Blog

Rumah Agam Loke Chow Kit, Jalan Tangsi Kuala Lumpur

Bangunan dua tingkat dengan cat kuning yang seni bina yang indah di tengah Kuala Lumpur itu sering kali menarik perhatian setiap kali saya melalui Jalan Kinabalu.

Itulah Rumah Agam Loke Chow Kit yang diisytiharkan sebagai Warisan Negara pada tahun 2012. Bulan lepas saya berkesempatan hadir ke acara pelancaran ORBIT anjuran E-Sentral di Bangunan KL Mayor bersebelahan dengan Rumah Warisan ini.

Rumah Agam Loke Chow Kit ini juga dikenali 10 Tangsi iaitu alamat rumah ini dibina, iaitu 10 Jalan Tangsi. Jadi, sementara menunggu majlis pelancaran, saya mengambil beberapa gambar bangunan dan sekitarnya.

Di hadapan jalan masuk, terpampang tanda Kuala Lumpur Ibu Kota Dunia 2020 (Kuala Lumpur World Book Capital). Sekretariat KLWBC telah diberi mandat untuk beroperasi di sini.

Saya melangkah masuk ke ruang tengah rumah yang luas. Lantainya bermozek corak petak. Ada tangga kayu untuk ke tingkat atas. Kisi-kisi tingkap yang diperbuat daripada kayu masih lagi kekal elok berfungsi. Terasa seolah berada beberapa dekad yang lalu (zaman sebelum saya lahir lagi).

Rumah ini dimiliki oleh Loke Chow Kit dan siap dibina pada tahun 1907. Namun, kemudian dijual kepada orang putih pada tahun 1908 untuk dijadikan hotel. Pada masa itu dikenali sebagai Hotel Empire dan ditukar nama kepada Hotel Peninsular pada tahun 1919.

Rumah Agam Loke Chow Kit, 10 Jalan Tangsi Kuala Lumpur.

Kerja-kerja pemuliharaan bangunan dilakukan dengan baik sekali dan sekarang tersergam indah di tengah ibu kota. Kawasan tempat letak kereta turut disediakan berhampiran Rumah Agam ini. Walaupun agak sukar juga mahu mencari jalan masuk.

Saya datang dengan memandu dari arah Kerinchi dan melalui bulatan berhampiran Bank Rakyat. Jadi, saya meletak kereta bertentangan dengan Bangunan Bank Rakyat.

10 Jalan Tangsi, Kuala Lumpur.

Loke Chow Kit berasal dari Pulau Pinang dan beliau ialah usahawan yang terkenal pada abad ke-19. Beliau mempunyai pusat perniagaan Chow Kit & Co selepas terlibat dengan perlombongan dan beberapa perusahaan lain. Nama beliau juga diabadikan sebagai nama jalan, iaitu Jalan Chow Kit yang sibuk dan menjadi tumpuan penjaja.

Saya harap banyak aktiviti perbukuan akan diadakan di sini sempena Kuala Lumpur World Book Capital 2020. Semoga ia meriah dan menjadi tumpuan orang tempatan dan pelancong luar negara.

Writing prompt Ogos 2019: Gambar di galeri telefon anda
Anda boleh baca entri saya yang lain di sini menggunakan pencetus idea yang diberikan. Saya memulakan cabaran ini pada bulan Julai 2019.

Please follow and like us:

2 Comments

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial