Siapa waris Faraid untuk harta pusaka orang Islam?

“Mak Long, bila nak serah bahagian tanah untuk Abah?”

Hakim tidak sabar-sabar ingin tahu tentang pusaka Pak Long yang baru meninggal dunia sebulan lalu. Dia anak saudara Pak Long, anak kepada adik bongsu Pak Long.

Adakah Hakim layak menerima harta pusaka Pak Long?

Dalam sistem perwarisan Islam, waris berhak menerima pusaka dengan tiga sebab iaitu pertalian darah, perkahwinan dan persaudaraan sesama Islam.

Kebanyakan waris Faraid adalah disebabkan pertalian darah. Suami atau isteri mewarisi disebabkan perkahwinan. Hanya pasangan yang masih sah dalam perkahwinan semasa kematian layak mewarisi.

Manakala, Baitulmal (institusi yang menguruskan hal ehwal orang Islam) layak mewarisi jika si mati tidak mempunyai waris disebabkan pertalian darah atau perkahwinan. Sebagai contoh, mualaf (orang yang memeluk Islam). Atau si mati hanya meninggalkan isteri dan anak perempuan dan tiada lagi waris Faraid yang lain. Maka Baitulmal boleh mewarisi secara ‘asabah.

Senarai waris lelaki:

  1. Anak lelaki
  2. Cucu lelaki daripada anak lelaki
  3. Bapa
  4. Datuk sebelah bapa dan ke atas
  5. Saudara sekandung (seibu sebapa)
  6. Saudara sebapa
  7. Saudara seiibu
  8. Anak lelaki daripada saudara sekandung
  9. Anak lelaki daripada saudara seayah
  10. Bapa saudara (sebelah ayah) yang sekandung dengan ayah Si Mati
  11. Bapa saudara (sebelah ayah) yang sebapa dengan ayah Si Mati
  12. Anak lelaki daripada bapa saudara sekandung (sebelah ayah)
  13. Anak lelaki daripada bapa saudara sebapa (sebelah ayah)
  14. Suami

Senarai waris perempuan:

  1. Anak perempuan
  2. Cucu perempuan daripada anak lelaki dan terus ke bawah
  3. Ibu
  4. Nenek sebelah bapa dan ke atas
  5. Nenek sebelah ibu dan ke atas
  6. Saudara perempuan sekandung
  7. Saudara perempuan sebapa
  8. Saudara perempuan seibu
  9. Isteri

Daripada senarai di atas, lima waris utama dalam sistem Faraid ialah ibu, bapa, suami/isteri, anak lelaki dan anak perempuan. Anak lelaki dan bapa menjadi pendinding kepada waris yang lain.

Bapa dan anak lelaki adalah wali yang layak menggantikan si mati (lelaki) dan bertanggungjawab menjaga kebajikan waris perempuan yang lain.

Sistem Faraid memberi hak perwarisan kepada waris yang lebih hampir dengan si mati. Dalam institusi kekeluargaan, waris utama biasanya lebih rapat dengan si mati dalam pelbagai urusan kehidupan.

Isu harta pusaka

Harta pusaka menjadi rebutan apabila tidak memahami hak dan tanggungjawab dalam sistem perwarisan Islam. Pemilikan harta di zaman ini semakin kompleks dan dokumen yang sah di sisi undang-undang amat penting sebagai bukti pemilikan.

Masih wujud penyerahan harta yang dibuat secara verbal (cakap-cakap) dan dokumen rasmi tidak disediakan sehingga berlaku kematian pemberi harta. Hal ini menyukarkan proses pentadbiran harta pusaka apabila timbul konflik dalam kalangan waris.

Tips:

Jika anda ingin menyerahkan harta milik anda secara mutlak kepada mana-mana individu, pastikan dokumen seperti kontrak dan geran diuruskan mengikut keperluan undang-undang yang sah.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *