Harta pusaka

Sejarah Perwarisan Sebelum Kedatangan Islam

Masyarakat Arab terkenal sebagai bangsa nomad. Mereka hidup berpindah-pindah sama ada untuk berdagang atau mencari makanan dan air untuk haiwan ternakan. Pada masa itu, sudah wujud sistem perwarisan dalam kalangan bangsa Arab.

Di tanah Arab, kaum wanita tidak bekerja dan hanya mengurus rumah tangga. Golongan ini dianggap lemah sama seperti kanak-kanak yang tidak berupaya untuk melindungi keluarga. Oleh itu, wanita dan kanak-kanak tidak layak mewarisi harta pusaka.

Hukum perwarisan sebelum kedatangan Islam tidak mengiktiraf wanita dan kanak-kanak sebagai waris kerana mereka tidak pergi berperang. Oleh itu, sistem perwarisan pada zaman ini mengutamakan kaum lelaki.

Sistem perwarisan Arab sebelum Islam adalah berlandaskan tiga perkara. Pertama, persaudaraan.

Kedua, lelaki yang sudah cukup umur dan mampu untuk pergi berperang. Jika Si Mati meninggalkan waris lelaki yang belum cukup umur, harta Si Mati akan diwarisi oleh saudara lelakinya yang cukup umur.

Salah satu tradisi dalam masyarakat Arab adalah hubungan saudara yang dibina dengan sumpah seperti “darahku darahmu, kamu akan mewarisi aku dan aku akan mewarisimu, kamu boleh meminta dariku dan aku akan meminta darimu.” Dengan sumpah ini, mereka dianggap bersaudara walaupun tiada pertalian darah.

Maka, mereka boleh mewarisi.

Ketiga, anak atau keluarga angkat. Keluarga angkat akan mewarisi di antara satu sama lain.

Kehadiran Islam membawa keadilan kepada manusia. Hukum berkaitan perwarisan ini dilaksanakan secara berperingkat. Amalan perwarisan masyarakat Arab sudah lama menjadi tunggak dalam membahagikan harta Si Mati. Tentu sukar untuk mengubah fahaman ini sekelip mata.

Turun beberapa ayat Al-Quran yang memberi panduan tentang pembahagian pusaka. Wanita dan kanak-kanak layak mewarisi sepertimana kaum lelaki. Tiga sebab mewarisi dalam Islam adalah hubungan darah (kerabat), perkahwinan dan akidah Islam.

Sisterm perwarisan Islam dan pembahagian Faraid adalah sistem yang adil dan saksama kerana ia syariat daripada Allah, Maha Pencipta. Allah Maha Mengetahui tentang keperluan manusia dan memberi penyelesaian yang adil kepada masalah pusaka.

Setiap waris ditetapkan bahagian mereka sama ada lelaki atau wanita, dewasa atau belum cukup umur. Secara umum, lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding wanita kerana kaum lelaki bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isteri dan keluarga.

Selain itu, pembahagian Faraid memastikan semua waris yang berhak mendapat bahagian dalam pusaka. Sifat manusia yang tamak, dengki dan dendam memang wujud dalam hal harta pusaka. Oleh itu, Faraid adalah penyelesaian kepada masalah ini. Hukum Tuhan yang memastikan keadilan dilaksanakan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *