Puan Anna: Niat memberi pendidikan kepada kanak-kanak menjadi dorongan dalam bisnes Tadika/Taska

majlis tahunan

Tadika Taska Addin Educare bakal menyambut ulangtahun ke 12 pada 2016. Saya menghadiri majlis meraikan warga kerja pada bulan Disember lalu. Pemiliknya, Puan Anna mengadakan majlis makan untuk menghargai sumbangan semua guru yang bertugas di Tadika dan Taska Addin.

Apakah rahsia beliau dapat bertahan dalam bisnes ini? Saya turut berasa bangga dengan pencapaian beliau. Beliau sudi berkongsi tentang perjalanan dalam bisnes pendidikan awal kanak-kanak selama lebih sedekad ini.

Saya mengenali Puan Anna secara peribadi lebih 10 tahun yang lalu. Beliau adalah bos pertama saya. Tamat sahaja ijazah, saya bekerja sementara di pejabatnya dan kemudian diserapkan sebagai pekerja tetap. Pada masa itu, kami bertugas di sebuah syarikat minyak dan gas yang terletak di Pasir Gudang.

Sehingga hari ini, kami bersahabat dan terus berhubungan. Beliau memulakan perniagaan pada tahun 2004. Beliau bertekad untuk memulakan bisnes sebagai persediaan sekiranya diarahkan oleh ketuanya berpindah ke Kuala Lumpur.

Berniaga disamping makan gaji

“Dalam diam, saya berterima kasih kepada Encik Azman, bos lama saya. Oleh sebab dia mengarahkan saya bertugas di Kuala Lumpur, saya mencari jalan untuk memulakan perniagaan. Manalah tahu saya terpaksa berhenti kerja. Sekurang-kurangnya saya sudah ada bisnes sebagai back-up,” ujar Puan Anna.

Beliau berbincang dengan suami tentang bisnes yang ingin diceburi secara sambilan. Mereka bercadang membuka kedai makan tom yam. Namun, hasrat ini tidak diteruskan kerana bisnes ini memerlukan modal yang tinggi dan jumlah pulangan pula tidak dapat dijangkakan.

Semasa melawat taska yang dimiliki seorang rakan, beliau teruja apabila kanak-kanak bersalaman dan bermain dengan seronok di taska tersebut. Timbul keinginan untuk membuka taska sendiri. Anak-anak beliau juga masih kecil dan belum bersekolah rendah. Modal permulaan juga tidak terlalu besar dan beliau yakin pendapatan taska lebih stabil berbanding kedai makan.

Menubuhkan Addin Educare

Perjalanan bisnes Puan Anna bermula dengan membuka pusat asuhan kanak-kanak (taska) yang pertama di Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang. Nama anak sulungnya, Muhammad Izzuddin memberi ilham untuk mendaftarkan Addin Educare. Izzuddin baru berusia tiga tahun dan anak keduanya berusia kurang dua tahun.

Membuka bisnes ini umpama ‘menyelam sambil minum air’ bagi Puan Anna. Putera dan puteri kesayangan mendapat penjagaan pengasuh di Taska Addin Educare. Pada bulan pertama, hanya tiga orang bayi yang mendaftar masuk. Jumlah kanak-kanak yang diasuh meningkat setiap bulan.

Pada bulan keenam, 18 orang kanak-kanak menambah keceriaan dan kesibukan di Taska Addin Educare. Pendapatan selama enam bulan sudah dapat mengembalikan modal sebanyak RM7 ribu yang dikeluarkan daripada simpanan sendiri.

Walaupun belum mendapat sebarang keuntungan, Puan Anna melihat potensi dalam bidang ini. Beliau masih bekerja makan gaji di syarikat yang sama. Namun kini, beliau menggunakan masa di luar waktu bekerja untuk menguruskan bisnes pula.

Menambah cawangan dan perkhidmatan tadika

Beliau mula menawarkan perkhidmatan tadika (pra sekolah) untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 6 tahun. Tadika dibuka kerana ada permintaan daripada ibu bapa yang sudah menghantar anak di Taska Addin. Mereka mahu anak-anak diasuh dan belajar di tempat yang sama.

Rumah dua tingkat yang menjadi premis pertama perniagaan digunakan untuk Taska dan Tadika. Taska di bahagian bawah, dan kanak-kanak Tadika belajar di tingkat atas.

Taska dan Tadika Addin mendapat sambutan penduduk tempatan. Beliau kemudian menyewa rumah berhadapan premis ini dan mengasingkan operasi Taska dan Tadika. Dalam tempoh sedekad, Addin Educare sudah mempunyai lima cawangan iaitu tiga buah Tadika dan dua buah Taska di Pasir Gudang.

Bermula dengan tiga orang kanak-kanak, Addin Educare kini menguruskan pengasuhan dan pendidikan bagi lebih 200 orang kanak-kanak.

Bukti kerja keras selama lebih sedekad berbaloi

“Niat kita dalam bisnes ini bukan semata-mata untuk keuntungan dan wang ringgit. Kami harap apa yang kami berikan kepada anak-anak yang masuk ke Taska Tadika Addin Educare khususnya pendidikan menjadi saham di akhirat kelak,” jelas Puan Anna.

Beliau menegaskan niat berbisnes amat penting. Matlamat ini memberi kekuatan kepadanya untuk terus berjuang dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak. Kesan pendidikan awal tidak dapat dilihat semasa anak-anak masih kecil.

Beliau gembira apabila ibu bapa berkongsi tentang perkembangan anak mereka selepas tamat pra-sekolah di Tadika Addin. Seorang pemilik restoran pernah menegurnya semasa beliau datang makan bersama keluarga. Ibu ini masih ingat Cikgu Anna yang menguruskan Tadika Addin. Anaknya sudah berusia 15 tahun dan membantu ibunya di kedai.

Seorang lagi ibu mengucapkan terima kasih atas penjagaan dan didikan yang diberi oleh Tadika Addin.

“Anak saya tak payah disuruh-suruh untuk bangun solat subuh. Dia tahu buat sendiri. Dah pandai tulis Jawi. Alhamdulilah.” Khabar yang baik seperti ini cukup mengharukan dan membuktikan kerja keras selama ini berbaloi.

Pernah dimarahi ibu bapa

“Bukan semuanya indah dan manis dalam bisnes ini,” sambungnya lagi.

“Ada ibu bapa yang marah-marah sehingga menghentak meja di hadapan saya. Ada juga yang mendoakan perkara tidak baik berlaku kepada taska dan tadika kami.”

Puan Anna masih ingat peristiwa itu. Sebahagian ibu bapa memandang rendah tugas sebagai pengasuh kanak-kanak. Walhal, pengasuh mempunyai peranan yang penting dan besar dalam penjagaan kanak-kanak semasa ibu bapa keluar mencari rezeki.

Seorang pengasuh yang sudah menjalani Kursus Asuhan dan Didikan Kanak-kanak Permata (KAP) dan lulus diperakui sebagai pekerja mahir. Kursus KAP dahulu dikenali sebagai Kursus Asas Asuhan Kanak-kanak. Silibus KAP diperbaharui dengan menambah latihan praktikal di pusat asuhan yang terpilih di seluruh negara.

Tidak kurang juga guru Tadika yang mengambil Diploma Pendidikan Awal. Tahap pendidikan guru yang terlibat di Taska dan Tadika bertambah baik dari tahun ke tahun.

Membangunkan silibus dan aktiviti Addin Educare

Pengusaha taska dan tadika mesti memohon lesen daripada dua jabatan yang berasingan. Pengurusan taska di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Pengurusan tadika pula di bawah pengawasan Jabatan Pendidikan.

Permohonan lesen Taska mengambil masa hampir tiga tahun kerana tiada format yang standard berbanding permohonan lesen Tadika. Semua permohonan Taska di daerah Johor Bahru diproses oleh seorang pegawai sahaja. Oleh itu, ia mengambil masa yang panjang untuk mendapat kelulusan.

Permohonan lesen Tadika lebih mudah kerana format kertas kerja telah disediakan sebagai panduan. Puan Anna membangunkan silibus Tadika Addin berdasarkan buku pra sekolah yang diterbitkan oleh penerbit tempatan. Kebanyakan penerbit mengikut panduan silibus dengan Standard Kurikulum Pra Sekolah Kebangsaan (SKPK).

Namun, guru-guru harus lebih kreatif bagi merancang aktiviti kanak-kanak di Taska. Puan Anna dan tim Addin Educare sentiasa mencari idea baru untuk melaksanakan aktiviti yang meningkatkan keupayaan kanak-kanak pada usia kurang empat tahun.

“Ibu bapa ingin yang terbaik buat anak-anak mereka. Terdapat ibu bapa yang hendak mendaftarkan anak mereka untuk Tadika pada usia tiga tahun.”

Puan Anna berkongsi pandangannya tentang pendidikan awal kanak-kanak secara formal.

“Saya akan lihat umur anak itu dahulu sebelum menerima masuk ke Tadika. Anak-anak di bawah umur 36 bulan masih terlalu awal untuk diberikan pendidikan formal. Jika mereka dimasukkan juga, usah beri tekanan kepada anak itu.”

Kanak-kanak berhak untuk bermain dan menjalani kehidupan yang riang tanpa tekanan. Oleh itu, Addin Educare menekankan konsep belajar sambil bermain. Ibu bapa harus melihat tempoh ini sebagai waktu emas dan memberi peluang kepada kanak-kanak untuk melaluinya dengan gembira.

“Pada usia ini, kita memberi pendedahan kepada kanak-kanak tentang aspek Tauhid dan ketuhanan selaras dengan imej Addin Educare sebagai taska tadika Islam. Aspek tauhid disampaikan oleh guru dengan cara santai dan mudah difahami,” sambung Puan Anna lagi.

Selain itu, beliau menegaskan aspek akhlak menjadi keutamaan berbanding pencapaian akademik pada peringkat taska dan tadika. Puan Anna mengakui kagum dengan kaedah yang dilaksanakan oleh sebuah pusat asuhan kanak-kanak di Bangkok.

Beliau mengikuti rombongan Persatuan Taska Negeri Johor beberapa tahun lalu untuk melihat pengurusan dan aktiviti di sana. Kanak-kanak diajar menghormati orang tua dan menjaga kebersihan diri.

Restu ibu bapa dan redha suami

“Sebelum buka Taska, saya tunjuk pada mak dan abah lokasi premis. Alhamdulilah, mereka positif. Mak dan abah adalah penyokong kuat sepanjang saya menjalankan bisnes. Mereka sentiasa memberi galakan,” Puan Anna menceritakan detik awal penubuhan Taska Addin Educare.

“Saya masih ingat pesanan arwah abah. Cubalah mana tahu kau bisnes maju, mesti kau akan cakap kenapa dari dulu tak meniaga,” sambungnya lagi.

Selain ibu bapa, suaminya turut menyokong segala usaha beliau dalam perniagaan. Beliau yakin doa yang tidak putus-putus dan redha suami adalah faktor kejayaannya pada hari ini.

Kuat semangat dan jangan mudah mengalah

Puan Anna berkongsi beberapa tips kejayaannya dalam bisnes.

“Apabila menjalankan bisnes, kena kuat semangat. Setiap cabaran mesti ditempuhi dan teruskan perniagaan. Jangan mudah mengalah.”

Puan Anna menambah lagi, “Beri tempoh untuk memperkenalkan bisnes sekurang-kurangnya enam bulan. Kemudian, tengok sambutan daripada pelanggan. Fikirkan cara untuk memperkenalkan bisnes kepada bakal pelanggan.”

Bagi individu yang ingin berjinak-jinak dalam dunia perniagaan, Puan Anna menggalakkan mereka berniaga kecil-kecilan dahulu. Gunakan modal serendah RM1,000 contohnya untuk melihat keupayaan dalam bisnes. Jika gagal dan modal hangus, pengalaman sepanjang tempoh itu adalah ilmu yang berharga untuk bisnes seterusnya.

Menceburi bisnes lain

Puan Anna turut menyediakan perkhidmatan homestay sejak empat tahun lalu di samping perniagaan Taska Tadika Addin Educare. Penglibatan beliau dalam bisnes homestay adalah percubaan pada peringkat awal setelah salah sebuah taska yang dibuka tidak mendapat sambutan.

Beliau mengambil keputusan untuk membuka homestay kerana sudah melabur modal untuk mengubahsuai rumah yang disewa bagi tujuan taska. Bisnes ini turut mendapat sambutan.

Beliau mengusahakan tujuh unit homestay dan kebanyakan pelanggan beliau ialah pekerja mahir dalam sektor minyak dan gas yang bertugas di Pasir Gudang.

Beliau juga mengeluarkan modal permulaan untuk membuka sebuah cafe di Johor Port. Operasi cafe ini diuruskan oleh adik beliau.

Selepas 10 tahun bekerja dan menjalankan bisnes sekaligus, Puan Anna berhenti kerja pada tahun 2014 setelah berkhidmat selama 14 tahun.

“Saya memegang kata-kata Tun Mahathir. Kita tidak dapat mewariskan kerja makan gaji kepada anak-anak. Namun, kita boleh mendidik anak-anak kita untuk mewarisi bisnes kita. Sungguh benar. Apabila saya berhenti kerja, anak saya tidak boleh menyambung kerja saya. Insya Allah, anak-anak saya boleh mendapat manfaat dan menguruskan bisnes saya pada masa hadapan,” ujarnya lagi mengakhiri perbualan kami.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *