression kami, berpuas hati dengan makanan yang disediakan. Yati memang seronok kerana ada ketam yang manis dan segar isinya.

Sementara para divers pergi ke dive spot pertama mereka, saya pula hanya berehat di bilik melelapkan mata. Mungkin akibat perjalanan yang jauh dari Johor Bahru-Kuala Lumpur-Dungun membuatkan saya letih.

Pada sebelah petang, saya menemankan anak-anak rakan untuk bermain pasir putih dan buaian di hadapan dorm kami. Nampaknya, anak-anak ini tak penat langsung. Berkali-kali masuk ke dalam laut dan ke tepian pantai semula.

Pulau Tenggol ini tidak terlalu besar. Oleh sebab hanya ada dua operator di sini, pelanggan pun tidak ramai. Jadi, agak privasi juga. Pantainya bersih dengan pasir yang putih dan halus. Airnya biru yang jernih. Daripada pantai, kita boleh snorkeling untuk melihat batu-batu karang dan ikan yang berwarna-warni. Cantik.

Hujan malam

Terasa angin bertiup kencang pada malam pertama kami di sini. Selepas makan malam lebih kurang pukul 8, kami cepat-cepat kembali ke bilik dorm. Oh ya, di sini kami tidak mendapat capaian internet kerana hanya Celcom sahaja yang mendapat akses. Itu pun signal lemah.

Bagus juga begitu. Sesekali tidak berhubung atau melihat media sosial yang menyesakkan. Terasa lebih tenang. Kami berehat sahaja di bilik dan tidur lebih awal.

Malam itu, saya tersedar beberapa kali dan hujan lebat di luar.

Hari kedua

Sarapan bubur nasi dan mihun goreng. Ringkas tapi cukup. Pagi ini Yati, Lean, Fizah dan Nat pergi ke dua dive spot. Elyani dan saya pula hanya menunggu di pantai. Saya membaca buku berjudul Pulau Karang oleh R.M Ballatyne, sebuah novel klasik terjemahan tentang pengembaraan Ralph, Jack dan Peterkin.

Memang sesuai membaca novel ini dalam suasana pulau yang tenang dan nyaman. Di sebelah petang, saya dan rakan-rakan dibawa menaiki bot ke Turtle Point. Ia tidak jauh. Turtle Point ini popular kerana jika bernasib baik boleh jumpa penyu di sini.

Tapi, pada hari itu kami tak berapa bernasib baik. Air agak berkocak dan tidak begitu jernih. Mungkin disebabkan hujan dan angin yang kuat. Sarah, Eva dan Isaac bukan main seronok snorkeling di sini. Ana yang berumur 4 tahun, masih takut-takut lagi tapi tetapkan bermain air dengan ibunya.

Selepas kembali ke pantai, kami membersihkan diri dan mengikuti kumpulan lain untuk hiking melihat matahari terbenam. Bukit di sebelah kiri pulau ini tidaklah tinggi. Tapi, boleh buat mengah juga bagi yang jarang hiking. Dalam 15 minit sahaja yang sampai di tempat melihat matahari terbenam.

Saya jangkakan tempatnya landai. Rupanya kami berada di bahagian cenuram. Bagi orang yang cepat gayat seperti saya, tidak berani untuk duduk di batuan cenuram. Dengan kumpulan hampir 20 orang itu, saya rasa tempat ini sempit.

Jadi, jika mahu ke atas ini pastikan berhati-hati dan peka dengan keadaan sekeliling. Langit agak berawan dan matahari terlindung di sebaliknya. Selepas bergambar di sini, kami turun semula. Boleh dikatakan hiking trail ini sangat mudah sebenarnya. Ada staf yang menemankan sehingga ke puncak. Elakkan pergi sendirian.

Hari ketiga

Para divers bersiap-siap selepas sarapan. Mereka melakukan dua dive pada pagi ini. Setakat ini, nampaknya mereka berpuas hati sehingga teruja untuk melakukan dive ketiga pada sebelah petang.

Selain aktiviti diving, tidak banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan. Bagi yang suka berkayak, boleh meminjam peralatan dan berkayak berhampiran pantai.

Pulau Tenggol ini memang sesuai untuk berehat dan menenangkan fikiran. Saya lihat ada juga pelanggan warga asing dan nampak meriah juga apabila masing-masing berkumpul di ruang makan resort. Ada juga yang membawa laptop untuk membuat kerja. Tapi santai-santai sahaja.

Dive spots di Pulau Tenggol

Selepas rakan-rakan saya kembali dari dive spot, kami sambung pula dengan snorkeling berhampiran pantai. Kali ini kami pergi ke bahagian lain dan nampak lebih banyak batu karang yang cantik-cantik.

Kalau boleh, anak-anak ini tak mahu naik ke pantai. Tapi hari sudah lewat petang. Kami balik ke bilik membersihkan diri dan kemudian ke ruang makan untuk makan malam.

Istimewanya makan malam kali ini ialah steamboat dengan pilihan makanan laut, ayam dan bebola. Sayur dan mi pun ada. Kuahnya tomyam dan sup biasa. Sedap juga dan tidak pedas. Kami boleh tambah lada dan bawang goreng dalam minyak buat penambah selera.

Sememangnya kami berpuas hati dengan menu yang dihidangkan sepanjang berada di sini.

Hari keempat

Hari terakhir di Pulau Tenggol dan kami bersiap awal untuk kembali ke Dungun. Bot dijadualkan bergerak pada pukul 8.30 pagi. Terasa sekejap sahaja berada di sini.

Kami sempat merakam gambar kumpulan sebelum menaiki bot dan pulang ke jeti. Satu percutian yang menarik. Tanpa kesibukan dan lebih menikmati keindahan pantai dan alam sekeliling.

Bagi yang mahu ke Pulau Tenggol, boleh hubungi Tenggol Coral Beach Resort dan dapatkan harga pakej mengikut keperluan. Boleh lakukan aktiviti scuba diving untuk peminat sukan ini atau snorkeling seperti saya.

Categories
Umum

What Will I Do Without You

What will I do without you. Satu penyataan dan bukan persoalan. Rasa ditinggalkan menyebabkan kekecewaan dan seolah diri tidak disayangi lagi. Seolah hari-hari mendatang tiada lagi sinar harapan. Apatah lagi sekelumit cahaya kebahagiaan.

Namun, jika ia satu persoalan: What will I do without you?

Jawapannya: Banyak.

Senang menyebut tapi sukar dibuat. Ia tak bermaksud mustahil. Perhubungan bersifat dinamik dan perasaan cinta boleh berubah. Cinta yang berputik boleh terus mekar dan membahagiakan. Sebaliknya juga, cinta boleh pudar dan tiada lagi rasa menyayangi. Yang tinggal mungkin simpati. Ia tidak bermaksud benci.

Usah paksakan diri dan memaksakan perasaan cinta dan sayang pada yang lain. Kerana kelukaan akan menjadi lebih dalam. Takut nanti memakan diri. Sedangkan masih banyak lagi yang mampu dilakukan.

Hilang orang yang disayangi, atau ditinggalkan orang yang dicintai memang pedih. Menangislah. Tapi bersedia untuk bangkit semula kerana masih ada yang sayang.

Mulakan dengan diri sendiri. Sayangi diri sebagai langkah pertama untuk merawat luka. Hadapi dengan berani. Kadang-kala sifat pentingkan diri menjadi tembok supaya kita tidak dilukai.

Keluar daripada perhubungan yang tak lagi membahagiakan akan memberi ruang kepada diri untuk merasai bahagia dan kasih sayang yang lain. Sebab satu perhubungan itu sifatnya bertimbal balas, jika tiada lagi perasaan sesama yang terbaik adalah melepaskan.

Melepaskan bukan beerti kalah, tapi memberi ruang kepada diri sendiri untuk mencari kebahagiaan yang lain. Mengorak langkah dengan lebih jauh dan lebih tinggi.

Mungkin inilah masanya untuk kita melakukan hal yang diingini. Bergerak ke hadapan dengan lebih baik. Maafkan diri dan melihat situasi dengan hikmah. Pandang sekeliling, siapakah orang yang penting dalam hidup kita?

Jika ditanyakan lagi: Siapakah yang mampu merawat luka ditinggalkan?

Jawapannya: Diri sendiri.

Beri peluang untuk mendapatkan bantuan dan sokongan. Namun, hal yang lebih utama ialah mencari kekuatan yang selama ini diselubungi kekecewaan. Rawatlah hatimu dengan panduan zat yang Maha Esa. Kerana hati ini berbolak-balik sifatnya. Pemilik hati jua dengan segala rahmat-Nya berkuasa untuk mengembalikan kebahagiaanmu.

Buat hati yang kecewa, bangkitlah dari kekecewaan itu dengan lebih kuat lagi. Semoga keindahan dan kasih sayang menjadi milikmu lagi.

Categories
Buku

Rak Buku Ruang Tamu

Apa ada dengan rak buku? Satu status di Facebook menyebabkan perbincangan hangat tentang rak buku di ruang tamu. Netizen memberikan pelbagai reaksi kepada hantaran asal.

Ramai juga yang berkongsi rak buku di rumah masing-masing. Kenalan dan rakan FB menunjukkan sisi mereka yang berkaitan dengan buku dan rak buku. Menarik sekali.

Saya dan rakan, Zalila Isa memulakan projek untuk mengumpulkan kisah menarik tentang buku dan rak buku. Mahukah menulis bersama kami?

Baca lanjut di duapenulis.com . Terma dan syarat penyertaan boleh dilihat di sini. Tarikh tutup penyertaan ialah 30 Jun 2020.

Selamat menulis.

Categories
Umum

Raya Cara Kita – Kekalkan Jarak Jauh Tapi Dekat Di Hati

Aidilfitri serasa tak sempurna tanpa berkunjungan ke rumah jiran tetangga mahupun saudara-mara. Namun, itu yang perlu kita lakukan pada tahun ini. Sama seperti keluarga saya. Sebahagiannya berada di Lembah Klang dan kami berada di Johor Bahru.

Menjadi kebiasaan bagi tahun-tahun yang lalu untuk kami berkumpul di Johor Bahru. Tapi tidak kali ini. Nasihat untuk tidak berziarah seperti selalu mesti dipatuhi bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

Masih lagi menyediakan juadah raya. Tidak banyak seperti biasa. Secukupnya untuk tiga keluarga yang meraikan di Johor Bahru. Kami berkumpul di rumah kakak saya. Masak lauk raya yang selalu kami nikmati seperti ayam sambal, sambal goreng dan lemak kacang mata hitam (black-eyed peas) dengan petai.

Lain-lain itu kuih raya yang masih di balangnya. Saya buat kek pandan gula melaka. Pada mulanya mahu beli sahaja kek di Secret Recipe. Akhirnya, saya mencuba resepi kek pandan yang sedap juga. Satu lagi kelainan yang belum pernah dibuat sebelum ini. Kek yang biasa kita nikmati selalunya ialah kek coklat atau kek buah atau kek lapis. Kali ini, kita makan kek pandan gula melaka sekali dengan frostingnya.

Pagi raya hanya bersolat di rumah. Siap dibacakan khutbahnya oleh anak saudara saya. Selepas itu berjanji untuk Zoom Meeting jam 9.30 pagi. Ini kalilah raya gaya milenia. Tidaklah susah. Kena sesuaikan setting dan pastikan berada dalam meeting yang ditetapkan.

Saya ingatkan macam kurang meriah juga dengan gaya milenia ini. Tapi sangkaan ini meleset sekali. Malahan, saling boleh memberi ucapan lewat paparan di Zoom Meeting. Tidak mengapalah.

Saya rasa berbaloi juga cara begini. Kadang-kadang situasi memaksa kita beradaptasi dengan sebaiknya. Bila difikirkan semula, keadaan ini tidaklah terlalu teruk. Jika sebelum ini terpaksa menempuh kesesakan jalan raya yang teruk semata-mata mahu berziarah raya. Kali ini, lebih lapang meraikan di rumah sendiri.

Sesekali menjalani keraian dengan cara yang berbeza bukan bermaksud terlerai ikatan silaturahim sesama kita.

Saya rasa lebih ringan dan lapang. Entah kenapa, kita sama-sama memahami tanggungjawab untuk kekalkan penjarakan. Kita dapat lebih fokus kepada ahli keluarga yang terdekat. Bagi saya, ia sudah mencukupi.

Buat rakan-rakan pembaca,

Selamat hari raya. Jaga diri dan kesihatan. Utamakan kebersihan dan berhati-hati apabila keluar ke tempat yang sesak dan sibuk. Pastikan pakai pelitup muka dan basuh tangan.

Sampai jumpa lagi dalam post akan datang.

Categories
Umum

Aidilfitri 1441H/2020M dengan Kelaziman Baharu

Malam terakhir Ramadan. Esok hari ke-30 kita berpuasa tahun ini, 1441 Hijrah yang pastinya memberikan ingatan yang sama sekali berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu. Kita berdepan pandemik COVID-19 dan cabaran ekonomi di waktu yang sukar ini.

Tidak dapat mencatat banyak di sini. Tapi banyak hal yang difikirkan sepanjang tempoh PKP dan sekarang PKPB yang akan berakhir pada 9 Jun 2020. Itupun, jika ia tidak dilanjutkan ke suatu tempoh.

Tahun ini, sambutan raya dibuat sederhana sahaja. Saya tidak membeli baju baharu. Saya pun tidak ingat bila kali akhir membeli baju baharu untuk dipakai pada pagi hari raya. Tidak terfikir pula mahu membeli baju secara online. Secara peribadi, tidak gemar memilih baju online kerana tidak dapat memegang kain dan mungkin saiznya nanti tidak sepadan pula.

Bercerita tentang membeli online. Sepanjang PKP ini, kehadiran posmen dan penghantar kurier boleh kata kerap juga ke rumah saya. Menghantar pesanan bermacam barang. Kami menjadi sebahagian statistik yang memeriahkan shopping online. Inilah norma baharu yang semakin mendominasi cara kita berbelanja.

Segala macam barang dijual secara online. Saya, sebagai penerbit buku mengambil kesempatan serupa menjual buku dan mengepos buku kepada pelanggan. Tapi itulah, ada sedikit kekesalan apabila stok buku kami terhad. Kebanyakan stok disimpan di Kuala Lumpur. Ada sedikit dibawa pulang. Beberapa hari sebelum PKP diumumkan, saya dan rakan penerbit lain sedang bersedia untuk Pesta Buku yang akan berlangsung pada bulan April.

Dengan penularan COVID-19, penganjuran itu ditangguhkan. Saya sudah berada di Johor Bahru. Perjalanan dihadkan. Tidak terfikir ia akan berlanjutan hingga kini. Melayani pelanggan dan menghantar pesanan buku berdasarkan stok yang ada di Johor Bahru. Saya harap selepas PKP tamat, kami boleh ke Kuala Lumpur dan kali ini akan bawa stok lebih sedikit supaya boleh diuruskan jualan dengan lebih baik lagi.

Beli barang online

Semasa ke cawangan Poslaju menghantar buku, saya ternampak pembekal barang runcit menghantar berkotak-kotak bahan harian. Selain barang runcit tidak terkecuali barangan elektrik dan entah bermacam jenis barang lagi yang mesti diuruskan penghantar kurier seperti Poslaju dan syarikat logistik lain.

Kami pula memesan pelbagai jenis barang seperti sabun Breeze dan Maggi. Kuah kacang berapi, sambal Che Nor dan pes asam pedas. Saya memesan headphone di Shopee dengan harga diskaun.

Dan semestinya saya memesan buku daripada rakan penerbit. Belum habis baca semuanya. Tapi saya usahakan untuk membacanya.

Saya juga menerima bungkusan istimewa daripada mentor terjemahan. Tidak disangka mendapat bingkisan Ramadan dan Syawal daripada beliau. Semoga murah rezeki dan semestinya saya berterima kasih atas ingatan ini.

Saya tinggal di Johor Bahru. Ada bungkusan yang sampai cepat dan ada pula yang lebih seminggu baru tiba. Melihatkan bebanan dan pesanan yang meningkat dengan mendadak semasa PKP ini, dapat saya fahami kesibukan syarikat kurier. Aduan dan rungutan memang banyak sekali. Kiranya bernaasib baik apabila barang sampai mengikut masa yang munasabah. Kalau dari Lembah Klang ke Johor Bahru, anggaran dalam 3 hari itu biasa.

Pilih untuk tenang

Dalam keadaan lambakan barang, saya pilih untuk tenang sahaja. Penghantar kurier sebenarnya berdepan risiko jangkitan yang lebih tinggi berbanding kita yang duduk di rumah. Jadi, malas nak menyerabutkan fikiran, tunggu sahajalah. Lagi pula pesanan saya itu lebih kepada barang yang tidak mudah rosak. Tidak mengapalah jika lambat sedikit.

Selain pembelian online, sesekali saya keluar juga untuk membeli barang di pasar raya. Semasa PKP, tidak ramai yang pergi ke pasar raya. Saya suka. Saya boleh membeli barang dalam tempoh yang singkat. Bermula PKPB, semakin ramai keluar rumah dan bertambahlah umat manusia di kompleks beli-belah berhampiran rumah saya itu.

Walaupun PKPB membenarkan kita keluar dengan mengamalkan jarak sosial, pakai pelitup muka dan basuh tangan, nampaknya ada juga yang tidak berhati-hati. Pihak premis sudah meletakkan notis supaya ibu mengandung dan kanak-kanak tidak masuk ke pasar raya. Tapi masih lagi kelihatan ibu mengandung yang merisikokan diri untuk ke tempat yang ramai orang.

COVID-19 dan kelaziman baharu

Tidak sangka tahun 2020, begini kita akan meraikan Aidilfitri. Bagi keluarga besar saya, beberapa adik-beradik akan beraya di Lembah Klang dan saya serta ahli keluarga di sini akan beraya di Johor Bahru. Tanpa berziarah ke rumah jiran-jiran.

Kami juga sudah berpesan-pesan pada jiran tetangga untuk tidak datang ke rumah. Masing-masing meraikan di rumah masing-masing. Terpaksa menerima hakikat dan mementingkan kesihatan dan keselamatan diri pada masa yang sukar ini.

Oh ya, selain hal kesihatan. Sambutan raya ini juga menyebabkan ramai yang berhemah dalam berbelanja. Malahan ada juga yang baru sahaja mula bekerja. Sudah tentu pendapatan terjejas. Jadi, setujulah kita untuk tidak menyediakan juadah yang banyak. Apatah lagi, tidak ramai yang akan berada di kampung tahun ini.

Puasa dan Kuasa

Banyak pengajaran hidup daripada krisis yang berlaku akibat pandemik ini. Sebenarnya, kehidupan sederhana dan ringkas itu boleh dilakukan. Malahan, puasa di bulan Ramadan telah lama mengajar kita supaya merasai lapar dan dahaga yang sinonim dengan kesusahan. Namun kali ini, ia benar-benar menguji setiap lapisan masyarakat.

Ibadah puasa tahun ini dijalani secara ringkas, tiada terawih di masjid, tiada bazar Ramadan dan lambakan kuih raya. Namun, ujian yang besar juga dilihat apabila pemimpin masih lagi berebutkan kuasa.

Puasa nampaknya tidak dapat menjinakkan jiwa-jiwa yang gilakan kuasa. Itulah yang saya fikirkan. Kuasa boleh menjadikan manusia lupa diri dan akhirnya ia akan memakan diri sendiri. Kasihan sekali, jika sikap diri yang mengejar kuasa akan melenyapkan jasa pada suatu waktu dahulu.

Akhir

Catatan ini bercampur aduk. Tidak mengapalah. Hanya mahu menuliskan beberapa ingatan dalam menyambut Aidilfitri tahun ini. Kita harus bersedia dan menyedari virus yang menjadi punca COVID-19 ini masih wujud di sekitar kita, tidak nampak di mata. Boleh mengenai sesiapa sahaja. Adakah akan wujud kluster hari raya?

Walaupun kita rindu dengan orang di kampung seperti ibu bapa dan sanak saudara, haruslah berkorban sedikit demi keselamatan dan kesihatan bersama.

Selamat menyambut Aidilfitri buat semua pembaca. Semoga hari-hari yang kita lalui ini lebih baik.