Harta pusaka

Q&A – Harta pusaka Islam (Siri 1)

Alhamdulilah kesedaran semakin meningkat di kalangan masyarakat tentang kepentingan merancang pengurusan harta pusaka. Walaubagaimanapun, masih ramai yang kurang jelas bagaimana hendak memulakan langkah yang sesuai. Pelbagai persoalan timbul samada bagi waris ataupun bagi individu yang hendak membuat perancangan. Isu harta pusaka berkait rapat dengan kematian. Kadangkala ahli keluarga yang menimbulkan isu ini dikatakan sebagai materialistik atau tamak. Banyak salah faham berlaku. Inilah salah satu punca aset beku milik orang yang telah meninggal dunia tidak dapat diselesaikan sehingga kini.

Kita tidak perlu segan silu atau takut untuk bercerita tentang hal harta pusaka. Insya Allah, saya akan menulis entri-entri berkaitan harta pusaka melalui soal jawab yang relevan dengan topik ini. Soalah-soalan berikut adalah soalan lazim yang ditanyakan apabila membincangkan isu harta pusaka.

Soalan 1: 
Apakah itu wasiat dan perbezaan Wasiat orang Islam dan bukan Islam?

Jawapan: 
Wasiat ialah satu dokumen pengakuan yang disediakan oleh seseorang individu (pewasiat) semasa hayatnya mengandungi pesanan tentang pengurusan harta pusaka selepas kematian pewasiat. Untuk menjadikan sebuah surat wasiat itu sah dari segi undang-undang, maka ia hendaklah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Selain daripada itu, bagi orang Islam, mereka tertakluk kepada hukum Syari’ah. Salah satu contoh yang jelas ialah Wasiat orang Islam yang menyebut pembahagian kepada bukan waris hendaklah tidak lebih daripada 1/3 harta berbanding bukan Islam, yang mana mereka boleh membuat pembahagian kepada sesiapapun atau mana-mana badan yang mereka inginkan.

Soalan 2:
Apakah fungsi Wasiat dalam perancangan harta pusaka Islam?

Jawapan:
Galakan menulis Wasiat telah disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar, Rasulullah s.a.w berkata:  

Bukanlah seorang Muslim yang sebenar yang mempunyai harta untuk diwasiatkan untuk tidur dua malam kecuali wasiatnya sudah tertulis dan disimpan di bawah kepala.

Dengan menulis Wasiat, pewasiat boleh menetapkan bahagian-bahagian tertentu bagi tujuan kebajikan, pemberian kepada bukan waris dan pesanan-pesanan yang baik untuk semua waris dan benefisiari yang tinggal. Dalam sistem perundangan di Malaysia, Wasiat juga berfungsi sebagai dokumen yang menyatakan perlantikan Wasi (executor) yang diamanahkan untuk melaksanakan Wasiat selepas kematian pewasiat.

Selain daripada hukum Faraid, Wasiat adalah satu instrumen penting dalam perancangan harta pusaka Islam. Pewasiat berpeluang untuk meninggalkan amanah untuk melaksanakan kebajikan atau ‘amal jariah tidak melebihi 1/3 harta sebagai pelaburan akhirat. Selain daripada itu, pewasiat juga boleh menyatakan pemberian kepada bukan waris seperti anak angkat, ibu bapa yang bukan Islam, kaum kerabat yang bukan waris Faraid.

Soalan 3:
Kenapa perlu menulis Wasiat kerana sudah ada Faraid untuk orang Islam?

Jawapan:
Faraid adalah suatu sistem pembahagian harta pusaka yang ditetapkan oleh Allah dan disebut dalam Al-Quran Surah An-Nisa’ ayat 11,12 dan 176. Faraid adalah asas dalam perwarisan harta pusaka orang Islam. Ia merupakan suatu formula pecahan dan disebaliknya ada hikmah yang besar untuk umat Islam. Walaubagaimanapun, dalam situasi semasa Wasiat diperlukan sebagai kunci kepada pengurusan harta pusaka yang mana ia termasuk melantik Wasi (executor) yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas-tugas pentadbiran selepas kematian pewasiat.

Melalui sistem Faraid telah jelas bahagian harta pusaka yang akan diwarisi oleh setiap waris yang berhak, tetapi bagaimana hendak menguruskan harta pusaka ini supaya boleh dibahagikan. Maka, dokumen Wasiat adalah salah satu instrumen yang dapat membantu pewasiat dan waris yang berhak. Dokumen Wasiat yang sah dan lengkap boleh digunakan di Mahkamah Sivil bagi menentukan pelantikan Wasi (executor) dan memudahkan urusan pentadbiran harta pusaka selepas itu.

Soalan 4: 
Apakah kandungan Wasiat yang lengkap?

Jawapan:
Kandungan asas Wasiat adalah termasuk:
1) Melantik Wasi yang layak
2) Melantik Penjaga bagi waris-waris yang dibawah umur (sekiranya ada)
3) Menyenaraikan harta (Aset) dan hutang (Liabiliti) semasa
4) Menyatakan pemberian kepada bukan waris dan memberikan panduan pembahagian kepada waris
5) Menyatakan pesanan-pesanan yang baik kepada waris dan benefisiari

Soalan 5:
Apakah syarat-syarat sah Wasiat yang boleh digunapakai di Mahkamah?

Jawapan:
1) Wasiat ditulis dengan jelas dan ditandatangani oleh pewasiat
2) Pewasiat melantik Wasi dalam surat Wasiat beliau
3) Surat Wasiat mempunyai tandatangan sekurang-kurangnya dua orang saksi lelaki Islam dan waras

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *