Harta pusaka

Royalti sebagai pusaka

Penulis, artis dan ahli muzik biasanya akan menerima royalti sebagai imbuhan daripada penerbit. Amalan membayar royalti diterima secara meluas dalam industri kreatif termasuk industri penerbitan buku.

Penulis layak menerima royalti selagi karyanya masih diterbitkan. Royalti akan terus dibayar sehingga 50 tahun selepas kematian penulis. Tempoh ini dipersetujui dalam Berne Convention (sila google).

Selepas TPPA ditandatangi, kemungkinan besar tempoh ini akan dilanjutkan sehingga 70 tahun.

Ini bermaksud waris penulis berhak mendapat royalti selepas kematian penulis. Walaupun dalam perjanjian tidak dinyatakan tempoh 50 tahun / 70 tahun ini, ia menjadi amalan yang diterima pakai dalam pembayaran royalti.

Karya yang malar segar (evergreen) dan sentiasa dibaca melewati zamannya berpotensi memberi pendapatan pasif bukan sahaja kepada penulis semasa hidup, tetapi juga dapat diwariskan sebagai legasi selepas kematian.

Bagaimana royalti diuruskan selepas kematian?
1. Perlu rujuk di dalam kontrak penerbitan. Adakah penulis meletakkan penama yang bakal menerima royalti selepas kematian penulis. Bagi penulis yang beragama Islam, penama ini hanya wakil kepada waris yang berhak mengikut Faraid.
2. Jika tiada penama dinyatakan, pentadbir pusaka akan menjadi wakil yang menerima royalti bagi pihak waris.
3. Penulis boleh menulis wasiat. Jika tiada klausa khusus untuk melantik penama bagi royalti ini, Wasi iaitu pentadbir yang dilantik dalam wasiat adalah pihak yang akan menerima royalti daripada penerbit. Wasi adalah wakil waris.
4. Penulis boleh menulis wasiat dan menyatakan secara khusus tentang pengurusan royalti selepas kematiannya.

Penulis mungkin tidak menyangka karyanya (aset intelek) akan memberi sumbangan besar dalam bentuk wang ringgit pada masa hadapan.

Usah ketepikan aspek ini dalam karier penulisan. Sekurang-kurangnya pasangan atau ahli keluarga terdekat tahu tentang kontrak yang anda tandatangani dengan penerbit.

Penerbit pula tidak boleh mengenepikan hak waris kepada royalti yang sepatutnya dibayar sama ada royalti tertunggak, semasa atau selepas kematian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *