Prinsip pelaburan utama Koon Yew Yin

Koon Yew Yin, pelabur yang terkenal di Malaysia dan menjadi pemegang saham utama beberapa syarikat yang didagangkan di Bursa Malaysia. Beliau berkongsi prinsip pelaburan yang sering digunakan dalam memilih saham yang bagus. Sehingga kini nilai hartanya melebihi RM200 juta. Beliau bermula dengan modal RM200 ribu pada tahun 1983.

Berikut adalah nota perkongsian beliau semasa dijemput oleh RHB Investment Bank Ipoh pada 3 Jun 2018.

Pengenalan: Cara paling mudah untuk buat duit adalah apabila anda tahu caranya. Jangan risau tentang semua halangan dalam menjalankan bisnes, alir tunai dan lain-lain. Keuntungan tidak dikenakan cukai. Cara paling pantas untuk rugi adalah jika anda tidak tahu melabur. Lebih ramai orang yang rugi berbanding mereka yang untung dalam pasaran saham.

1. Bagaimana saya bermula?

Pada tahun 1983, saya mula melabur dengan modal RM200 ribu selepas menjalani pembedahan jantung. Ketika itu berlaku kejatuhan pasaran Hong Kong. Saya hanya perlukan keberanian – tanpa kemahiran. Terlalu banyak jualan murah. Dalam tempoh 3 tahun, saya mendapat keuntungan besar sehingga saya dapat membeli 46% Kaiser Stock and Shares Co Ltd HK.

2. Selepas memperolehi keuntungan besar daripada kejatuhan pasaran HK, menjana wang tidak begitu mudah lagi. Saya membaca tentang Warren Buffet, Peter Lynch dan Benjamin Graham. Mereka menggalakkan pelaburan berdasarkan nilai. Kaedah ini sangat perlahan. Contoh: Kebanyakan saham sektor hartanah berada di bawah nilai kerana wujud lebihan dalam pasaran di Malaysia. Jika anda membeli saham ini, anda perlu menunggu bertahun-tahun untuk harganya meningkat melebihi kos anda.

3. Prinsip utama saya (Golden Rule):

Berdasarkan semua kriteria seperti NTA, Alir tunai, perolehan dividen dll, pemangkin paling kuat untuk menolak harga saham adalah peluang peningkatan keuntungan. Prinsip saya adalah syarikat mesti melaporkan keuntungan yang meningkat bagi dua suku tahun berturut-turut dan jangkaan P/E mesti di bawah 10. Saya memilih P/E kurang 10 untuk mengelakkan risiko yang tidak dijangka. Bagi mencapai kejayaan besar, anda mesti berlatih, yakin dan sabar untuk beli dan pegang sehingga ia matang.

4. Jenis perniagaan:

Saya juga mesti tahu jenis perniagaan yang dijalankan syarikat. Saya tidak akan membeli saham GLC, minyak dan gas, bank, perladangan dan hartanah. Sekarang anda perlu menyemak pegangan anda untuk melihat sama ada ia bertepatan dengan prinsip saya atau tidak.

5. Rekod saya:

Saya menggunakan prinsip ini untuk menjadi pemegang saham kedua terbesar di Latitude dan Lii Hen. Saham syarikat ini menaik sehingga 800%. Saya pernah menjadi pemegang saham kedua terbesar VS dan ia menaik sehingga 550% dengan milikan sebanyak 102 juta saham seperti ditunjukkan dalam laporan tahunan 2015. Seperti yang saya nyatakan, saya bermula dengan RM200 ribu dan sekarang nilai harta saya melebihi RM200 juta dalam tempoh 35 tahun, setiap RM1 menjadi RM1,000.

6. Bila perlu jual:

Tiada saham yang akan naik atau turun berterusan atas sebab apa pun. Jangan jual jika ia terus menunjukkan keuntungan meningkat. Jual sebaik sahaja ia menunjukkan penurunan untung.

7. Bagaimana untuk maksimakan keuntungan?

Tiga orang yang membeli saham yang sama pada harga yang sama pada masa yang sama boleh jadi mendapat hasil yang berbeza. Pedagang harian akan menjual apabila harga naik sehingga 20% atau 30%. Pelabur biasa akan gembira untuk menjual saham apabila harga naik sehingga 100%. Pelabur yang hebat tidak akan menjual sahamnya selagi syarikat itu menunjukkan peningkatan untung. Ini cara yang saya lakukan bagi membeli sebegitu banyak saham dalam Latitute, Lii Hen dan VS Industry.

8. Emosi:

Minda kita ada tiga fungsi asas iaitu auto, emosi dan logik. Fungsi auto adalah untuk mengawal pernafasan dan peredaran darah. Jika setiap orang boleh mengawal emosi dan berfikir secara logik, semua saham akan berada pada nilai sebenarnya. Tapi itu tidak berlaku. Oleh itu, anda sentiasa boleh mencari saham yang murah di bawah nilai untuk dibeli.

9. Selain FA (analisa kewangan) dan TA (analisa teknikal), anda mesti mempunyai pertimbangan dari segi perniagaan untuk menjadi pelabur yang bagus.

Jangan beli atau jual sesuka hati. Kadang kala, walaupun FA tidak bagus, namun jika anda tahu tentang perniagaan itu anda berani untuk membeli saham syarikat berkenaan. Sebagai contoh: Bisnes JAKS dalam Independent Power Producer (Pengeluar Tenaga Bebas) yang akan saya terangkan kemudian. Walaupun laporan tahunan menunjukkan kerugian, saya membeli saham syarikat ini dengan banyak sehingga menjadi pemegang saham terbesar.

10. Tren:

Jangan beli saham yang menurun kerana anda tidak tahu waktu harga akan naik lebih tinggi daripada kos supaya anda mendapat keuntungan.

11. Sentiasa beli saham yang menaik kerana anda tahu harganya akan terus meningkat lebih tinggi dan anda boleh jual dengan keuntungan.

12. Cara yang bijak untuk beli dan jual:

Jika terlalu banyak penjual, tawarkan harga yang rendah untuk membeli. Jika anda lihat berlaku belian secara agresif, anda terus beli harga jualan. Jika anda mahu jual, tawarkan harga yang lebih tinggi jika ramai pembeli. Jika terlalu banyak penjual, anda tawarkan harga yang lebih rendah untuk jual.

13. Gunakan dana margin (margin financing): Hanya jika anda mempunyai pengalaman. Dana margin boleh menbantu anda menggandakan keuntungan. Ingat ia adalah serampang dua mata. Kadar faedah semasa hanya 4.8% setahun. Dengan pengetahuan yang anda belajar hari ini, anda sepatutnya boleh buat duit lebih daripada faedah yang anda perlu bayar. (Nota admin: Pelabur Muslim tidak boleh menggunakan dana margin kerana ia tidak patuh Syariah.)

14. Gadang:

Saya mula membeli saham Gadang baru-baru ini apabila saya lihat harganya turun daripada RM1.28 dalam lapan hingga sembilan bulan lalu sehingga mencecah 67 sen. Saya percaya ia berada pada paras paling rendah dan harganya mula menaik. Dalam apa jua keadaan, risiko kerugian adalah terhad. Ia sangat murah dengan P/E 4.

KLCI telah jatuh sejak Tun Dr Mahathir menyatakan yang beliau akan mengkaji semula projek mega khususnya yang diberikan tanpa tender terbuka. Rabu lalu KLCI jatuh 60 mata, kejatuhan paling banyak dalam tempoh sepuluh tahun. Apabila sentimen pasaran bertambah baik, harga saham Gadang akan meningkat.

15. Eversendai:

Saya mengumpul saham ini dan sekarang saya adalah pemegang saham kedua terbesar. Syarikat ini melaporkan keuntungan yang meningkat dalam beberapa suku tahun sebelum ini. Ia menepati prinsip pemilihan saham saya. Saya pasti harga saham akan naik lebih tinggi apabila sentimen pasaran bertambah baik.

Anda harus ingat yang saya bantu anda hari ini ketika anda susah dan apabila anda mempunyai banyak duit, anda mesti membantu orang lain yang dalam kesusahan khususnya pelajar susah. Ingat yang apabila anda mati, anda tidak boleh membawa sebarang harta anda bersama. Anda mesti belanjakan harta anda sebelum mati. Cara yang paling bagus adalah membuat kebajikan.

Artikel asal ditulis dalam Bahasa Inggeris. Boleh baca di sini.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *