Nota Khutbah

Sederhana dalam keperluan hidup

“Dan juga mereka apabila membelanjakan hartanya, tiada melampaui batas dan tiada pula bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana diantara kedua-duanya (boros dan bakhil) itu.” (Al-Furqan: 67)

Empat peringkat keperluan bagi manusia seperti yang ditetapkan Islam adalah keperluan yang mendesak, keperluan yang dihajati, keperluan yang lebih baik dan keperluan yang lebih lengkap.

Allah mengurniakan nikmat yang luas kepada manusia dalam pelbagai bentuk seperti hidup aman, sihat tubuh badan, bahagia dengan keluarga dan orang tersayang, umur yang panjang dan kekayaan harta benda.

Kadang kala kesenangan adalah ujian daripada Allah. Oleh sebab itu, kita diingatkan agar sentiasa bersyukur. Mengurus perbelanjaan dengan baik adalah tanda kita mensyukuri nikmatnya dan menggunakan amanah yang diberikan sebaik-baiknya.

Jika kita tidak berhikmah dalam berbelanja, mungkin sahaja kita akan meninggalkan generasi yang fakir dan meminta-minta. Bukan itu sahaja, mereka akan terjebak dengan hutang dan akhirnya generasi akan datang menjadi semakin gawat dan tidak dapat berkembang secara ekonomi. Ia juga boleh menyebabkan masalah sosial.

Islam tidak menghalang untuk kita berbelanja, tetapi hendaklah berbelanja dengan bijak dan usah membazir.

“Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.” (Al-Isra’: 17)

Jadikan kehidupan Rasulullah SAW yang sederhana sebagai teladan. Sabda baginda:

“Dari Abdullah katanya Rasulullah SAW tidur diatas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaan badannya berbekas, maka kami katakan kepadanya: Ya Rasulullah, sekiranya kami bawakan kepada kamu hamparan yang lembut, Rasulullah menjawab: Apakah kedudukan aku dan dunia ini, tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama pengembara yan berteduh di bawah pokok kemudian berlaku meninggalkannya.” (Riwayat Tirmidzi)

Sebagai umat Islam banyakkan bersyukur dan bersederhana dalam perbelanjaan agar apa yang kita lakukan ini semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan meningkatkan takwa kepada-Nya.

Allah berfirman:

“Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmatnya yang zahir dan batin? Dalam pada itu, ada diantara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah tanpa ilmu atau petunjuk dan tidak berdasarkan kita Allah yang menerangi kebenaran.” (Lukman: 20)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Oktober 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial