Umum

Sesekali – Telefilem di TV2 dengan Tema Hari Bapa

Jarang sekali menonton televisyen. Malam tadi saya buka siaran TV2 kerana ramai rakan di Facebook berkongsi status tentang telefilem Sesekali. Sebuah produksi yang diusahakan dengan kerjasama RTM dan DBP adaptasi puisi Sesekali karya Siti Zaleha M. Hashim.

Tahniah kepada semua pihak yang terlibat kerana berjaya membawa ramai penonton untuk menghadap tv malam semalam. Melihat pada trending di twitter. Saya juga terikut-ikut menonton kerana status kawan-kawan. Satu lagi yang menggamit saya untuk membuka siaran TV2 ini ialah telefilem ini diadaptasi daripada sebuah puisi dan sebuah novel turut ditulis oleh Lily Haslina Nasir dengan judul yang sama. Ia dihasilkan sempena Hari Bapa.

Menarik kan?

Saya kongsikan di sini, puisi Sesekali oleh Siti Zaleha M. Hashim.

Sesekali jadilah merpati putih
melayang membawa salam persahabatan
sesekali perlu menjadi helang
terbang garang sanggup menyerang
mempertahankan harga negara sendiri

waktu ini tidak boleh lagi
hanya mencari diri di dalam diri
benua tiada lagi sempadan
kita anak Timur mesti berani
untuk terbang lebih jauh
bersama sayap-sayap yang kuat
membawa wajah kita sendiri

sesekali kita boleh menjadi merpati
sesekali kita perlu menjadi helang.

Telefilem yang ditayangkan pada pukul 9.30 malam hingga 11.30 malam tadi menceritakan situasi dua orang bapa tunggal. Amrin dan Kemboja. Adeng dan Yudi. Sinopsis boleh baca di sini.

Dalam tempoh 2 jam, pada saya cerita itu agak lambat. Tidak dinafikan permainan emosi yang dibawa oleh pelakon Beto dan Azhan Rani memang hebat. Saya rasakan banyak ruang untuk menambah elemen ‘suprise’ kepada penonton. Apabila saya baca sinopsis dan perkongsian rakan-rakan sebelum menonton filem ini, saya harap ada sesuatu yang mengejutkan. Tapi tidak.

Ia menjadi telefilem dengan jalan cerita yang boleh diagak. Walaupun pada awalnya, kita tertanya-tanya adakah Amrin akan menjadi ‘hero’ buat Yudi atau sebaliknya?

Namun, pujian diberikan kerana berjaya menggambarkan situasi seorang bapa yang agak kekok menjaga anak perempuan yang masih kecil. Konflik bapa yang mahu mencari rezeki tapi tak mahu anak tahu punca rezeki. Boleh nampak di situ.

Babak Kemboja membuat persembahan itu sangat mirip dengan babak dalam Kuch Kuch Hota Hai. Nak tak hendak terpaksa juga teringat pada filem hindustan ini.

Sebenarnya, telefilem dengan jalan cerita melodrama dan perlahan bukan pilihan saya. Ini pandangan peribadi sahaja. Sama juga dengan cerita Pulang atau Bisik Pada Langit yang popular itu. Walaupun ramai orang mengatakan cerita itu memberi impak, sehingga sekarang saya tidak mampu menonton dua filem ini sehingga habis.

Walau apa pun, saya suka kerana pihak penerbitan RTM dan DBP berjaya membawa ramai penonton menonton siaran ini. Ramai juga penonton yang terkesan. Ini menunjukkan kejayaan produksi.

Puisi Siti Zaleha M. Hashim ini mempunyai maksud yang mendalam. Boleh difikirkan perbandingan merpati dan helang. Dua makhluk Tuhan yang berbeza ciri dan sifatnya. Namun, dapat dipelajari dan direnungkan oleh kita sebagai manusia.

Bagi yang terlepas menonton tayangannya, boleh lihat siaran ulangan di TV1 pada 29 Jun 2019, pukul 9 malam.

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial