Categories
Nota Khutbah

Talhah Bin Ubaidillah, sahabat Nabi yang berharta dan bertaqwa

“Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagian hari Akhirat dan janganlah engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatnya yang melimpah-limpah) dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan.” (Al-Qasas: 77)

Ujian harta dan kesenangan banyak membuat manusia lupa kepada Allah, melainkan orang yang bertakwa. Salah seorang sahabat Nabi yang bernama Talhah Bin Ubaidullah terkenal sebagai orang yang berharta namun tinggi tingkat takwanya.

Beliau adalah salah seorang daripada sepuluh sahabat Nabi yang dijanjikan syurga. Pengorbanannya dalam agama mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah.

Talhah lahir dalam keluarga yang kaya-raya. Beliau tidak menggunakan kekayaan keluarga untuk bersenang lenang. Beliau mengusahakan perniagaan sendiri dan amat terkenal di Pasar Kota Basrah. Beliau seorang peniaga yang amanah dan sentiasa berlapang dada. Keuntungan berlipat ganda.

Beliau diriwayatkan meraih keuntungan sehingga 1,000 dinar sehari semasa berniaga di Iraq. Beliau juga memiliki banyak tanah dan ladang.

Talhah tidak lalai dengan kekayaan yang dimiliki dan sentiasa bersyukur kepada Allah. Inilah ciri orang yang bertakwa. Harta di tangannya, bukan beraja di hatinya. Rasulullah menggelarkan beliau Talhah Al-Judd yang beerti Talhah yang Dermawan dan Talhah Al-Khair yang beerti Talhah yang baik.

Pada suatu hari, Talhah termenung kesedihan. Isterinya bertanya, “Mengapa kamu bersedih?”

“Wang yang ada di tanganku sekarang ini begitu banyak sehingga membingungkan daku. Apa yang harus kulakukan?”

Isterinya menjawab, “Wang yang ada di tanganmu itu bahagikanlah ia kepada fakir miskin.”

Maka Talhah mengikut saranan isterinya dan membahagi-bahagikan semua wangnya tanpa meninggalkan sedikit pun. Hal ini disaksikan oleh salah seorang sahabat yang bernama Jabir bin Abdullah r.a.

Jabir berkata, “Aku tidak pernah melihat orang yang lebih dermawan dari Talhah walaupun tanpa diminta. Oleh kerana itu patutlah dia digelarkan Talhah, si dermawan, Talhah si pengalir harta, Talhah kebaikan dan kebajikan.”

Daripada kisah ini, kita dapat mengambil iktibar bahawa harta dan kekayaan tidak sepatutnya melalaikan orang mukmin. Islam tidak melarang kita mengumpulkan harta. Ramai sahabat Nabi juga adalah orang yang kaya seperti Abdul Rahman b Auf, Osman bin Affan daan Zubair Bin Al-Awwam.

Harta yang dikumpulkan seharusnya dapat dikongsi dengan golongan lain yang kurang berkemampuan. Dan usah leka dengan harta kerana ia bersifat sementara.

Berilah bantuan kepada yang memerlukan sepertimana yang dilakukan oleh Talhah. Sifat dermawan mampu memberi ketenangan jiwa.

Berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan di dunia tanpa melupakan tanggungjawab kepada agama. Kisah Talhah ini menjadi pendorong kepada kita untuk melakukan yang terbaik dalam hidup.

Di samping itu meningkatkan ketakwaan dan iman kepada Allah. Allah mengingatkan dalam Surah Al-Munafiqun ayat 9:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta dan anak-anak kamu melalaikan kamu daripada mengingati Allah dan sesiapa yang berbuat begitu, maka itulah mereka yang menderita kerugian.”

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Jun 2015 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:
Categories
Nota Khutbah

Kelebihan Muslim yang bersaudara dan memberi manfaat

“Dan orang-orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang-orang Muhajirin) mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendak kepada yang yang telah diberikan kepada orang-orang yang berhikrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat, dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil, maka merekalah orang-orang yang berjaya.” (Surah Al-Hasr: 9)

Hijrah Nabi Muhammad dan para sahabat ke Madinah adalah detik penting dalam sejarah umat Islam. Ini adalah peristiwa yang menunjukkan bukti bahawa perpindahan dari satu tempat ke tempat yang lain akan membawa manfaat. Dengan syarat niat hijrah untuk kebaikan dan kerana Allah SWT. Rombongan Nabi dan para sahabat diterima baik oleh penduduk Madinah. Golongan yang berhijrah ini digelar kaum Muhajirin. Manakala penduduk Madinah digelar kaum Ansar.

Perkara pertama yang dilakukan Nabi apabila tiba di Madinah ialah mempersaudarakan kaum Muhajirin dan Ansar. Kaum Ansar menerima baik kehadiran kaum Muhajirin. Mereka faham benar tentang tuntutan agama dan iman yang mendalam kepada Allah dan Rasulullah. Kedua-dua kaum ini hidup dengan harmoni. Kaum Ansar malahan melebihkan kaum Muharijin yang datang berhijrah ke Madinah.

Abdul Rahman b Auf yang disaudarakan dengan Sa’ad Bin Rabi’ telah ditawarkan tempat tinggal, harta dan salah seorang isterinya. Ini adalah bukti kasih sayang dalam persaudaraan. Namun, Abdul Rahman b Auf menolaknya dengan baik dan meminta ditunjukkan pasar untuk berniaga.

Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita tentang kepentingan menjaga persaudaraan dan menjadi seorang Muslim yang bermanfaat. Hadis dari Abu Hurairah r.a yang bermaksud:

“Janganlah kamu berhasad dengki dan jangan kamu tipu-menipu dan jangan kami benci-membenci dan jangan musuh-memusuhi dan jangan kamu memotong jalan saudaramu di dalam jual beli dan jadilah kamu sekalian sebagai hamba-hamba Allah yang bersaudara.” (Riwayat Muslim)

Persaudaraan dan ikatan ukhuwah menjadi sumber kekuatan umat Islam. Sifat kasih sayang, percaya mempercayai dan hubungan yang baik adalah asas iman dan takwa. Inilah saranan agama agar mendapat redha Ilahi.

Apakah kelebihan orang yang menjaga persaudaraan?

1. Pada hari kiamat, mereka akan berada di bawah naungan Arasy Allah. Dalam sabda Nabi, Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah SWT pada hari kiamat berfirman: Di manakan orang yang kasih mengasihi kerana keagunganku? Pada hari ini aku akan menaungi mereka di dalam naunganku, pada hari yang tiada naungan melainkan naunganku.” (Riwayat Muslim)

2. Mereka akan merasakan kemanisan iman.
Sabda Rasulullah bermaksud:

“Sesiapa yang memiliki tiga perkara niscaya ia akan dapat merasakan kemanisan iman, iaitu bahawa ia mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada yang lain dan ia mengasihi seseorang hanya semata-mata kerana Allah serta ia benci untuk kembali kepada kekufuran selepas ia diselamatkan oleh Allah daripada-Nya, sebagaimana ia benci dicampakkan ke dalam api neraka.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

3. Dosa-dosa mereka diampunkan Allah.
Sabda Rasulullah bermaksud:

“Tiada di antara dua orang Islam yang bertemu lalu berjabat tangan kedua-duanya melainkan diampunkan bagi kedua-duanya sebelum mereka berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

Bagaimana menguatkan hubungan persaudaraan?

Rasulullah mengajar kita perkara berikut:

1. Memberi salam apabila bertemu.
2. Ziarah menziarahi dan sentiasa berhubung untuk bertanya khabar.
3. Memberi senyuman ketika bertemu dan mengucapkan kata-kata yang baik.

Allah SWT menyebut sekali lagi bahawa orang yang beriman itu adalah bersaudara:

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah diantara dua saudara kamu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al-Hujurat: 10)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Jun 2015 MAIJ)

Nota penulis:

Saya tertarik dengan pesanan Nabi khususnya dalam hadis di atas yang menyebut tentang adab berniaga. Lebih 1400 tahun dahulu, baginda telah mengingatkan agar golongan peniaga tidak mengkhianati peniaga yang lain. Kita sedar bahawa ramai peniaga yang menghadapi isu seperti ini. Rakan kongsi yang tidak jujur dan ingin mengaut keuntungan peribadi. Tidak menepati janji dan membuat perjanjian yang merugikan pihak yang lain.

Seorang peniaga Muslim dan orang yang beriman akan mengikut pesanan Nabi dalam menguruskan perniagaan mereka. Ini adalah tanda keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya.

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:
Categories
Nota Khutbah

Larangan mengemis

“Kamu sekali-kali tidak sampai kepada kebajikan (yang sempurna), sebelum kamu menafkahkan sebahagian harta yang kamu cintai dan apa sahaja yang kamu nafkahkan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.” (Ali-Imran: 92)

Sikap suka meminta-minta dan mengemis antara sifat yang dicela dalam Islam. Rasulullah SAW menegaskan dalam satu Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Bin Umar r.a:

“Terus-menerus seseorang itu suka meminta-minta kepada orang lain hingga pada hari kiamat dia datang dalam keadaan wajahnya tidak ada sepotong daging pun.” (Riwayat Bukhari)

Nyata di sini, Islam melarang umatnya mengemis kerana ia menunjukkan sifat malas. Tidak kurang juga yang menipu tentang keadaan diri semata-mata ingin meraih kasihan daripada orang ramai. Rasulullah SAW mengingatkan sekali lagi dalam hadisnya:

“Barangsiapa meminta-minta kepada manusia harta mereka untuk memperbanyak hartanya, maka sesungguhnya dia hanyalah sedang meminta bara api, maka hendaknya dia mempersedikit atau memperbanyak.” (Riwayat Muslim)

Walau bagaimanapun, terdapat keadaan di mana seseorang dibenarkan untuk memohon bantuan:

1. Ketika seseorang menanggung beban diyat (denda) atau melunaskan hutang.

2. Ketika seseorang ditimpa musibah sehingga habis hartanya, dibolehkan meminta sehingga dia mendapat sandaran hidup.

3. Ketika seseorang ditimpa kefakiran yang sangat sehingga disaksikan 3 orang yang berakal cerdas, maka dibenarkan meminta sampai ia mampu meneruskan hidup.

“… dan bertolong-tolonglah kamu didalam melakukan kebaikan dan ketakwaan dan jangan kamu bertolong-tolongan di dalam perkara yang berdosa dan permusuhan, bertakwalah kepada Allah sesungguhnya seksa Allah amat pedih untuk ditanggung.” (Al-Maidah: 2)

Nota penulis:

Bagi mereka yang berkemampuan digalakkan untuk bersedekah kepada saluran yang betul. Kita mengetahui wujudnya sindiket yang menggunakan wanita dan kanak-kanak untuk mengemis. Tentulah kita kasihan. Beri mereka makanan itu lebih baik agar mereka tidak kelaparan.

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Oktober 2014 MAIJ)

 “Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:
Categories
Nota Khutbah

Sederhana dalam keperluan hidup

“Dan juga mereka apabila membelanjakan hartanya, tiada melampaui batas dan tiada pula bakhil kedekut dan sebaliknya perbelanjaan mereka adalah betul sederhana diantara kedua-duanya (boros dan bakhil) itu.” (Al-Furqan: 67)

Empat peringkat keperluan bagi manusia seperti yang ditetapkan Islam adalah keperluan yang mendesak, keperluan yang dihajati, keperluan yang lebih baik dan keperluan yang lebih lengkap.

Allah mengurniakan nikmat yang luas kepada manusia dalam pelbagai bentuk seperti hidup aman, sihat tubuh badan, bahagia dengan keluarga dan orang tersayang, umur yang panjang dan kekayaan harta benda.

Kadang kala kesenangan adalah ujian daripada Allah. Oleh sebab itu, kita diingatkan agar sentiasa bersyukur. Mengurus perbelanjaan dengan baik adalah tanda kita mensyukuri nikmatnya dan menggunakan amanah yang diberikan sebaik-baiknya.

Jika kita tidak berhikmah dalam berbelanja, mungkin sahaja kita akan meninggalkan generasi yang fakir dan meminta-minta. Bukan itu sahaja, mereka akan terjebak dengan hutang dan akhirnya generasi akan datang menjadi semakin gawat dan tidak dapat berkembang secara ekonomi. Ia juga boleh menyebabkan masalah sosial.

Islam tidak menghalang untuk kita berbelanja, tetapi hendaklah berbelanja dengan bijak dan usah membazir.

“Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.” (Al-Isra’: 17)

Jadikan kehidupan Rasulullah SAW yang sederhana sebagai teladan. Sabda baginda:

“Dari Abdullah katanya Rasulullah SAW tidur diatas tikar dan bangun selepas itu dalam keadaan badannya berbekas, maka kami katakan kepadanya: Ya Rasulullah, sekiranya kami bawakan kepada kamu hamparan yang lembut, Rasulullah menjawab: Apakah kedudukan aku dan dunia ini, tidakkah aku di dunia ini melainkan seumpama pengembara yan berteduh di bawah pokok kemudian berlaku meninggalkannya.” (Riwayat Tirmidzi)

Sebagai umat Islam banyakkan bersyukur dan bersederhana dalam perbelanjaan agar apa yang kita lakukan ini semata-mata untuk mencari keredhaan Allah dan meningkatkan takwa kepada-Nya.

Allah berfirman:

“Tidakkah kamu memperhatikan bahawa Allah telah memudahkan untuk kegunaan kamu apa yang di langit dan yang ada di bumi, dan telah melimpahkan kepada kamu nikmatnya yang zahir dan batin? Dalam pada itu, ada diantara manusia orang yang membantah mengenai (sifat-sifat) Allah tanpa ilmu atau petunjuk dan tidak berdasarkan kita Allah yang menerangi kebenaran.” (Lukman: 20)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Oktober 2014 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us:
Categories
Nota Khutbah

Hari Mahsyar

“Apabila matahari dilingkari cahayanya (dan hilang lenyap), apabila bintang-bintang gugur berselerak dan apabila gunung-ganang diterbangkan ke angkasa (setelah dihancurkan menjadi debu).” (Surat At-Takwir: 1-3)

Kejadian di padang mahsyar atau hari akhirat antara perkara ghaib yang di luar imaginasi manusia. Namun Allah telah memberikan gambaran tentang dahsyatnya hari tersebut. Semua manusia sama ada yang masih hidup pada masa itu atau yang telah meninggal dunia tidak akan terlepas daripada hari kebangkitan.

Antaranya ialah:
1. Seorang kelihatan terpinga-pinga dan kebingunan.
2. Kelihatan seperti orang mabuk.
3. Ibu yang mengandung akan keguguran.
4. Anak-anak yang menyusu akan tercampak.

Suasana menjadi hiruk pikuk dan kuca-kacir. Masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Ada yang berjalan seperti biasa. Ada yang berjalan terbalik dan ada pula yang merangkak. Cuaca amat panas kerana matahari berada sejengkal daripada atas kepala.

Dalam satu hadis disebutkan:

“Saiditina Aisyah r.a bertanya: Lelaki dan perempuan berkumpul sama Ya Rasulullah? Jawab Rasulullah SAW: Ya. Saiditina Aishah berkata: Alangkah malunya. Rasulullah menepuk bahu Aishah dengan berkata: Kesibukan manusia pada saat itu tidak memungkinkan akan melihat itu, kebanyakan pandangan mereka pada saat itu mengarah ke langit, berdiri selama empat puluh tahun tidak makan dan tidak minum, ada yang berpeluh sampai ke tumit, betis, perut dan ke mulut kerana lamanya berdiri. Kemudian berdiri pada malaikat mengelilingi ‘Arasy lalu Allah menyuruh menyeru nama polan bin polan.

Maka semua yang hadir melihat orang yang dipanggil untuk mengadap Allah, lalu dipanggil orang-orang yang pernah dianiyai dan dizaliminya untuk diberikan kebaikannya kepada orang tersebut kerana pada saat tersebut tidak ada pembayaran dengan emas atau perak.

Semua orang yang pernah dianiyai dan dizalimi menagih kebaikan darinya sehingga habis kebaikannya, lalu diambil dosa-dosa orang yang dianiyai dan dizalimi tersebut untuk dipikulnya.

Kemudian setelah selesai semuanya maka diperintahkan oleh Allah kembalilah ke tempatmu ke neraka Hawiyah, kerana pada hari ini tidak ada penganiyaian. Sesungguhnya Allah amat segera perhitungannya dan pembalasannya.”

Hadis ini mengingatkan umat manusia agar sentiasa berhati-hati dalam segala tindak tanduk. Perbuatan baik mahupun jahat pastinya akan dihitung di hari Akhirat. Dalam Al-Quran disebutkan:

“Adapun orang yang berat timbangan amal baiknya, maka ia berada dalam kehidupan yang senang lenang, sebaliknya orang yang ringan timbangan amal baiknya, maka tempat kembalinya ialah Hawiyah dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa itu dia Hawiyah? (Hawiyah itu ialah) api yang panas membakar.” (Al-Qari’ah: 6-11)

(Sumber: Koleksi Khutbah Jumaat Okt 2015 MAIJ)

“Ya Allah, Ya Tuhanku Yang Maha Pengampun dan Maha Melindungi. Engkau ampunilah dosa Allahyarham Hj Ahmad@Abdul Rahman Bin Amzah yang pernah membacakan khutbah sepanjang usianya. Engkau berilah kelapangan kepadanya di alam barzakh. Engkau peliharalah keluarga yang ditinggalkan. Engkau berilah ganjaran dan perlindungan kepadanya sebagai mana luasnya ganjaran dan perlindungan untuk orang yang soleh. Amin.”

Please follow and like us: