Categories
Harta pusaka

Bahagi kerana sayang

Ustaz Pahrol dalam satu siri di radio IKIM membuat perbandingan bahawa kadangkala orang Islam rabun dekat. Hanya melihat tentang hari akhirat, tetapi mengabaikan hal dunia. Sedangkan dunia adalah jalan atau ladang untuk akhirat.

Setelah berusaha bertahun-tahun mengumpul kekayaan untuk keluarga dan masa depan, sampai masanya mulakan perancangan harta pusaka. Dalam entri terdahulu, saya ada menyatakan lebih awal membuat perancangan lebih baik kerana kematian itu rahsia Allah.

Ada yang berpendapat buat wasiat tidak perlu kerana tiada harta. Tetapi kita semua ada yang disayangi dan menyayangi. Dalam pertemuan saya dengan klien, mereka membuat wasiat kerana mereka hendak memastikan hak orang yang disayangi terbela dan yang paling utama dapat diuruskan dengan baik. 

Mereka punya tujuan yang berbeza tetapi akhirnya ia adalah bermula dengan hati dan perasaan sayang. Itu lumrah. Apa tujuan mereka:

1) Isteri dapat menguruskan anak-anak dan tiada perbalahan dengan kaum keluarga
2) Urusan pentadbiran dibuat dengan efesien dan profesional, ahli keluarga yang ditinggalkan dapat meneruskan kehidupan dengan baik
3) Memberi hadiah istimewa kepada orang yang paling disayangi
4) Melantik orang yang dipercayai untuk menyambung aktiviti kebajikan bagi tujuan waqaf
5) Menyampaikan pesanan yang baik kepada waris yang tinggal

Ini hal berkaitan emosi. Tapi ia harus diimbangkan dengan realiti. Hampir semua klien saya menyatakan tentang rasa terharu dan hiba apabila membaca draf wasiat mereka. Ia seolah kata-kata terakhir. Itu memang benar.

Sebagai orang Islam, harta yang kita miliki didunia adalah pinjaman Allah semata-mata. Tapi bukan bermakna ia perlu dibiarkan atau dibazirkan. Orang yang bijak ialah orang yang menguruskan harta di dunia untuk mengambil tuaian di akhirat.

Semoga kita membuat perancangan yang terbaik berdasarkan Syariah.

Categories
Penerbitan

Akan terbit – Mudahnya mengurus kekayaan dalam Islam

Lebih 5 tahun dalam bidang perancangan kewangan, saya berhasrat berkongsi sedikit ilmu tentang perancangan kewangan Islam kepada khalayak yang lebih luas. Saya mula menulis sedikit demi sedikit. Insya Allah ia bakal terbit tidak lama lagi. Kini ia dalam proses percetakan oleh penerbit. Buku ini akan diterbitkan oleh Truewealth Sdn Bhd.

featured image 1

Ketahui:

  • Apakah konsep harta dan kekayaan dalam Islam
  • Empat komponen penting dalam perancangan kewangan Islam
  • Strategi pengurusan patuh syariah
  • Produk kewangan Islam di pasaran dan perbandingan dengan produk konvensional
  • Apakah ciri-ciri riba, gharar dan maisir
  • Bagaimana melaksanakan pengurusan kewangan patuh syariah
  • Bagaimana untuk memilih produk kewangan yang sesuai dengan keperluan anda

Jika anda berminat membuat pesanan awal, boleh hubungi penulis di info@norsaadah.com.

Categories
Takaful

Ciri-ciri kad perubatan Takaful/Insurans

Kos perubatan yang tinggi merupakan faktor utama disamping risiko penyakit kritikal yang semakin meningkat. Kali ini, saya akan berkongsi dengan pembaca beberapa pelan perubatan yang disediakan dan bagaimana memilih pelan yang sesuai dengan keperluan dan kemampuan. Ingat ya, KEPERLUAN dan KEMAMPUAN, menjadi keutamaan.

Ada dua jenis kategori kemudahan perubatan iaitu kemudahan perubatan ‘stand-alone‘ dan kemudahan perubatan tambahan (rider) kepada pelan asas (basic plan) kad. Kategori ‘stand-alone‘ ialah dimana kemudahan perubatan tertakluk kepada manfaat Hospital dan Surgeri dan Rawatan Pesakit Luar tanpa perlindungan Takaful Keluarga atau Hayat. Manakala kategori rider merupakan manfaat Hospital dan Surgeri dan Rawatan Pesakit Luar yang dimasukkan kepada pelan asas Takaful atau Hayat.

Antara pelan perubatan yang ada di Malaysia ialah:
1) MAA Takaful Smart Medic
2) Allianz EB Medishield Plus
3) ING Mediplus
4) Great Eastern Medicare
5) AIA Excelcare Plus

Semua jenis diatas merupakan produk Takaful Keluarga dan Insurans Hayat. Terdapat juga produk yang dikeluarkan dibawah Takaful dan Insurans Am seperti Takaful Malaysia mySihat, Takaful Ikhlas Medic Assist dan lain-lain. Perbezaan antara keduanya ialah pelan perubatan (Am) dikeluarkan secara tahunan dan perlu diperbaharui setiap tahun. Polisi / Sijil akan dikeluarkan setiap tahun. Manakala polisi oleh Takaful Keluarga dan Insurans Hayat hanya dikeluarkan sekali sahaja dan akan luput sehingga tempoh perlindungan tamat.

Ciri-ciri produk yang perlu diteliti pelanggan ialah:
1) Kadar ‘Room & Board’ iaitu had kadar bilik wad untuk sehari/semalam contohnya R&B 100, R&B 200, R&B 300, R&B 450
2) Jenis manfaat perubatan yang diberikan iaitu kos hospital dan surgeri yang ditanggung
3) Kos pra-hospitalisasi dan post-hospitalisasi
4) Rawatan pesakit luar untuk Kecemasan dan Kemalangan
5) Rawatan pesakit luar untuk sakit buah pinggang dan kanser
6) Jumlah had perbelanjaan tahunan
7) Jumlah had perbelanjaan seumur hidup
8) Tempoh perlindungan sehingga umur 70, 80 atau 100

Setelah meneliti ciri-ciri diatas, pelanggan boleh memilih pelan yang sewajarnya dan bersesuaian dengan keperluan. Satu tips yang saya ingin kongsikan ialah berdasarkan kemampuan, rancanglah supaya anda mempunyai sekurang-kurangnya RM100,000 nilai had perlindungan tahunan di samping kemudahan yang telah diberikan oleh majikan. Ini sebagai persediaan sekiranya anda meninggalkan syarikat samada berpindah ke tempat baru ataupun memulakan perniagaan sendiri.

Categories
Pengurusan hutang

Perbandingan kad kredit Islam

Kad kredit digunakan secara meluas oleh pengguna di Malaysia dan kebanyakan kemudahan kad kredit ditawarkan oleh bank-bank komersial. Sebelum perbankan Islam diketengahkan, bisnes kad kredit dipelopori oleh bank-bank konvensional. Kini bank-bank Islam telah menawarkan kemudahan sama kepada pelanggan.

Saya membuat perbandingan diantara 6 buah bank di Malaysia yang menawarkan kemudahan kad kredit dan ciri-cirinya. Ciri-ciri dibawah adalah berdasarkan kad kredit kategori ‘Gold’ sahaja. Kategori lain mungkin mempunyai manfaat tambahan dan syarat berbeza.

Ciri-ciri kad 1 2 3 4 5 6
Pendapatan minima N/A RM40k N/A RM36k RM24k RM30k
Fi Tahunan X RM130 RM70 X X X
Kontrak 3 tahun X X X X X
Treat/Reward Points X / X X X /
Rebet Petrol X X X X 2% X
Rebet Perbelanjaan lain 0.3% X X X 0.5% X
Takaful Kelompok / X X / / /
Program Ganjaran X / X X / /
Kemudahan ‘instalment’ bulanan tanpa caj / / X / X X
  1. Bank Islam Gold Mastercard / Visa
  2. RHB Gold Credit Card-i Visa
  3. Al-Rajhi Bank Charge Card-I Visa
  4. Bank Rakyat Credit Card-I Mastercard
  5. CIMB Islamic PETRONAS Mastercard
  6. Maybank Islamic Ikhwan PETRONAS Visa

Semua maklumat diatas merujuk kepada laman web setiap bank berkenaan. Saya juga mendapati bank-bank Islam yang ditubuhkan oleh bank antarabangsa seperti OCBC Al-Amin dan Saadiq Standard Chartered belum lagi mempunyai kemudahan seperti ini.

Antara ciri-ciri yang menarik perhatian pengguna ialah Program Ganjaran dan juga Rebet. Tidak semua bank menawarkan kelebihan ini. Takaful Berkelompok yang ditawarkan oleh Bank Islam, Bank Rakyat dan Maybank adalah berdasarkan jumlah baki terkumpul maksima sehingga RM100,000. Manakala CIMB Islamic menawarkan Takaful Perjalanan sehingga RM500,000.

Bank Rakyat pula mempunyai Program Ganjaran Tabung Umrah atau Percutian dengan setiap perbelanjaan yang dibuat menggunakan kad kredit-i. Ini adalah program unik yang tidak ditawarkan oleh bank-bank lain.

Al-Rajhi Bank pula tidak mempunyai sebarang program ganjaran, walaupun beberapa terdapat promosi terhad kepada produk atau perkhidmatan tertentu.

Anda boleh memilih perkhidmatan dan jenama yang digemari berdasarkan perbandingan diatas. Sekadar berkongsi, Dr Zaharuddin menjelaskan bahawa penggunaan kad kredit konvensional adalah bertentangan dnegan prinsip Syariah walaupun pengguna tidak membuat bayaran tangguh dan menyelesaikan baki bulanan sebelum tarikh akhir.

Ini bertepatan dengan Syariat yang melarang bantu-membantu dalam urusan haram seperti riba’ dan gharar. Walaupun pengguna tidak membayar faedah kerana tiada baki tertunggak, tetapi pengguna sebagai pelanggan seolah menggalakkan bisnes kad kredit konvensional semakin berkembang dan akhirnya terdapat pelanggan lain yang terjebak dan dikenakan faedah sepertimana syarat dan terma kad kredit berkenaan.

Wallahualam.

*Maklumat perbandingan mungkin berbeza sekiranya pihak bank pengeluar membuat promosi tambahan selepas artikel ini dikeluarkan. Sila rujuk bank pengeluar yang berkenaan.

Categories
Harta pusaka

Q&A – Harta pusaka Islam (Siri 2)

Pentadbiran harta pusaka melibatkan banyak pihak dan masing-masing mempunyai peranan penting untuk memastikan pentadbiran harta pusaka si mati dapat diuruskan dengan baik dan selesai dalam tempoh yang munasabah.

Soalan 6:
Siapakah Wasi dan apakah syarat-syarat layak menjadi Wasi (Executor)?

Wasi (Executor) ialah orang yang dilantik oleh pewasiat dalam Surat Wasiat untuk melaksanakan pentadbiran harta pusaka selepas kematian pewasiat termasuk hasrat dan pesanan pewasiat. Orang yang dimaksudkan disini boleh jadi seorang individu ataupun organisasi seperti syarikat amanah.

Pewasiat bebas melantik sesiapa menjadi Wasi samaada individu berkenaan di kalangan waris ataupun sahabat handai. Syarikat amanah seperti Amanah Raya Berhad dan As-Salihin Trustee Berhad juga boleh dilantik sebagai Wasi. Kedua-dua syarikat amanah mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan harta pusaka. Antara ciri-ciri penting yang perlu ada untuk dilantik sebagai Wasi ialah:
1) Orang / organisasi yang boleh dipercayai
2) Mempunyai pengetahuan untuk melaksanakan tugas-tugas Wasi
3) Adil dan waras
4) Adalah amat digalakkan bagi orang Islam melantik orang Islam juga sebagai Wasi supaya kepentingan agama terpelihara
5) Mampu untuk melaksanakan tugas Wasi terutamanya dari segi masa dan tenaga

Dalam surat Wasiat, pewasiat boleh melantik lebih daripada seorang Wasi iaitu Wasi Bersama dan juga Wasi Ganti. Wasi Bersama ialah Wasi yang diberikan kuasa untuk bertindak bersama dengan Wasi Utama yang dilantik. Manakala Wasi Ganti pula ialah Wasi yang akan mengambilalih tugas dan peranan Wasi Utama sekiranya Wasi Utama telah meninggal dunia, tidak mampu untuk melaksanakan tugas atau Wasi Utama menyerah tugas dan tanggungjawab kepada Wasi Ganti.

Soalan 7:
Apakah tugas-tugas Wasi?

Wasi adalah pihak yang sangat penting dan haruslah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas dalam pentadbiran harta pusaka si mati. Antara tugas-tugas utama Wasi ialah:
1) Mengenalpasti Wasiat
2) Mengumpulkan waris-waris dan benefisiari
3) Menjelaskan kandungan Wasiat kepada waris-waris dan benefisiari
4) Mengumpulkan aset dan liabiliti pewasiat dan mendapatkan dokumen yang sah bukti pemilikan aset
5) Memohon dan mendapatkan Grant of Probate di Mahkamah Tinggi
6) Menyelesaikan hutang si mati termasuk cukai, zakat, haji, kaffarah dan lain-lain hutang yang berkenaan
7) Mengagihkan harta pusaka mengikut arahan dan pesanan pewasiat 
8) Berbincang dengan waris dan benefisiari untuk memudahkan pembahagian harta pusaka
9) Menjadi orang tengah sekiranya terdapat konflik atau perbalahan dikalangan waris
10) Menyediakan penyata akaun untuk aset dan liabiliti (hutang) si mati dan agihan kepada waris sehingga semuanya selesai

Soalan 8:
Siapakah pentadbir dan bagaimana seseorang pentadbir itu dilantik?

Pentadbir ialah individu atau organisasi yang dilantik oleh waris-waris si mati untuk mentadbir harta pusaka si mati. Boleh juga dimaksudkan sebagai wakil si mati. Semua waris hendaklah bersetuju untuk melantik seseorang pentadbir. Setelah mendapat persetujuan daripada semua waris, maka pentadbir boleh membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir daripada Mahkamah.

Lebih daripada seorang pentadbir boleh memohon untuk mentadbirkan harta si mati. Sekiranya berlaku perbalahan dan terdapat lebih daripada satu permohonan menjadi pentadbir, maka pihak Mahkamah akan membuat keputusan yang munasabah untuk melantik pentadbir dan selanjutnya mengeluarkan Suarta Kuasa Tadbir. Ini berlaku apabila si mati meninggal dunia tanpa menulis Wasiat. Contoh kes pelantikan pentadbir oleh Mahkamah ialah Kes Harta Pusaka Syed Kechik. (Saya akan menjelaskan lebih lanjut tentang kes ini dalam entri akan datang.)

Soalan 9:
Apakah perbezaan diantara Wasi dan Pentadbir Harta Pusaka?

Wasi adalah orang atau organisasi yang dilantik oleh Pewasiat semasa hidupnya. Ini bermakna Pewasiat mempunyai hak melantik sesiapa yang beliau percaya dan memenuhi ciri-ciri yang layak menjadi Wasi. Walaubagaimanapun, Pentadbir Harta Pusaka dilantik oleh waris-waris si mati selepas kematiannya kerana si mati tidak meninggalkan Wasiat. Sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka si mati termasuk pemiutang (creditors) boleh memohon sebagai Pentadbir. Wasi akan mendapatkan Grant of Probate, manakala Pentadbir akan memohon Surat Kuasa Tadbir daripada Mahkamah.

Soalan 10:
Adakah yuran pentadbiran untuk Wasi atau Pentadbir Harta Pusaka?

Yuran pentadbiran adalah berbeza-beza mengikut Wasi atau Pentadbir Harta Pusaka yang dilantik. Yuran pentadbiran ini selalunya dikenakan oleh Syarikat Amanah sebagai imbuhan dalam menyelesaikan pembahagian harta pusaka si mati.