Categories
Blog

Si Pari-pari

Seperti hari-hari yang lalu, si pari-pari terbang riang apabila teja mula menghilang di kaki awan. Matahari terbenam menandakan tugas si pari-pari bermula. Dia sukakan rutin menjengah manusia-manusia kegemarannya. Melihat wajah mereka tersenyum, menandakan hari yang bahagia.

Jika ada yang muram, si pari-pari akan melalui malam yang panjang. Tapi itu bukanlah hal yang menyusahkan. Cuma dia perlu pergi tepat jam 12 malam. Maka sebolehnya, si pari-pari akan menjadi pendengar yang setia.

Pada malam itu, si pari-pari terbang lagi dan tujuannya ialah menjenguk Jane yang kesunyian. Jane sakit. Dia tidak bersemangat lagi untuk keluar rumah dan berjumpa sahabat karibnya. Dia tidak mahu melakukan apa-apa melainkan tidur. Tapi, apabila si pari-pari datang Jane akan bercakap seperti biasa.

Walaupun si pari-pari hanya mendengar, dia harus lakukan sesuatu untuk membantu Jane. Dia tidak mahu kehilangan Jane. Matlamat si pari-pari ialah melihat Jane kembali sihat, ceria dan keluar bergembira.

Hujan yang lebat menyukarkan si pari-pari untuk sampai ke jendela rumah Jane. Si pari-pari tidak boleh berputus asa. Malam ini adalah malam penentuan. Si pari-pari terpaksa meninggalkan nota untuk ibu Jane tentang keadaannya yang semakin teruk. Dia berharap Jane tidak mengamuk.

Akhirnya si pari-pari tiba juga dan kelelahan. Jane sudah tiada lagi di katilnya seperti selalu. Adakah Jane marah? Si pari-pari menyelinap masuk dan kamar itu hanya diterangi kerlipan daripadanya sayapnya.

Si pari-pari terkesima apabila terpandang sekeping nota yang ditampal pada dinding bilik Jane.

‘Jangan datang lagi. Aku dah tak percayakan kau.’

Si pari-pari tertunduk. Nota pendek itu seperti satu bebanan di hatinya. Oh, begini rasanya pedih tersingkir. Si pari-pari tak mungkin dapat bertemu Jane lagi. Cuma dia masih berharap kemarahan Jane akan berlalu. Ketika itu, si pari-pari akan melihat Jane dari kejauhan.

#blogchallenge2020

Please follow and like us:

4 replies on “Si Pari-pari”

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *