Sahabat

Sherlock Holmes: Listen, what I said before John, I meant it. I don’t have friends, I’ve just got one.

Satu babak dalam siri Sherlock Holmes. John tak puas hati apabila Sherlock kata dia tiada kawan. Sebenarnya, sahabat Sherlock ialah John. Dalam siri seterusnya, Sherlock perlu buat keputusan yang paling sukar untuk selamatkan tiga orang penting dalam hidupnya, John Watson, Detective Lastrade dan Mrs Hudson.

Beberapa sahabat saya adalah orang penting dalam hidup saya. Kami tidak berhubung setiap hari, tetapi saya tahu mereka sentiasa sudi mendengar cerita atau berkongsi hal berat atau remeh.

Hari ini saya mahu menulis tentang seorang sahabat. Beliau rakan sekelas saya di sekolah rendah. Saya tak ingat sejak bila saya berkawan baik dengan beliau. Mungkin sikapnya yang suka mengusik dan ceria membuatkan saya senang berkawan dengannya. Kadang kala saya tak tahan juga dengan kenakalan beliau.

Habis sekolah rendah, kami berpisah kerana saya masuk ke asrama dan beliau pula sekolah harian. Jarang berjumpa. Sesekali kami akan berbual di telefon. Saya hafal nombor telefon rumahnya. Saya dah tak ingat apa yang kami bualkan. Macam-macam.

Bertahun-tahun berlalu, kami jarang bertemu. Hanya selepas tamat pengajian di universiti, baru kami berhubung semula. Saya hadir di majlis perkahwinannya sepuluh tahun lalu. Syukur, beliau mempunyai keluarga yang bahagia dan tiga orang anak perempuan yang comel.

Hari ini beliau berlepas ke tanah suci untuk menunaikan Umrah bersama keluarga kecilnya. Pada tarikh ini (maulid Nabi), beberapa tahun yang lalu, beliau kehilangan bapa. Seorang bapa yang juga berperanan sebagai ibu.

Hari ini, saya berterima kasih kepada beliau. Hari ini beliau mencapai banyak kejayaan yang menjadi inspirasi kepada saya. Beliau kerja keras dan positif dalam hidup. Beliau seorang yang tenang dan lemah lembut.

Awak, selamat menjalani ibadah umrah.

Semoga perjalanan awak dan keluarga selamat. Semoga semua urusan lancar di tanah suci. Sesungguhnya saya cemburu, awak. Saya mahu ke sana. Doakan saya. Salah satu impian saya ialah mengerjakan Haji sebelum usia 40 tahun. Semoga Allah tunaikan hasrat saya.

Awak, semoga kejayaan milik awak di dunia dan akhirat.

Salam Maulidurrasul.
12 Rabiulawal 1439

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *