Categories
Jimat masa Jimat wang

Bagaimana berjimat di bulan Ramadhan

Ramadhan masuk hari ke-4. Bulan yang mulia ini menjanjikan pelbagai ganjaran kepada mereka yang berusaha meraih pahala dengan beribadat disamping menjalani kehidupan harian. Salah satu amalan yang digalakkan Islam ialah mengelakkan pembaziran. Keadaan ekonomi dan situasi semasa mempengaruhi kos sara hidup dan harga barang keperluan di pasaran.

Bagaimana untuk kita berjimat di bulan Ramadhan? Beberapa idea berikut boleh anda aplikasikan dalam mengawal perbelanjaan dan sedikit sebanyak berjimat daripada segi kewangan.

1. Meletakkan bajet apabila ingin membeli juadah di bazar Ramadhan. Tidak dinafikan, rambang mata apabila melihat pelbagai pilihan juadah untuk berbuka puasa. Makanan berat sehinggalah kuih-muih yang menambat selera. Namun begitu, hadkan perbelanjaan anda untuk satu hari. Cara ini  mengelakkan anda berbelanja berlebihan dan pembaziran apabila juadah itu tidak habis dimakan.

2. Berbuka puasa dan bersahur di rumah. Ini tentu lebih menjimatkan kerana tidak perlu berbelanja lebih berbanding berbuka puasa di hotel atau restoran mewah. Secara purata kos bufet Ramadhan 2014 di hotel adalah diantara RM70 – RM100 seorang dan ke atas. Sedangkan kos berbuka di rumah adalah lebih rendah.

3. Memasak sendiri juadah berbuka. Idea ini memerlukan sedikit kemahiran, namun ia tidaklah  sukar. Pilih menu yang mudah dan ringkas. Jika boleh, sediakan jadual menu berbuka agar lebih mudah untuk anda merancang pembelian bahan-bahan mentah.

4. Menggunakan bahan-bahan siap dimasak seperti rempah segera dan kuih-muih sejuk beku. Produk seperti ini menjimatkan masa dan tenaga semasa penyediaan. Lagi-lagi di bulan puasa ini, lebih ringkas, lebih mudah dan lebih jimat menjadi pilihan ibu-ibu yang bekerja dan suri rumah sepenuh masa.

Ok, sampai jumpa lagi dalam entri akan datang.

Please follow and like us:
Categories
Jimat wang

Idea jimat tenaga dari TNB

Baru-baru ini saya membayar bil elektrik di Cawangan TNB Johor Bahru. Beberapa bunting yang dipamerkan menarik perhatian saya. Idea bernas untuk penjimatan tenaga yang mudah dan praktikal:

1. Cabutkan plag peralatan elektrik untuk menjimatkan tenaga dan wang anda. Selain menutup suis, cabutkan plag peralatan sekaligus. Kaedah ini dapat mengurangkan bil elektrik anda.

2. Ini idea yang sesuai untuk mereka yang mengurus rumahtangga atau menggunakan mesin basuh elektrik. Membasuh dengan muatan penuh dapat menjimatkan tenaga dan masa. Mesin basuh menggunakan tenaga yang banyak. Muatan penuh boleh menjimatkan tenaga kerana ia mengurangkan jumlah basuhan.

3. Penggunaan mentol dan lampu juga boleh menentukan jumlah tenaga yang digunakan. Kini, terdapat pelbagai pilihan mentol jimat tenaga di pasaran. Mentol jenis ini tahan lebih lama dan menjimatkan penggunaan elektrik.

4. Cuaca panas dan suhu tinggi di kawasan Khatulistiwa seperti Malaysia agak menduga kita. Bagi anda yang memasang penyaman udara di rumah, pastikan penapis penyaman udara dibersihkan selalu agar peredaran udara lebih lancar dan efisien.

5. Lagi satu idea penjimatan elektrik apabila anda menggunakan penyaman udara ialah memastikan tingkap dan pintu ditutup. Menutup tingkap dan pintu ketika penyaman udara berfungsi membantu penyejukan bilik dengan lebih cepat.

Amalkan idea mudah dan praktikal ini untuk menjimatkan penggunaan elektrik, sekaligus menjimatkan wang anda.

Please follow and like us: