Categories
Gaya Hidup Umum

Strive to survive

Tahun 2020 akan berlalu pergi kurang 40 hari dari sekarang. Begitu pantas masa berlalu. Pelbagai cabaran dan kegetiran yang dihadapi dalam situasi pandemik yang sememangnya tidak dijangka.

Hari-hari yang dilalui tidak berlaku seperti yang dirancangkan. Perniagaan tidak berjalan dengan baik dan laba yang diharapkan tidak diperolehi. Hubungan mesra berubah menjadi hambar atau putus sama sekali. Fikiran bercelaru dan sekaligus tubuh tidak berfungsi sepertinya selalu.

Kekecewaan demi kekecewaan seolah menekan diri ke bawah dan ke bawah sehingga terjelepuk dan terasa sukar untuk bangkit. Adakah tahun 2020 akan berakhir sebegini?

Tapi bukan semua cerita kecewa yang kita dengari. Masih ada kisah bahagia atau kisah mereka menemukan cinta. Malahan ada juga mengakui perhubungan sesama semakin erat sama ada sebagai teman, sahabat atau pasangan.

Sama ada kisah suka atau duka, setiap kita berusaha untuk strive to survive. Tiada kereta terbang di tahun 2020. Tapi virus yang bertebaran tanpa kita dapat melihatnya dengan mata kasar. Masing-masing menggunakan sumber yang ada untuk meneruskan hidup. Memaksa diri mempelajari kemahiran baharu. Mencuba sesuatu yang baharu. Melakukan rutin yang baharu dalam menjalani hidup seharian.

Tiada kereta terbang di tahun 2020. Tapi virus pula yang bertebaran.

Angan-angan untuk mengembara ke seluruh dunia dengan bebas tidak tercapai. Bukan untuk tahun ini. Namun, apabila keadaan membaik ia boleh dilunaskan.

Apakah yang kita pelajari hari ini?

1. Dunia bergerak terlalu pantas sehingga 2019. Datang virus yang tak kelihatan dek pandangan mata, seolah-olah butang pause tertekan.

2. Manusia yang sebelum ini berkejar atau mengejar masa, terpaksa pause. Hendak tak hendak, kena menerima keadaan atau norma baharu yang menghadkan pergerakan kita.

3. Sebelum ini kita terlalu sibuk dengan rutin, kerja dan kerjaya, bisnes dan pelbagai lagi tuntutan hidup, sekarang kita perlu mengubah cara hidup.

4. Mungkin ramai merasakan tekanan atau berdepan isu kesihatan mental, tak dapat dinafikan. Tapi, dari satu sudut lain apabila kita terpaksa pause, kita mula dapat melihat apa yang penting atau apa yang lebih penting dalam hidup kita.

5. Ibu bapa yang dulu sibuk keluar pagi, pulang petang, semasa PKP misalnya dapat melihat dengan lebih dekat bagaimana anak-anak mereka belajar. Nakalkah? Bijakkah? Boleh membacakah? Boleh melukis?

6. Kita mula sedar yang kita tak perlu belanjakan wang yang banyak untuk hidup atau hidup sederhana.

7. Namun begitu, kegiatan ekonomi mesti diteruskan. Jadi, golongan yang pendapatannya tidak terjejas masih boleh membantu kitaran ekonomi kekal sihat dengan berbelanja. Bantu sektor atau industri untuk survive.

8. Mulakan rutin yang baharu untuk beradaptasi dengan perubahan.

9. Berkomunikasi dengan orang yang penting dalam hidup kita seperti yang dikongsikan sahabat saya.

Dalam keadaan tersepit, kita sebenarnya masih mempunyai pilihan. Pilihan untuk bangkit dan melakukan apa yang penting untuk diri kita. Carilah kebahagiaan dan kegembiraan di samping orang yang penting di sekeliling kita.

Ikuti perbincangan saya bersama Rohaniah Noor dan Yan Yahaya tentang cabaran COVID-19 di Facebook dengan klik sini.

Please follow and like us:
Categories
Umum

COVID-19: Pandemik yang Memberi Kesedaran dalam Menghadapi Cabaran Budaya Norma Baharu

Setiap hari laporan COVID-19 menunjukkan penurunan kes positif kepada jumlah kurang daripada 150 kes sejak hampir seminggu lalu. Lebih 40 hari dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan, adakah kita sudah bersedia untuk fasa seterusnya?

Orang dah mula keluar. Ramai yang menantikan kelonggaran diberi. Namun, ramai juga yang tidak setuju dengan PKPB. Apa yang kita perlu buat? Tanyalah diri sendiri.

Apakah norma baharu?

Norma atau kebiasaan yang baharu menggantikan cara atau gaya hidup sebelum ini. Pandemik Covid-19 memaksa manusia mencari jalan untuk meneruskan hidup dengan cara berbeza.

1. Bekerja dari rumah
Bekerja dari rumah mula diterima sebagai salah satu pilihan untuk melaksanakan tugas. Sebelum pandemik ini berlaku, sudah ramai yang membuat kerja dari rumah sama ada secara freelance atau membuat bisnes dari rumah. Bagi golongan ini, situasi bekerja dari rumah bukan satu hal yang baharu. Namun, bagi sebahagian warga kerja sudah tentu mereka perlu menyesuaikan diri dengan tuntutan cara kerja yang baharu ini.

Apabila PKP dilaksanakan, majikan perlu mengubahsuai operasi dengan membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah. Atau sebenarnya bekerja di rumah.

2. Berbelanja pada waktu yang terhad
Operasi pusat membeli-belah, kedai makan dan kedai barang keperluan dihadkan. Kebanyakannya menamatkan operasi harian pada pukul 8 malam. Norma baharu ialah berbelanja pada waktu yang terhad. Ternyata ia boleh dilakukan. Kita boleh menyenaraikan barang yang diperlukan terlebih dahulu. Kita dapat menjimatkan masa yang diluangkan untuk membeli barang keperluan harian.

Kebanyakan pusat membeli-belah di Malaysia beroperasi 12 jam sehari sebelum pandemik Covid-19. Biasanya waktu tutup ialah jam 10 malam. Sebenarnya, di tempat lain seperti Australia dan New Zealand kebanyakan pusat beli-belah menutup premis mereka seawal 6 petang. Mungkin kita di Malaysia seharusnya meneruskan norma semasa pandemik ini. Tidak perlu ke pusat beli-belah sehingga malam.

3. Memasak sendiri makanan
Apabila banyak kedai makan tidak beroperasi seperti biasa, kita berusaha untuk memasak sendiri di rumah. Bekalan bahan mentah dan runcit masih boleh didapati dengan mudah. Pasar raya masih dibuka. Kedai runcit juga dibuka. Makanan yang ringkas dan memenuhi selera terbukti tidak sukar disediakan. Yang penting ahli keluarga dapat menikmati hidangan dan tidak kelaparan.

Malahan, kemahiran memasak boleh jadi hobi baharu yang menyenangkan. Jika sebelum ini tidak pernah menyediakan makanan sendiri, kini anda berpeluang mencuba pelbagai resepi mudah. Mungkin akan ada masakan yang tidak menjadi seperti yang dikongsi dalam kumpulan Masak Apa Tak Jadi Hari Ini.

Memasak sendiri juga boleh mengurangkan pembaziran kerana kita boleh anggarkan jumlah yang secukupnya untuk ahli keluarga kita. Dalam bulan Ramadan tahun ini, bazar Ramadan juga tidak dibenarkan. Masih boleh memesan untuk penghantaran makanan. Cuma haruslah berpada-pada dalam berbelanja.

4. Menjaga kebersihan diri
Sejak berlaku pandemik ini, peringatan untuk menjaga kebersihan diri sentiasa diulang-ulang. Ini disebabkan virus yang menyebabkan COVID-19 boleh merebak dengan sentuhan. Kita digalakkan membasuh tangan dengan air dan sabun, memakai topeng muka dan menjaga penjarakan sosial.

Isu kebersihan ini yang mungkin diambil ringan, mula memberi kesedaran kepada orang ramai. Sepatutnya tanpa wabak pun, kita perlu jaga kebersihan. Jelas sekarang, jika lalai menjaga kebersihan diri, kita akan terdedah kepada risiko jangkitan. Yang lebih teruk adalah kita pula yang menyebarkan jangkitan kepada orang lain.

5. Tidak bersalaman, duduk rapat dan berhimpun
Kita perlu berinteraksi dengan orang lain. Tapi selepas ini, apabila berjumpa kita tak akan bersalaman atau berpeluk. Tindakan ini berisiko memindahkan virus, apatah lagi jika seseorang individu itu tidak mempunyai simptom. Virus boleh menular kepada kelompok lain tanpa disedari.

Kita juga perlu elakkan daripada menghadiri perhimpunan atau perjumpaan yang melibatkan ramai orang. Buat masa ini dalam tempoh PKP sebarang perhimpunan seperti kenduri, solat berjemaah di masjid belum dibenarkan. Selepas PKP nanti, mungkin kelonggaran akan diberi. Namun, kita sendiri harus memikirkan risiko yang dihadapi jika mahu terlibat sama dalam aktiviti seperti ini.

6. Mematuhi peraturan yang ditetapkan kerajaan
Dalam menghadapi pandemik ini, kerajaan bertanggungjawab membuat keputusan yang sewajarnya untuk kepentingan rakyat. Sudah tentu sebarang keputusan ini tidak akan memuaskan hati semua pihak 100%. Bayangkan lebih 30 juta manusia di Malaysia ini yang mempunyai pelbagai kerenah dan keperluan yang berbeza-beza.

Sebagai ahli masyarakat, cuba patuhi peraturan yang ditetapkan. Jika tidak setuju dengan kelonggaran yang diberi, kita pilih duduk di rumah. Itu lebih baik daripada bertindak melanggar peraturan atau SOP yang dikeluarkan. Kita yang hidup pada zaman ini tidak pernah berdepan dengan pandemik yang memberi kesan secara global. Ini semua adalah baharu untuk kita.

Tapi kita boleh menjadi ahli masyarakat yang bertanggungjawab bagi mengurangkan risiko jangkitan dan meringankan beban petugas barisan hadapan seperti petugas kesihatan dan anggota keselamatan.

Apakah tindakan kita?

Perlukah keluar untuk membeli barang misalnya. Perlukah keluar untuk mencari rezeki misalnya. Setiap orang keperluannya berbeza bukan? Jika rasa lebih selamat duduk di rumah, baiklah duduk sahaja di rumah. Jika perlu keluar, pastikan jaga kebersihan, penjarakan sosial dan tidak berkumpul beramai-ramai.

Sebenarnya, kita boleh hidup ringkas tanpa hal-hal yang menyesakkan. Tak perlu lepak sehingga tengah malam mengeteh di kedai mamak. Tak perlu ke shopping mall sehingga 10 malam untuk window shopping. Tak perlu makan di restoran hipster dengan kerap. Tak perlu berpasang-pasang baju (yang berlebihan). Tak perlu bazar Ramadan yang kadang-kala kita membeli juadah sehingga membazir.

Keperluan kita berbeza. Cumanya, jika kita boleh jalani kehidupan dengan sederhana selama lebih 40 hari, kenapa berhenti dengan norma yang baharu itu?

Virus itu masih lagi ada di sekeliling kita. Tak nampak di mata. Tapi wujud.

Utamakan keselamatan diri. Kegiatan ekonomi perlu bermula. Cuma cara kita berinteraksi dan bersosial sudah berubah. Keluar atau duduk di rumah, jadilah ahli masyarakat yang bertanggungjawab.

PKPB (Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat)

PKPB bermula pada 4 Mei 2020 dengan kebanyakan sektor mula beroperasi mengikut SOP yang dibenarkan. Masih lagi diberi pilihan kepada majikan hendak buka premis atau tidak.

Walaupun kelonggaran diberi, kita mesti ingat virus itu masih wujud dalam komuniti kita. Semalam dalam sidang media KKM, diingatkan kemungkinan virus tidak akan hapus serta merta dan kemungkinan masih ada dalam tempoh setahun hingga dua tahun.

Jadi, PKP dah tamat pun kita mesti jalani hidup dengan norma baharu. Lebih 40 hari dalam PKP, belajarlah sesuatu dan jangan pentingkan diri sendiri.Keselamatan diri dan orang di sekeliling kita bergantung pada sikap kita.

Selepas ini kita harap dapat bangkit kembali dengan lebih baik lagi. Namun, mestilah dengan cara berfikir dan bertindak yang baharu juga. Kalau masih lagi dengan sikap yang sama, pengotor, membazir, berhimpun tak tentu pasal, melanggar peraturan sesuka hati, yang akan menanggung akibat bukan diri sendiri saja, orang sekeliling pun akan mendapat sama.

Please follow and like us:
Categories
Resepi

Kek Oren

Akibat terjumpa satu botol Orange Marmalade yang dibeli 2 tahun lepas, maka terhasillah Kek Oren ini. Saya menggunakan resepi asas kek butter dan olah sedikit untuk menambah perisa oren.

Sekejap sahaja membuatnya. Semua bahan dah ada, hanya perlukan kurang 30 minit untuk menyiapkan bancuhan kek. Kemudian bakar dalam 30-40 minit. Selamat mencuba.

Bahan:
200 gram butter unsalted
200 gram tepung
150 gram gula
50 gram / 2 sudu besar orange marmalade
4 biji telur
1/2 sudu teh garam
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh vanila
50 ml jus oren (saya guna 1/2 biji oren dan perah jusnya)

Cara:
1. Sapu sedikit butter pada loyang 8×8. Alas dengan baking paper.
2. Panaskan oven 170c.
3. Putar butter dan gula sehingga berkrim, warna pucat.
4. Masukkan telur satu per satu dan putar rata.
5. Masukkan vanila dan orange marmalade ke dalam bancuhan butter. Putar sikit bagi rata.
6. Tepung dan baking powder ayak sekali. Tambah garam dan kacau rata.
7. Guna spatula, masukkan tepung sedikit. Selang seli dengan jus oren.
8. Kacau rata. Tuang ke dalam loyang.
9. Bakar dalam 40 minit bergantung pada oven.
10. Cucuk guna penyucuk kek atau lidi. Jika tak lekat, boleh keluarkan dan hidangkan.

Resepi ini saya ubah sikit dari asas kek butter yang gunakan 200g tepung, 200g gula, 200g butter dan 4 biji telur. Saya adjust jumlah gula untuk tambah orange marmalade. 50ml susu saya gantikan dengan jus oren.

Jadi, bolehlah guna resepi ini untuk buat kek perisa lain seperti kek pandan butter dan sebagainya.

Selamat mencuba.

#menupkp #menumco #stayathome
#orangebuttercake

Please follow and like us:
Categories
Umum

Kebiasaan Baharu – Semua Orang Boleh Lakukannya

Peluang untuk COVID-19 merebak akan meningkat sekiranya seorang individu terlibat dalam empat faktor (dikenali sebagai 4C):

  • Confined space (Ruang sempit) seperti pejabat, pasar raya tanpa aliran udara dan sistem pengudaraan yang baik.
  • Congested area (Kawasan sesak) seperti stesen bas, pasar basah yang tidak terkawal, seminar/persidangan, perhimpunan keagamaan dll.
  • Close contact (Kontak rapat) seperti sentuhan tubuh contohnya bersalaman, berpelukan, duduk rapat di tempat umum.
  • Contact time (Masa kontak) apabila tempoh masa yang diluangkan bersama orang lain menyebabkan kemungkinan pemindahan wabak COVID-19 sama ada melalui orang yang mempunyai simptom atau tidak mempunya simptom (asimptomatik).

Setakat ini lima strategi kerajaan telah berjaya menstabilkan situasi pandemik COVID-19 di Malaysia. Strategi itu ialah:

  1. Kawalan sempadan dengan menyekat kemasukan warga asing dan mengkuarantin warganegara Malaysia yang pulang untuk mengelakkan kes import.
  2. Kawalan pergerakan dengan PKP/MCO yang dilanjutkan tempoh hingga fasa 3 untuk mengelakkan perebakan kes tempatan.
  3. Meningkatkan kemampuan ujian makmal untuk kumpulan yang dikenal pasti atau berisiko tinggi. Buat masa ini Kadar Positif ujian COVID-19 di Malaysia ialah 5.88% dan kadar ini diterima dan memenuhi penanda aras WHO, iaitu tidak melebihi 10%.
  4. Mempertingkatkan pengesanan kes aktif dengan menggunakan AI, BDA untuk aktiviti pengesanan kontak dengan kerjasama agensi PDRM, MCMC dll.
  5. Mempertingkatkan rawatan dan kemudahan hospital termasuk menambah tempat, peralatan dan petugas yang diperlukan (CFR kira-kira 1.6%).

Kita mengambil kira pihak kerajaan tidak boleh melanjutkan MCO untuk tempoh yang lama kerana impak ekonomi yang teruk ke atas Malaysia. Tidak dapat tidak PKP/MCO akan ditamatkan sama ada secara keseluruhan, berperingkat atau diubahsuai peraturannya. Kita semua tahu yang perjuangan melawan COVID-19 belum berakhir. Oleh itu, kita mesti bersedia untuk menyesuaikan diri dengan tabiat dan kebiasaan baharu seperti:

1. Penjarakan sosial
Kajian menunjukkan penjarakan sosial berkesan dalam mengurangkan bilangan kes COVID-19. Contohnya seperti dalam gambar rajah ini. Oleh itu, kita mesti mengelakkan sentuhan seperti bersalaman, mengekalkan jarak 1m, interaksi yang singkat dan mengelakkan kawasan sesak dan perkumpulan.

2. Perlindungan diri
Keperluan memakai topeng muka untuk mengelakkan perpindahan virus melalui titisan air (orang bersimptom) dan titisan air mikro (dalam kes bersimptom atau tidak bersimptom) ketika berinteraksi dengan orang lain.

3. Membasuh tangan
Membasuh tangan dengan kerap untuk mengelakkan perpindahan virus daripada kontak dengan fomit atau permukaan yang mungkin dihinggapi virus seperti pakaian, alatan dan lain-lain, kemudian menyentuh mata, hidung dengan tangan yang tercemar.

Entri asal dalam Bahasa Inggeris diambil daripada posting Dr Khebir di Facebook.

#stayathome #fightcovid19 #dontbecovidiot

Please follow and like us:
Categories
Umum

Cerita Tentang Membeli-belah Semasa PKP/MCO

1.
Saya tengok rakan-rakan di Lembah Klang perlu beratus panjang untuk beli barang keperluan. Berbanding saya di sini. Hal ini logik juga kerana kepadatan penduduk di sana. Mereka keluar awal supaya dapat selesaikan cepat pembelian barang.

Saya? Tiga kali keluar, saya sampai di AEON lebih kurang pukul 12 tengah hari. Selesai dalam sejam juga. Kami perlu beratur. Ada disediakan kerusi dijarakkan dalam 1 meter. Tidak perlu berdiri lama.

2.
Berhampiran kawasan rumah saya, ada juga kedai runcit dan mini market. Tapi saya pilih ke AEON. Kebanyakan barang yang saya cari ada di satu tempat dan ruang juga luas. Ini pilihan masing-masing. Bagi mereka yang memang keluar bekerja setiap hari, mungkin lebih mudah untuk ke kedai runcit. Beli barang yang sedikit.Tujuan saya ke AEON, saya nak kurangkan kekerapan keluar. Saya senaraikan barang nak beli dan beli sekaligus.

3.
Salah satu kelebihan membeli barang di pusat beli belah kerana mereka sediakan kemudahan bayaran dengan kad. Tidak perlu guna tunai. Jadi, saya masukkan kad kredit/debit dan kad keahlian dalam plastik ziplok. Dengan cara ini saya tak perlu keluarkan dompet dan gunakan duit tunai. Cuma pastikan ada duit dalam kad debit tu la ya.

4.
Selain bawa kad dalam plastik ziplok, saya akan bawa tisu untuk lap tangan. Saya bawa hand sanitizer dalam beg tote. Cuma, saya lebih suka basuh tangan sebelum masuk ke pasar raya. Saya ambil troli dan pergi ke sinki berhampiran. Basuh tangan dahulu dan kemudian baru masuk mencari barang-barang.

Pernah saya gunakan sarung tangan plastik. Tapi saya rasa tak selesa. Jadi lebih baik saya bawa tisu. Lepas ambil ayam/ikan dan barang-barang basah, saya basuh tangan lagi sebelum ambil barang-barang lain.

5.
Sehari sebelum PKP.

Barang yang laku keras ialah tisu dan tisu tandas.
Kali pertama berbelanja semasa PKP – sardin dan tuna hampir sold out.
Kali kedua semasa PKP – roti putih/wholemeal satu bungkus sahaja setiap pelanggan.
Kali ketiga semasa PKP – rak tepung dan bahan bakeri pula yang hampir kosong.

Nampaknya, ramai orang mula membuat roti atau kuih sendiri. Barangkali tidak mahu lagi berebut roti Gardenia.Saya dapat beli sebungkus tepung pulut dan tepung beras. Tepung gandum masih ada lagi beberapa bungkus. Selain itu, saya dapat juga beli tepung jagung dan tepung kastad. Tepung roti memang sudah habis, tak dapat saya beli.

Ah… sudah. Sekarang saya fikir, bolehkah saya habiskan semua jenis tepung ini? Agak bercita-cita tinggi juga.

6.
Masa lalu di rak tepung dan bahagian bakeri, nampak seorang lelaki sedang hubungi isterinya barangkali. Saya jeling trolinya. Banyak juga bahan yang dia beli.

Kalau ikutkan rak bahan bakeri ini agak ‘sendu’ sebelum PKP. Yelah, ada kedai bakeri yang lagi lengkap bahan dan banyak pilihan. Kedai bakeri tidak dibuka semasa PKP. Maka, tiada pilihan lain.

Namun, bahan-bahan ini banyak dah sold out di pasar raya. Satu hal yang agak tricky ialah jenama bahan. Saya nak beli Bird’s custard powder pun dah habis. Biasanya jenama tertentu ini ada kelebihan dia walaupun mahal sikit. Macam Bird’s custard powder, kalau buat puding warna dia kuning menyerlah.

Jika minggu pertama, agak keliru nak beli bahan basah. Cabaran minggu ketiga naik satu level lagi. Keliru nak beli bahan bakeri. Saya agak sajalah.

Tak kisahlah lelaki ke perempuan. Jika kita tak biasa mencari bahan tertentu, pastilah rasa leceh. Saya nak beli bateri sahaja pun, staf AEON terpaksa bawa tiga jenis bateri. Baharulah saya boleh lihat mana satu yang saya nak.

7.
Kebanyakan pasar raya dah buat drive-thru option. Saya tak pernah cuba lagi. Belum ada keperluan. Masih sempat beratur dan ambil sendiri barang. Lagipun, tiada hal urgent perlu diselesaikan. Saya rancang masa untuk ke pasar raya.

Ada juga barang yang adik saya beli di Shopee. Beli barang Nestle seperti Milo, susu kotak dan Maggi. Harga pun lebih murah. Cuma kena menunggu la 2-3 hari. Berbaloi juga tu.Tadi saya tengok tepung roti di Shopee. Ada seller jual harga tak sampai RM5 sekilo. Nantilah. Kalau perlu baru beli. Tak perlu, kita guna saja tepung gandum. Jadi juga roti.

8.
Apabila stok bahan di rumah semakin bertambah, saya perlu merancang penggunaan bahan dengan baik. Supaya tiada pembaziran. Malahan, ada juga bahan makanan yang saya jumpa. Ini maksudnya saya hampir terlupa wujudnya barang itu. Misalnya, satu botol Orange Marmalade yang dibeli di Melbourne. Tarikh luputnya bulan Mei.

Timbul idea membakar kek oren dengan menggunakan marmalade ini. Semoga saya berjaya. Saya rasa ramai suri rumah dan rakan yang menghadapi isu serupa. Terjumpa ‘harta karun’ yang boleh dimanfaatkan.

Jom berkreatif.

9.
Tak sangka kita akan melalui zaman ini. Zaman wabak pandemik. Yang memerlukan kita berhenti sejenak. Berhenti dengan kebiasaan biasa. Menukar tabiat dengan kebiasaan baharu. Seperti berbelanja dan memasak sendiri di rumah. Ini akan menjadi kebiasaan baharu.

10.
Teruskan kebiasaan mengekalkan jarak sosial yang selamat, menjaga kebersihan tangan dan buat sementara waktu sentiasa gunakan topeng muka apabila keluar rumah.

#stayathome #fightcovid19 #dontbecovidiot

Please follow and like us: