Blog

Selendang: Kelingkan dan Keringkam

Bulan April lalu, saya dan sahabat baik, Yati pergi ke Kuala Terengganu. Kami menziarahi seorang lagi Haz yang bertugas di sana. Dah lama dia mengajak kami kerana dia dijadualkan berpindah ke Kuala Lumpur pada bulan Mei.

Peluang yang tak boleh dilepaskan. Lagipun, kali terakhir saya ke Terengganu sudah lebih 5 tahun lepas. Waktu itu saya menghadiri majlis perkahwinan rakan serumah. Sempat kami ke Pasar Payang dan mencuba batik lukis di Noor Arfa Batik. Pasar Payang tidak lama lagi akan ditutup. Mulai 1 Ogos 2019, peniaga akan berpindah ke bangunan baharu. Rasa terkilan pula tidak singgah tempoh hari.

Kali terakhir saya ke Pasar Payang, saya sempat membeli dua pasang kain batik untuk dibuat baju kurung. Harganya kurang RM300. Sekarang mungkin lebih mahal harganya bergantung corak dan jenis. Pasar yang berusia lebih 50 tahun itu adalah bukti perkembangan ekonomi orang tempatan. Malahan, nama ‘payang’ merujuk kepada perahu yang digunakan nelayan. Saya simpan kenangan membeli-belah di Pasar Payang elok-elok.

Sahabat saya membawa kami makan-makan dan jalan-jalan di sekitar Kuala Terengganu. Saya juga sempat berjumpa teman lama sewaktu kami bersekolah menengah di Johor Bahru. Sekarang dia bertugas sebagai pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu.

Pagi itu kami bertolak daripada Dungun. Sebelah petang kami ke Muzium Terengganu. Kami janji bertemu di sini. Saya teruja melihat bangunan muzium yang indah seni binanya.

Saya masuk ke ruang utama. Nampaknya lawatan kami hari itu memang berbaloi kerana pihak muzium membawa koleksi selendang untuk Pameran Kelingkan dan Keringkam Melayu. Koleksi ini dimiliki oleh pengumpul tekstil yang terkenal iaitu En John Ang.

Pertama kali saya mendengar perkataan kelingkan dan keringkam. Kelingkan ialah selendang yang dihiasi sulaman benang logam yang bersadur emas dan perak. Teknik sulaman ini unik dan tidak ramai yang mahir pada zaman sekarang. Seorang usahawan selendang kelingkan di Kota Bharu mengatakan nilai sehelai selendang ini boleh mencecah RM 2,500 dan mengambil masa sebulan untuk disiapkan.

Pelbagai jenis kain selendang dan sulaman dipamerkan. Saya kagum dengan nilai seni pada pelengkap busana kaum bangsawan dan kerabat diraja ini. Setiap jenis sulaman pula melambangkan asal tempat ia dihasilkan. Keringkam misalnya berasal dari Sarawak. Masih ada pengumpul dan pengusaha selendang keringkam ini.

Selendang juga perlambangan busana wanita Melayu Islam yang penuh kesopanan. Kain selendang yang dipamerkan kelihatan mewah dan halus buatannya.

Selain kelingkan dan keringkam, saya juga teruja melihat jenis kain dan corak kain yang dihasilkan orang Melayu. Kain cindai yang berwarna terang itu sangat menarik dan halus buatannya.

Orang Melayu menggunakan pewarna asli bagi menghasilkan corak pada kain yang sudah ditenun. Antara bahan yang digunakan sebagai pewarna ialah cekur manis, bawang, daun pandan wangi, biji kesumba, mangga, senduduk, ciku dan sepang.

Ada baiknya juga saya dapat pergi ke Muzium Terengganu hari itu. Dapat melihat keindahan selendang dan busana Melayu yang cantik. Penghasilan busana Melayu mempunyai falsafahnya sendiri. Langsung saya teringat pada novel Manikam Kalbu oleh Faisal Tehrani. Antara novel beliau yang saya suka.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini 
DoaNamaSuratHujanMimpiMelancongMatahariBukuVlogCoklatLautMalamHijauZaitunSederhanaNasiBungaSahabatHadiahCertotHeroKertas, Lari

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial