Blog

Surat Buat Sahabatku yang Menjadi Dhuyuf ar-Rahman

Kepada sahabatku yang menjadi tetamu Allah,

Aku ingin menyampaikan rasa gembira ini apabila aku menerima berita yang kau akan menunaikan ibadah Haji. Rukun Islam kelima yang menjadi matlamat setiap umat Islam yang beriman.

Aku kira perjalanan menuju ke Mekah menjadi ‘the ultimate journey‘ buat kita semua. Semestinya ia bukan suatu musafir yang biasa-biasa. Aku pasti dalam detik jiwamu telah meletakkan azam bagi menjalani ibadah ini dengan sempurna.

Beberapa bulan lalu aku berpeluang melawat ke Tanah Suci Mekah dan Madinah. Masih terpahat di ingatan dua kota yang dipenuhi umat Islam. Bagaimana pula keadaannya menjelang musim Haji? Sudah tentu padat dengan berjuta-juta manusia dari seluruh dunia.

Aku masih ingat ketika kami melakukan tawaf, aku melihat seorang lelaki yang menggunakan tangan untuk menolak papan tempat duduknya. Memang dia nampak kekurangan fizikal. Tapi di depan Tuhan, semua manusia sama. Aku juga masih ingat kepada seorang lelaki yang berpakaian agak lusuh tapi bersih. Mulutnya tidak henti berzikir sepanjang tawaf itu.

Bayangkan jemaah haji yang bakal berkumpul di Mekah nanti. Aku kira setiap masa perlu mengingatkan diri supaya berasa rendah hati dan menghormati insan lain. Aku kira cabaran hati adalah yang paling besar selain dugaan kesihatan dan kemampuan kewangan.

Pernah bekas majikanku menceritakan pengalamannya dengan isteri di sana. Sahabat kita juga berkongsi cabaran yang dilalui semasa menunaikan Haji bersama ibu dan abangnya. Setiap manusia mempunyai bahagian masing-masing dalam mencapai kesempurnaan menunaikan ibadah ini.

Aku juga menyimpan impian besar ini. Suatu hari nanti supaya Allah menjemputku menjadi tetamu di rumahnya. Aku memohon supaya Allah yang Maha Pemurah (ar-Rahman) dan Maha Penyayang (ar-Rahim) memberi kemudahan urusan semasa hayatku ini.

Sahabatku,

Ada antara kamu sudah menjadi sahabatku sejak kita belajar. Ada antara kamu yang aku kenali kerana kita sama-sama musafir ke negara-negara asing. Ada antara kamu yang bakal ke Kota Mekah bersama suami atau isteri. Ada antara kamu yang bakal ke Kota Mekah menjalankan tugas. Dan mungkin ada antara kamu yang menerima jemputan Allah tanpa disangka-sangka.

Aku mendoakan supaya segala urusanmu menjadi mudah dan lancar. Bagi seorang musafir, apatah lagi musafir ke tanah haram, aku mendoakan perjalananmu pergi dan kembali dengan selamat. Semoga waris dan harta yang kau tinggalkan buat sementara mendapat perlindungan sebaiknya oleh Yang Maha Melindungi.

Moga sampai masanya nanti aku pula mendapat giliran menyempurnakan this ultimate journey of my life. Moga Allah memberi rezeki, kesihatan dan kesempatan yang berharga.

Akhir sekali, moga Allah kurniakan kesabaran, kesihatan, ketenangan, kesempatan dan keberkatan serta rahmat-Nya yang maha Luas kepadamu sahabatku dan kepada semua umat Islam yang bakal menunaikan Haji.

Salam sayang,
Norsa’adah

Entri ini didedikasikan khas untuk sahabat Fatinah Tajul Ariffin, Afrohah Abd Hamid, Mohd Nasir Che Embee, Dr Wawa Is dan Dr Oshin. Selamat menunaikan Haji.

#julyblogpostchallenge #31julyblogpost

Ikuti 31 pencetus idea . Lihat di sebelah kanan blog untuk membaca blog rakan-rakan yang menyertai cabaran menulis 31 hari.

Baca entri sebelum ini
Doa, Nama

Please follow and like us:

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Social media & sharing icons powered by UltimatelySocial