Aktiviti,  Travel,  Umum

Perkara yang Saya Lakukan dan Belajar Sepanjang Enam Bulan (Januari 2019 – Jun 2019)

Bulan Jun 2019 akan berakhir, pantas masa berlalu. Enam bulan, 181 hari. Banyak perkara sudah berlaku. Ini masa yang sesuai untuk melihat kembali hal yang terjadi dan bagaimana ia menjadikan diri kita lebih baik. Tentu ada perkara yang menggembirakan, menyebabkan kita sedih atau pencapaian yang kita banggakan.

Apa yang saya lakukan sepanjang enam bulan tahun ini?

JANUARI

Januari bermula agak perlahan. Masa ini saya dan sahabat saya mula fokus pada penerbit buku Projek Lavender 2. Proses semakan sudah dilakukan, namun penyusunan dan proses penerbitan masih di peringkat awal. Kami menghubungi semua penulis yang terlibat. Ada penulis yang sudah menyertai kami dalam Projek Lavender 1. Ada juga yang baru sahaja menghantar karya dengan kami.

1 – Mulakan proses penerbitan Projek Lavender 2

Projek Lavender 2 dilancarkan pada bulan Mei 2018. Dalam tempoh sebulan kami mula menerima penyertaan. Beberapa kali juga kami lanjutkan tempoh untuk mendapatkan bilangan penyertaan yang mencukupi.

2 – Belajar buat video pemasaran guna telefon pintar

Saya juga berpeluang hadir ke kursus anjuran INSKEN. Saya belajar tentang pemasaran video menggunakan telefon pintar. Tenaga pengajarnya ialah Tuan Syazrol dan tim Pocket Production. Saya belajar menghasilkan video 1 minit dengan menggunakan aplikasi di telefon pintar.

Hasilnya, saya berjaya menghasilkan video 1 minit dan lebih kemudian menggunakan kemahiran ini untuk menyunting video. Saya kongsikan video pertama saya. Saya berjaya ambil beberapa shot, gabungkan mengikut storyboard, masukkan lagu dan teks. Kami belajar dan buat video ini dalam masa 2 hari.

Saya rasa kemahiran ini penting. Walaupun boleh belajar sendiri, bagi orang yang bukan teknikal seperti saya, eloklah saya cari guru. Proses belajar menjadi lebih pantas dan berkesan.

FEBRUARI

3 – Melancong ke Bali

Saya ke Bali bersama seorang sahabat. Dia mengajak saya untuk mengisi cuti panjang Hari Raya Cina. Kami pergi selama 4 hari. Bali, tempat yang saya mahu pergi namun tidak merancangnya dalam masa terdekat. Kali ini kami beli tiket kapal terbang awal Januari. Perancangan dibuat dalam tempoh yang singkat.

Sahabat saya mendapatkan khidmat supir (pemandu pelancong). Om Made namanya. Dia saudara kepada salah seorang kenalan sahabat saya ini. Om Made sudah berusia 60-an. Tapi nampak sihat dan cergas. Cuma agak keletihan apabila terpaksa memandu lebih 8 jam sehari.

Kami pergi ke Ubud, Kintamani, Uluwatu dan Tanah Lot. Makan terang bulan (apam balik) dan murtabak. Kami tak pergi ke pantai yang cantik. Sebab bilik yang kami sewa jauh sikit dari pantai.

Bali ini tempat yang kaya budaya dan ramai mat salleh suka duduk di sini. Banyak kuil dengan binaan yang dipenuhi patung berhala yang diukir daripada batu. Kuil yang popular seperti Uluwatu dan Tanah Lot dibuka untuk pelancong. Ada bayaran dikenakan.

Saya nak buat entri blog tapi asyik tertangguh sahaja. Saya letakkan video di Youtube Channel. Boleh lihat di sini.

4 – Mulakan Projek Orkid dan Projek Lili

Seorang rakan mencadangkan supaya kami Dua Penulis mengumpulkan kisah penyakit mental. Isu penyakit mental juga banyak dibincangkan sekarang. Walaupun penyakit ini telah lama wujud. Jadi, kami harap dapat menambah bahan bacaan yang bermanfaat dalam topik ini.

Kami tak sangka, ramai yang menghantar penyertaan dengan pelbagai kisah perjuangan mereka dalam melawan penyakit mental. Kini sedang dalam proses penerbitan.

Projek Lili pula berkaitan kisah sukarelawan. Sayangnya, tidak banyak penyertaan yang kami terima. Kami dah buka sejak 2018. Kemudian tertangguh. Kami buka lagi. Susah juga nak dapat sukarelawan yang sudi menyumbang cerita dalam Projek Lili. Tapi kami belum putus asa.

5 – Semakan akhir Projek Lavender 2

Pesta buku tahun ini dibuat lebih awal berbanding tahun lalu kerana Ramadan bermula pada awal Mei. Jadi, ia dianjurkan pada akhir Mac. Tidak banyak masa lagi. Kami selesaikan semakan dan susunan sebelum dihantar kepada pencetak.

MAC

Menjelang Mac, saya sudah berada di Taipei, Taiwan.

6 – Melancong ke Taiwan

Taiwan, tak pernah terfikir nak pergi. Sahabat saya Noor Hayati Yasmin yang mengajak temankan dia bersama tiga orang lagi sahabatnya. Saya tak kenal mereka. Tapi apa salahnya berjumpa kawan baru. Semua rancangan dibuat oleh Amirah. Dia dapatkan khidmat pemandu pelancong, orang Malaysia yang sudah lama menetap di Taiwan.

Saya bertolak dari Johor Bahru, bertemu dua orang rakan di KLIA2. Yati dan Amirah bertolak dari Kota Kinabalu. Saya mencari Min dan Aida di kawasan perlepasan antarabangsa. Pertama kali nak berjumpa. Alhamdulilah, lembut dan baik mereka berdua ini.

Rupanya Taiwan negara yang indah dan kaya dengan alam semulajadi yang dipelihara. Negaranya sejuk dan nyaman. Kami pergi ke taman negara, jalan-jalan di pasar malam dan minum bubble tea. Puas bergambar dengan bunga sakura berwarna merah jambu. Pergi ke pantai Chishingtan yang menghadap ke Lautan Pasifik. Pantai yang penuh dengan batu pantai tanpa pasir. Saya tak pernah lihat sebelum ini.

7 – Menyertai World Cancer Fun Run 2019, Putrajaya

Saya menghubungi urusetia pada awal Januari. Kami mahu mengedarkan buku mini Projek Lavender. Program larian ini dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Cuaca baik pada hari itu. Kami diberi ruang untuk menjual buku Projek Lavender dan Projek Lavender 2 yang baru sahaja siap dicetak.

8 – Bermula Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019

Kami terus bekerjasama dengan Kasi Terbit. Masuk tahun keempat terlibat dalam pesta buku. Pertama kali menjual buku ketika Pesta Buku Antarabangsa 2016 yang diadakan di MAEPS Sepang. Kemudian, tahun 2017 hingga 2019 di PWTC.

APRIL

9 – Menerima Anugerah Buku Negara 2019

Satu pencapaian yang cukup membanggakan. Projek Lavender yang bermula dengan pengalaman peribadi, kini berjaya mencapai Anugerah Buku Negara bagi Kategori Buku Inspirasi. Dah lama tak naik ke pentas untuk mengambil hadiah. Kali akhir semasa pesta buku antarabangsa 2015 untuk pelancaran buku terbitan Truewealth.

Kejayaan ini dikongsi bersama semua penulis. Seronok dan gembira dapat bertemu penulis/pelukis dalam industri buku. Banyak buku yang bagus dan mendapat anugerah malam itu. Kami turut kongsi kejayaan dengan Kasi Terbit dan Meor (Travelog) yang memenangi Anugerah penerbit dan buku travelog.

10 – Membawa penulis ke pentas PBAKL 2019

Puan Mahaya menghubungi saya untuk sama-sama berada sepentas dengan beliau membicarakan topik kesedaran kanser. Satu peluang yang bagus untuk memperkenalkan buku Projek Lavender.

Saya membawa dua orang penulis kami, Dr Sabariah Faizah dan Leanne Adam dalam acara ini. Agak berdebar juga untuk memastikan acara berjalan lancar. Saya sempat merakam keseluruhan slot yang berlangsung selama 45 minit. Terima kasih penganjur.

11 – Menyertai KLTCC 2019

KLTCC ialah Kuala Lumpur Trade & Copyright Centre 2019 anjuran Perbadanan Kota Buku. Saya pergi bersama Mimi Salleh dan Yan Yahaya. Saya dan Yan mewakili Dua Penulis, manakala Mimi Salleh membawa jenama Young Jenin Writer.

Saya dapat bertemu penerbit daripada Korea Selatan. Satu acara yang membuka mata saya tentang industri buku Korea dan apa yang saya boleh lakukan.

Satu hal yang saya kagum ialah wakil daripada Korea Selatan bercakap dalam bahasa Korea sepanjang sesi mereka dan menggunakan perkhidmatan penterjemah. Ini bermaksud kita juga harus bangga dengan bahasa ibunda di pentas antarabangsa.

12 – Belajar Pemasaran Youtube

Sekali lagi saya menyertai program anjuran INSKEN. Dua hari di Kuantan. Nampaknya penuh bulan April tahun ini. Saya hanya balik sekejap ke Johor Bahru selepas tamat pesta buku. Dalam kursus ini saya belajar menyusun kandungan Youtube untuk tujuan penjenamaan dan konten.

Satu ilmu yang penting juga. Saya gabungkan kemahiran menyunting video yang saya belajar dalam bulan Januari dengan ilmu Youtube. Saya dapat menghasilkan banyak video pendek-pendek dan menyusunnya dalam channel Youtube Dua Penulis dan channel peribadi.

13 – Menyertai Wacana Cancer Survivors Malaysia di Melaka

Saya mengenali Puan Zuraini Kamal melalui Puan Rose Fazlinda, salah seorang penulis Projek Lavender 2. Kagum dengan semangat mereka pejuang kanser yang tidak kenal erti penat untuk menyebarkan maklumat tentang kanser.

Saya sangat hargainya. Dalam program ini, kami diberi peluang memperkenalkan buku Projek Lavender kepada lebih 400 orang peserta. Mereka datang dari seluruh Malaysia. Program yang sangat baik.

Berakhirnya program di Melaka dan saya dapat kembali ke Johor Bahru. Bulan April berjalan dengan produktif dan lancar. Alhamdulilah.

Jika ikutkan hati, saya tidak mahu ke Kuala Lumpur pada bulan Ramadan. Namun, saya perlu menghantar buku kepada pengedar untuk tujuan bekalan ke kedai buku Popular.

MEI

14 – Berbuka puasa di Putrajaya

Rakan saya Normi dan Anie mengajak saya berbuka bersama di Putrajaya. Dapatlah saya pergi ke Bazar Ramadan Putrajaya yang terkenal dan banyak pilihan juadah. Kami makan briyani dan tepung pelita Paya Jaras. Saya berkenalan dengan Arja Lee yang sangat baik dan dia berikan saya kerepek ubi berperisa jenama Creps. Sedapnya.

JUN

15 – Majlis Raya di Jementah, Segamat

Bulan Ramadan berlalu, menjelang Syawal yang kami raikan sederhana. Saya tidak beli baju baharu. Hanya memakai baju kurung yang masih elok. Baju ini memang jarang dipakai. Jadi, ia cukup bagi saya.

Kami pergi ke Jementah, Segamat untuk majlis raya Keluarga Ambiah. Keluarga besar sebelah bapa saya. Saya agak-agak mungkin lebih 200 ahli keluarga yang berkumpul dari seluruh Johor.

Kami lalu di kaki Gunung Ledang untuk sampai ke sana. Lebih kurang 3 jam perjalanan dari Johor Bahru. Selesai majlis kira-kira pukul 4 petang. Kami ke kawasan Gunung Ledang. Dah sampai kan. Tapi hujan gerimis, ramai pula orang yang mandi di situ.

Kami bertolak pulang ke Johor Bahru. Tersekat dalam kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Utara Selatan. Tiba di Johor Bahru selepas Isya’. Kami sempat singgah di Skudai dahulu untuk solat jama’.

Nampaknya, banyak hal penting berlaku dan saya gembira. Walaupun ada beberapa perkara yang belum dapat disiapkan. Insya-Allah saya akan cuba selesaikan dalam enam bulan mendatang ini.

Antara perkara yang saya mesti lakukan dan capai ialah:
1. Menyiapkan buku saham
2. Menganjurkan majlis pelancaran buku Dua Penulis bersama penulis kami
3. Menurunkan berat badan sebanyak 12 kg
4. Duo travel dari Kuala Lumpur – Hanoi – Kunming – Kuala Lumpur selama 20 hari

Semoga saya dapat menyelesaikan perkara yang dirancang. Mungkin ada lagi banyak hal yang saya akan lalui sepanjang 2019 ini. Semoga Allah bantu dan pertemukan saya dengan orang dan sahabat yang baik dalam mencapai matlamat saya. Insya-Allah.

Apakah pencapaian anda sepanjang enam bulan ini? Apakah perkara yang baik dan kurang baik berlaku kepada anda? Kongsi dengan saya.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial