Blog

Sederhana

Perkataan ini terlalu sederhana sifatnya. Seperti maknanya. Namun, ia satu konsep yang besar yang sepatutnya mendasari nilai kehidupan kita setiap hari. Saya percaya kesederhanaan akan membawa bahagia dan tenang yang dicari.

Setiap hari kita sibuk menyempurnakan itu dan ini. Memenuhi jangkaan dan jangkauan pihak lain, mahupun diri sendiri tanpa kita sedari. Kita melalui hari-hari yang biasa. Kadang-kala terlampau sibuk, tapi masih lagi menjalani rutin yang serupa.

Semakin usia meningkat, saya cuba lebih bersederhana dalam membeli barang. Tadi siang saya berjalan-jalan dengan seorang sahabat. Nampak baju pelbagai fesyen yang cantik dan warna yang menarik. Jika dulu mungkin saya akan terbeli satu atau dua helai. Tapi sekarang saya lebih beringat kerana baju yang ada pun bukan dapat dipakai setiap hari.

Dalam berbicara juga saya memilih sederhana. Saya jarang mahu berbincang hal politik. Bukan minat saya, dan saya bukan fanatik. Saya lihat ramai orang yang fanatik dengan parti politik. Menyalahkan penyokong pihak sana. Membobrokkan penyokong pihak sini. Dalam lingkungan sahabat, lebih baik kami tidak berbincang hal politik. Kami bercerita hal yang kami suka. Lebih membahagiakan.

Bagi yang mengenali diri saya, saya boleh jadi pendengar yang baik. Saya jarang sekali meletakkan label pada seseorang. Saya terbuka dalam persahabatan. Bersikap sederhana dalam memilih kawan. Namun, berhati-hati dengan orang yang suka mengambil kesempatan.

Saya mungkin tidak ramai sahabat, tapi saya betul-betul hargai sahabat dan kenalan yang ada. Jika sampai satu masa, saya dapati ada kenalan yang sudah tak sehaluan, maka tiba masa untuk saya meninggalkannya. Saya percaya pada usia yang semakin matang, keperibadian yang ditonjolkan menunjukkan sikap sebenar seseorang itu.

Tapi manusia kan sentiasa mahukan yang hebat, kuasa yang besar, duit yang banyak dan kesempurnaan. Sifat sederhana dan kesederhanaan semakin terkikis. Tidak salah menjadi terbaik. Tapi yang merosak ialah perebutan dan penindasan. Sedang Tuhan sudah menjadikan dunia ini cukup untuk seisinya.

Mari kita bersederhana dalam hidup supaya lebih bahagia dan tenang.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijau, Zaitun

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial