PMETAL: Kaunter baharu ditambah ke senarai Index KLCI

Berlaku perubahan kepada senarai 30 saham yang dimasukkan dalam FBM KLCI selepas kajian semula yang dibuat dua kali setahun. Press Metal dan Nestle dipilih disenaraikan dalam 30 saham komponen FBM KLCI. Manakala, British American Tobacco dan IJM dikeluarkan daripada senarai.

Press Metal terlibat dalam industri aluminium dan besi. Saham syarikat ini mula didagangkan pada tahun 1993. Ketika itu harganya sesaham ialah 7 sen. Pada 30 November 2017, harga saham ditutup pada RM5.20. Dari 1993 hingga 2014, tidak banyak perubahan kepada harga saham dan paling tinggi ia mencapai RM0.465 pada bulan April 2014.

Ia mula meningkat sehingga RM1.33 pada 9 September 2014. Kemudian, berlaku penurunan harga sejak September 2014 hingga ia kembali pada harga RM1.33 pada 1 Julai 2016. Selepas 22 bulan, harga saham mula meningkat sehingga kini. Peratusan kenaikan ialah 293%.

Dalam tempoh setahun, saham ini mencatatkan kenaikan sebanyak 203%.

Nilai permodalan pasaran PMetal ialah RM19.5 billion. Pencapaian syarikat dalam dua tahun terakhir ini menarik minat pelabur dan harga saham terus meningkat dengan positif.

Bagi syarikat yang terlibat dalam industri besi, harga komoditi iaitu besi mempengaruhi kadar keuntungan syarikat. China mengarahkan pengurangan pengeluaran aluminium dan produk aluminium sehingga 30% pada awal tahun ini. Ia melonjakkan harga komoditi dalam pasaran antarabangsa.

Dalam masa yang sama, penglibatan PMetal menjadi signifikan apabila permintaan kepada produk aluminium dan besi meningkat kesan daripada projek pembangunan sama ada di dalam atau luar negara.

Laporan suku tahun ketiga menunjukkan keuntungan sebanyak RM452 juta. Ia sudah mencapai 91% keuntungan berbanding 2016 (RM495 juta).

Pada peringkat antarabangsa, Press Metal turut disenaraikan dalam MSCI index. Ini menunjukkan tanda yang positif.

Syarikat lain dalam kategori yang sama ialah Ann Joo Resources, Lion Industry, Southern Steel, PMB Technology, LB Aluminium, A-Rank dan Aluminium Company of Malaysia.

*Disclaimer: Artikel ini adalah berdasarkan pembacaan dan rujukan yang dibuat oleh penulis. Ia hanya bersifat informasi sahaja. Penulis tidak bertanggungjawab terhadap sebarang keputusan yang dibuat oleh sebarang pihak yang menggunakan maklumat ini.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *