Harta pusaka

Q&A – Harta pusaka Islam (Siri 2)

Pentadbiran harta pusaka melibatkan banyak pihak dan masing-masing mempunyai peranan penting untuk memastikan pentadbiran harta pusaka si mati dapat diuruskan dengan baik dan selesai dalam tempoh yang munasabah.

Soalan 6:
Siapakah Wasi dan apakah syarat-syarat layak menjadi Wasi (Executor)?

Wasi (Executor) ialah orang yang dilantik oleh pewasiat dalam Surat Wasiat untuk melaksanakan pentadbiran harta pusaka selepas kematian pewasiat termasuk hasrat dan pesanan pewasiat. Orang yang dimaksudkan disini boleh jadi seorang individu ataupun organisasi seperti syarikat amanah.

Pewasiat bebas melantik sesiapa menjadi Wasi samaada individu berkenaan di kalangan waris ataupun sahabat handai. Syarikat amanah seperti Amanah Raya Berhad dan As-Salihin Trustee Berhad juga boleh dilantik sebagai Wasi. Kedua-dua syarikat amanah mempunyai kepakaran dan pengalaman dalam pentadbiran dan pengurusan harta pusaka. Antara ciri-ciri penting yang perlu ada untuk dilantik sebagai Wasi ialah:
1) Orang / organisasi yang boleh dipercayai
2) Mempunyai pengetahuan untuk melaksanakan tugas-tugas Wasi
3) Adil dan waras
4) Adalah amat digalakkan bagi orang Islam melantik orang Islam juga sebagai Wasi supaya kepentingan agama terpelihara
5) Mampu untuk melaksanakan tugas Wasi terutamanya dari segi masa dan tenaga

Dalam surat Wasiat, pewasiat boleh melantik lebih daripada seorang Wasi iaitu Wasi Bersama dan juga Wasi Ganti. Wasi Bersama ialah Wasi yang diberikan kuasa untuk bertindak bersama dengan Wasi Utama yang dilantik. Manakala Wasi Ganti pula ialah Wasi yang akan mengambilalih tugas dan peranan Wasi Utama sekiranya Wasi Utama telah meninggal dunia, tidak mampu untuk melaksanakan tugas atau Wasi Utama menyerah tugas dan tanggungjawab kepada Wasi Ganti.

Soalan 7:
Apakah tugas-tugas Wasi?

Wasi adalah pihak yang sangat penting dan haruslah bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas-tugas dalam pentadbiran harta pusaka si mati. Antara tugas-tugas utama Wasi ialah:
1) Mengenalpasti Wasiat
2) Mengumpulkan waris-waris dan benefisiari
3) Menjelaskan kandungan Wasiat kepada waris-waris dan benefisiari
4) Mengumpulkan aset dan liabiliti pewasiat dan mendapatkan dokumen yang sah bukti pemilikan aset
5) Memohon dan mendapatkan Grant of Probate di Mahkamah Tinggi
6) Menyelesaikan hutang si mati termasuk cukai, zakat, haji, kaffarah dan lain-lain hutang yang berkenaan
7) Mengagihkan harta pusaka mengikut arahan dan pesanan pewasiat 
8) Berbincang dengan waris dan benefisiari untuk memudahkan pembahagian harta pusaka
9) Menjadi orang tengah sekiranya terdapat konflik atau perbalahan dikalangan waris
10) Menyediakan penyata akaun untuk aset dan liabiliti (hutang) si mati dan agihan kepada waris sehingga semuanya selesai

Soalan 8:
Siapakah pentadbir dan bagaimana seseorang pentadbir itu dilantik?

Pentadbir ialah individu atau organisasi yang dilantik oleh waris-waris si mati untuk mentadbir harta pusaka si mati. Boleh juga dimaksudkan sebagai wakil si mati. Semua waris hendaklah bersetuju untuk melantik seseorang pentadbir. Setelah mendapat persetujuan daripada semua waris, maka pentadbir boleh membuat permohonan Surat Kuasa Tadbir daripada Mahkamah.

Lebih daripada seorang pentadbir boleh memohon untuk mentadbirkan harta si mati. Sekiranya berlaku perbalahan dan terdapat lebih daripada satu permohonan menjadi pentadbir, maka pihak Mahkamah akan membuat keputusan yang munasabah untuk melantik pentadbir dan selanjutnya mengeluarkan Suarta Kuasa Tadbir. Ini berlaku apabila si mati meninggal dunia tanpa menulis Wasiat. Contoh kes pelantikan pentadbir oleh Mahkamah ialah Kes Harta Pusaka Syed Kechik. (Saya akan menjelaskan lebih lanjut tentang kes ini dalam entri akan datang.)

Soalan 9:
Apakah perbezaan diantara Wasi dan Pentadbir Harta Pusaka?

Wasi adalah orang atau organisasi yang dilantik oleh Pewasiat semasa hidupnya. Ini bermakna Pewasiat mempunyai hak melantik sesiapa yang beliau percaya dan memenuhi ciri-ciri yang layak menjadi Wasi. Walaubagaimanapun, Pentadbir Harta Pusaka dilantik oleh waris-waris si mati selepas kematiannya kerana si mati tidak meninggalkan Wasiat. Sesiapa yang mempunyai kepentingan terhadap harta pusaka si mati termasuk pemiutang (creditors) boleh memohon sebagai Pentadbir. Wasi akan mendapatkan Grant of Probate, manakala Pentadbir akan memohon Surat Kuasa Tadbir daripada Mahkamah.

Soalan 10:
Adakah yuran pentadbiran untuk Wasi atau Pentadbir Harta Pusaka?

Yuran pentadbiran adalah berbeza-beza mengikut Wasi atau Pentadbir Harta Pusaka yang dilantik. Yuran pentadbiran ini selalunya dikenakan oleh Syarikat Amanah sebagai imbuhan dalam menyelesaikan pembahagian harta pusaka si mati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *